Monday, February 20, 2012

Kita patut jemput lebih ramai tokoh Islam dari luar

Saya berkesempatan mengikuti salah satu ceramah umum yang disampaikan oleh wakil Ikhwanul Muslimin (IM) dari Mesir baru-baru ini. Walaupun pada malam yang sama diberitakan ada ceramah Ustaz Azhar Idrus yang sangat ditunggu-tunggu berhampiran dengan tempat ceramah umum tersebut, namun saya memilih ceramah umum wakil IM kerana ia peluang yang jarang dikecapi.

Syukur alhamdulillah kerana sesi perkongsian wakil IM itu telah memberi suatu pendedahan yang segar tentang situasi ’lonjakan rakyat’ di Mesir khususnya dan di jazirah Arab umumnya. Saya mengucapkan syabas kepada IKRAM yang menjemput dan menganjurkan program yang sangat membuka mata ini. Sememangnya sebagai seorang Muslim, nasib sahabat dan saudara kita di Mesir, Palestin dan di mana-mana juga sentiasa dalam keprihatinan kita. Selama ini kita mendengar tentang IM di dalam berita atau blog-blog sejarah Islam. Sekiranya kita lihat di dalam laman web atau blog, banyak unsur negatif ditabur kepada pertubuhan ini. Mereka dianggap mengada-adakan benda baru dan menyimpang dari ajaran Islam.

Namun apabila membaca penulisan-penulisan para ulama mereka, ternyata gambaran yang diberikan sebenarnya tidak tepat. IM bukan mengada-adakan ajaran baru, tetapi mereka ingin melakukan pembaharuan azam dan cara kerja tanpa meninggalkan ajaran Rasulullah, sahabat dan para ulama. Gambaran tidak tepat itu terus hilang apabila bersua sendiri dengan peribadi-peribadi wakil IM ini dan mendengar sendiri ceramah umum yang mereka sampaikan.

Banyak media atau artikel yang mengulas dari perspektif kandungan ceramah, namun saya ingin memaparkan sisi lain sesi perkongsian tersebut. Saya tertarik dengan pendekatan lembut dan berhemah wakil IM tersebut. Kaedah penyampaiannya bersifat tazkirah, penuh nasihat dan sangat sederhana. Kerja dan usaha mereka memenangi hati rakyat Mesir bukan sehari dua dan bukan usaha yang remeh, tetapi ternyata mereka mempunyai pandangan berbeza apabila berhadapan dengan apa yang diistilahkan di Malaysia sebagai ’political milage’. Tidak pernah membangga diri dengan mendakwa merekalah pelopor kebangkitan dan mereka menegaskan semua urusan dan kejadian yang berlaku adalah dengan ketentuan Allah. Bukanlah rahsia sayap politik IM telahpun memenangi pusingan kedua pilihan raya Mesir, namun wakil IM tersebut dengan merendah diri mengatakan ini adalah kehendak rakyat, IM hanya mahu berperanan untuk bersama-sama membantu membangunkan Mesir secara Islami.

Saya merasakan IKRAM, sebagai sebuah pertubuhan NGO Islami yang prihatin tentang nasib umat Islam, bertindak tepat apabila membawa wakil IM ini ke Malaysia. IKRAM melalui NGO-NGO yang bernaung di bawahnya sememangnya telah sinonim dengan kerja-kerja dakwah dan pendidikan. Inilah yang sebenarnya dilakukan oleh IM sejak zaman pengasasnya Hasan al-Banna. Bahkan menurut wakil IM tersebut pilihan raya bukan matlamat utama mereka. Sesiapa sahaja yang membawa Islam akan mereka sokong dan akan mereka bawa bersama ke atas. Inilah agenda Islam yang sangat tulen, fundamental dan harmoni. Diharapkan pada masa-masa akan datang banyak lagi tokoh, ulama mahupun wakil pertubuhan pejuang Islam dibawa masuk untuk memberikan gambaran sebenar situasi di sana dan memberikan semangat kepada pejuang-pejuang syiar Islam tanah air bekerja dengan lebih keras lagi dalam usaha mendakwahi dan mendidik umat.

