Saturday, December 31, 2022

Selamat tinggal 2022

Hari pertama 2023 saya habiskan di Hospital Banting. Sudah masuk hari kedua ibu ditahan di wad kerana demam pening kepala dan jantung tidak stabil. 
Hospital yang hanya 2 minit jaraknya dari rumah ibu ini agak unik berbanding hospital lain kerana tidak ada tangga mahupun lif. 
Walaupun kawasan hospital besar dan jauh dari kawasan perumahan, telinga kami dihidangkan dengan kebingitan mercun dan bunga api sekitar 20 minit. 
Saban tahun sambutan tahun baru bagiku sama sahaja, tidur. Namun kali ini pada jam 12 aku masih belum tidur atau mungkin terjaga dari tidur. Tatkala orang lain berada di rumah masing-masing, rezeki aku untuk berada di hospital mengambil giliran menjaga ibu tersayang.

Tuesday, February 15, 2022

Menang bukanlah segalanya?

Ayat 'Aali Imraan ayat 139 adalah tarbiyyah Allah kepada Rasulullah dan sepatutnya diteladani oleh umat Islam. Winning is nothing because there is always bigger picture than just winning. Dalam senario sekarang kemenangan adalah segalanya. Dalam EPL contohnya pasukan yang memenangi trofi bukan setakat mengumpul banyak kemenangan dari perlawanan yang mereka kuasai, tetapi juga perlawanan yang mereka tidak kuasai atau bermain dengan teruk. Istilah winning ugly adalah satu kemestian atau ciri yang harus ada untuk menjadi juara. Di dalam Islam seperti ketika kekalahan umat Islam di dalam perang Uhud, Allah mendidik umat Islam bahawa kemenangan di dalam peperangan adalah kecil berbanding kemenangan yang lebih besar di dalam menjaga iman, sabar dan etika akhlak yang tinggi.

Wednesday, September 23, 2020

Sarapan di Pejabat

Sudah tentu bukan normal baru yang akan diteruskan secara konsisten. 

Sunday, August 23, 2020

Kenangan PPUM

Sejak 2012 menjadi rutin tahunan kami untuk Fathimah menjalani pemeriksaan tahunan sebagai penderma organ. Kedatangan pertama untuk ambil darah dan kedatangan kedua untuk berjumpa doktor. Saban tahun pelbagai perubahan di hospital tempat arwah ayah mencari rezeki ini dapat kurasakan.
Tempat ini banyak kenangan. Selain kekal di dalam surat lahirku dan adik-beradik, tempat ini juga tempat persinggahan rutin selain Taman Tasik yang kini berdekatan Amcorp Mall. Aku sudah ingat-ingat lupa secara spesifik tempat kerja ayah yang sebelumnya dikenali sebagai Hospital Universiti. Tetapi yang pasti banyak berlegar di sekitar bilik bedah. Sewaktu kecil ada masanya aku terpaksa mengikut ayah bermalam di hospital. Bermalam di hospital pengalaman yang bukan asing. Aku suka bermalam si situ kerana tidur dalam suhu sejuk dan ramai rakan sekerja ayah yang rajin menegur. Ada macam-macam cerita hantu tetapi aku terlalu kecil untuk ingat atau takut.
Kafeteria antara Menara Utama ke Menara Timur masih ada, itu antara kenangan yang melekat kerana suasananya masih dapat dirasakan tatkala menjengah ke dalamnya.
Selepas kami pindah ke Banting sekitar 1983, sangat jarang aku ke Hospital Universiti. Namun ketika melakukan pemeriksaan kesihatan untuk kemasukan ke universiti, aku kembali di sini. Selepas hampir 10 tahun.
Ke mana sahaja ayah pergi dia akan ceritakan tanpa disoal, "Bawa Angah ni buat check up nak masuk Universiti". Begitulah kecil besar hati seorang ayah mungkin berbangga dengan anaknya yang berjaya melanjutkan pengajian.
Ketika tiba di simpang lampu isyarat berhadapan KWSP, seolah-olah terbayang ayah berjalan kaki pulang menuruni cerun ke perhentian bas di bawah. Menunggu bas pulang ke Banting.
Hospital Universiti adalah tempat dipertemukan insan-insan mulia yang mengatur pernikahan ayah dan emak. Sijil 35 tahun perkhidmatan yang sekian lama tergantung di dinding rumah adalah manifestasi bermula dan berakhirnya karier seorang atendan hospital yang komited. Hospital Universiti juga tempat ayah menghembus nafas terakhir di Tingkat 13 pada 2006. Ayah mengalami sesak nafas ketika pemulihan kerja selepas serangan kedua strok. Masih teringat kesedihan di mata rakan-rakan ayah yang masih belum pencen ketika turut sama memandikan jenazah ayah. 
Semoga segala penat lelah dan kasih sayang membesarkan kami diberi sebesar-besar ganjaran oleh Allah SWT. Amin

20200824
Menara Selatan PPUM