Jangan Gentar


Sekiranya kita memahami produk yang kita jual, dan kita yakin dengan keberkesanannya, maka tidak akan ada istilah takut, gusar atau gelisah.

Namun bukan bermakna kita boleh mendabik dada dan memaksa mereka menerima atau membeli produk tersebut.

Sunday, February 19, 2012

Pertentangan


Sejak dahulu lagi telah wujud pertentangan antara 2 kuasa besar. Kuasa besar dunia adalah Amerika Syarikat & Soviet Union sejak selepas Perang Dunia ke 2. Selepas kejatuhan Soviet Union, kuasa Amerika Syarikat tidak dapat diimbangi oleh mana-mana kuasa lain.

Monday, February 13, 2012

Valentine anyone?

Hari Ibu & Hari Bapa, bukan datang dari Islam, tetapi mempunyai mesej yang baik, maka tiada masalah pada hari tersebut meraikan seadanya. Hari Kanak-Kanak Sedunia juga begitu. Tetapi Hari Valentine adalah hari untuk memperingati kekasih? Di manakah status kekasih di dalam nilai kekeluargaan Islam? Kecuali kekasih itu telah diikat dengan akad nikah, hubungan tersebut tiada nilai. Lebih baik mengingati kasih sayang rasul di hari Maulidur Rasul.

Wednesday, January 04, 2012

Perkhemahan di Brindley

Kenangan manis sepanjang program akan terus terpahat di hati. Pengalaman berjumpa teman-teman seperjuangan yang baru.

Saturday, September 17, 2011

Memang sudah lama aku usha baby monitor. Walaupun bukan langkah yang baik meninggalkan anak kecil tidur berseorangan di bilik, ia perlu sangat, apatah lagi mengenangkan zaujati perlu meronda asrama di waktu malam, kadangkala di waktu aku tiada di rumah. Baby monitor dapat memberitahu kita keadaan anak, adakah dia tidur kembali selepas menangis atau memang dia sudah terjaga dan perlukan kehadiran kita.
Sayangnya harganya tidak berpatutan dan agak mahal. RM399 untuk unit yang ada features yang diingini. Tambahan pula unit yang perlu parents bawa agak bulky, sekitar saiz handphone zaman lewat 90-an.
Namun kini aku sudah tiada sebab mengusha baby monitor ini. Kami sudah memilikinya dengan harga PERCUMA. Ya betul. Terima kasih kepada migrasi ke Android phone, satu lagi sebab HTC Desire HD dan Incredible S lebih mahal kegunaannya dari harganya.
Cuma berbeza ialah cara pemberitahuannya. Melalui panggilan telefon atau SMS, kita juga boleh mengubah unit bunyi di dalam decibel yang dirasakan sesuai. Tambahan pula applikasi ini boleh menangkap gambar anak dan dihantar melalui MMS. Tinggalkan handphone Android bersama anak yang tidur dan meronda asrama atau ke mana-mana dengan handphone biasa. Sangat memudahkan. Selamat tinggal dedicated baby monitor!

Sunday, September 11, 2011

Merdeka Raya


Pada tahun ini, Di bulan Ogos ini unik kerana kita menyambut hari kemerdekaan dan idilfitri serentak. Acapkali kita baca dan dengar peringatan bahawa kita sudah bebas dari tangan penjajah. Namun ia sepatutnya

menjadi simbolik kepada persoalan utama, sudahkah kita merdeka dari penjajahan alaf baru? Wajarkah kebebasan itu dilandaskan kepada materi?

Menurut Islam, selagi kita belum mampu membebaskan diri dari harta, pangkat, nafsu dan syirik, kita tidak lagi merdeka jiwa, hanya merdeka fizikal sahaja.

Jiwa yang bebas merdeka, tidak diikat oleh sebarang belenggu yang menghalang kita menjadi Muslim yang mengEsakan Allah.

Itulah kebebasan sebenar. Konsep kemerdekaan sebegini amat meluas skopnya dan memenuhi ruang hidup dan rutin sehari-hari. Itulah kemerdekaan yang yang umat Islam perjuangkan, iaitu membebaskan diri dari belenggu api neraka.

Thursday, August 25, 2011

Dugaan Ramadhan

Mungkin ia tidak seteruk yang disangka, tetapi demam di bulan puasa merupakan ujian yang amat berat. Semoga dosa-dosa ini akan terbasuh dengan ujian ini.
Published with Blogger-droid v1.7.2

Tuesday, August 23, 2011

Bawa Mereka Bersama

Tidak sekian berpeluang mengejar jalan lailatul qadr. Mungkin kerana kekangan masa, terpaksa bertugas atau mungkin tidak dibangkitkan jam loceng atau jam handphone. Mungkin juga kerana sudah tiada. Oleh itu jika engkau sempat bertahajud di malam yang mulia itu, bawalah mereka bersamamu lewat dia. Melalui doa mohonlah agar diberi kesihatan dan kekuatan mengharungi Ramadhan ini. Kepada yang telah pergi, sekiranya di dalam seksa kubur, semoga diringankan. Kopiah pemberian Tokwan, jubah hadiah arwah bapa, minyak wangi Jakarta ole-ole adik ipar dan Quran Android gratis hasil usaha Ahmed al-Heel, semuanya ada saham akhirat sekiranya amalan kita diterima.
Published with Blogger-droid v1.7.2

Thursday, August 11, 2011

Apa yang tertinggal di bulan Ramadhan ini?

Bulan Ramadhan adalah peluang umat memperbaiki lompang-lompang amal yang kurang cemerlang di bulan-bulan lain sepanjang tahun. Apatah lagi kepada ashabul du'at, ia ibarat mutabaah untuk melihat kembali kerja-kerja dakwah. Apakah usaha kita selama ini dibuat dengan bersungguh-sungguh? Sekiranya kita hanya bermain-main, maka Allah akan gantikan kita dengan golongan yang lebih baik. Para sahabat sentiasa muhasabah antara satu sama lain, kerana ingin berlumba-lumba membuat kebaikan. Namun kita tidak pernah ditanya tentang keberhasilan di dalam dakwah. Sekiranya kita berusaha mencapai KPI di kantor, sepatutnya kita lebih menjaga KPI kerja-kerja amal Islami di sisi Allah. Wallahu Aklam.
Published with Blogger-droid v1.7.2

Thursday, August 04, 2011

Bersih 2.0: Fakta Yang Hilang

Ada beberapa natijah dari peristiwa bersejarah 9 Julai 2011. Ada yang kita terlepas pandang dan ada yang sengaja tidak diberi liputan oleh media tradisional yang dikuasai kerajaan.

1. Suara ramai usah diperkecil atau dibuli. Apabila para penganjur Bersih bersetuju dengan saranan Yang di-Pertuan Agong, kerajaan sengaja tidak memberi kerjasama. Polis melambat-lambatkan dan menidakkan permit dengan harapan bakal peserta kecewa dan bosan atau keliru, lantas memilih untuk tidak turun pada 9 Julai. Apa yang kerajaan gagal fahami adalah Ambiga dan jawatankuasanya hanya wakil suara rakyat. Rakyat lebih rela memilih turun ke jalan raya daripada menunggu dengan tidak sabar di rumah masing-masing.

2. Isu sebenar masih tidak diberi liputan. Sikap akhbar dan media tradisional yang bersikap ‘buat-buat bodoh’ sangat menjengkelkan rakyat. Pada saat media alaf baru sudah khatam berbincang tentang rasional dan ringkasnya 10 permintaan Bersih, media 'terkawal' masih terkial-kial mencari satu alasan munasabah mengapa begitu ramai rakyat turun menunjuk perasaan, tanpa menjejaskan air muka kerajaan yang hanya terpelihara di ceruk-ceruk yang tiada internet.

3. Kegagalan kerajaan memahami dunia internet. Seorang menteri mengatakan cybertrooper BN gagal menyaingi blogger pembangkang. Kekuatan pembangkang di media alternatif bukan kerana teknologi tetapi kerana kebenaran. Pembaca ingin tahu kisah sebenar bukan berita yang disogok. Apa yang berlaku pada 9 Julai diikuti rapat di #Bersih atau #Bersih2 bukan Utusan Online.

4. Fabrikasi bukti. Video kebiadapan polis keluar sekitar 2 jam sebelum perhimpunan berlaku secara rasmi. Video kebiadapan peserta demo? 2 minggu. Di mana rasionalnya masa yang diambil untuk mengeluarkan video selama itu? Akal logik pasti terfikir berapa banyak suntingan demi suntingan ditokok tambah untuk meyakinkan orang kampung bahawa para peserta aman ini bertindak ganas.

5. Trauma warna. Sampai sekarang peminat sukan masih tidak faham mengapa jersi tuan rumah pasukan bola sepak kebangsaan Harimau Malaya yang berwarna kuning tidak lagi digunakan sejak 2-3 bulan kebelakangan ini. Jersi biru yang pada asalnya untuk perlawanan di tempat lawan sudah menjadi jersi utama. Takutkah laungan lautan kuning di stadium bertukar menjadi "Hidup Hidup, Hidup Bersih"? Mungkinkah kontinjen Sukan SEA nanti juga akan berubah warna?

Kepada para peserta demo, tahniah. Anda telah menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah Malaysia. Jika bukan sejarah rasmi negara pun ia pasti dikenang sebagai hari istimewa bagi pencinta demokrasi tulen.

Monday, July 18, 2011

Sunday, July 17, 2011

Pengalaman


Pengalaman menjadi elemen penting mendewasakan seseorang.  Melalui pengalaman individu itu memperoleh pelajaran, tidak kira samada ia diperolehi secara pahit ataupun manis.  Kadangkala pengalaman dipelajari dengan pantas,  ada kalanya bertahun lamanya untuk memahami sesuatu sebagai pengalaman.  Ada individu memperolehinya setelah melaluinya sekali,  ada dua kali.  Ada juga mempelajarinya setelah mengalami berulangkali.  Masa adalah penentunya.  Oleh kerana itu usah berharap usia yang larut dengan dunia itu sudah masak dan matang, walaupun ia resmi manusia. Kisah hidup yang berbeza dan liku-liku cabaran menjadikan pengalaman aset yang berharga dan unik.  Semoga Allah merahmati dan melancarkan segala urusan hidup kita.

Monday, July 11, 2011

Retro Dewan Jubli Perak


Kali terakhir aku datang ke sini adalah sekitar 1993. Perasmian Program  Kuntum oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Dari beratus-ratus pelajar dari berpuluh-puluh sekolah,  aku telah terpilih sebagai wakil pelajar untuk mengetuai acara membaca ikrar.  Terasa glamour sebentar bila Menterinya ketika itu,  Dato' Amar Sulaiman Daud bersalaman denganku hanya kerana ingin membelek tali leherku yang agak ranggi atau istilah sekarang,  berjangok-jangok.  Silau mata bila sinaran 'flash' media-media menyinari kami. Esoknya hampir semua akhbar kubeli namun tidak ada satu gambarpun  memaparkan saat itu.

Setahun sebelum itu tidak kurang perhatiannya. Program Konsert Asrama-Asrama Yayasan Selangor. Buat pertama kali dalam sejarah Emcee dipilih di kalangan pelajar. Aku dan seorang kakak Form 5 dari ATPN terpilih untuk mengemudi perjalanan program. Tetamu terhormat adalah Dato' Seri Menteri Besar sebagai Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Selangor.

Kini setelah hampir 20 tahun aku kembali sebagai orang peserta program. Dewan ini menyimpan seribu kenangan.  Ah!

Tuesday, July 05, 2011

Membina keazaman diri

Sebenarnya secara fitrah telah wujud sifat-sifat positif dalam diri setiapinsan. namun akibat persekitaran, rakan-rakan ataupun budaya, ada sikap-sikap yang baik telah hilang atau terpendam terus jauh di lubuk hati individu. Itu yang dapat aku rasakan apabila aku menghadiri kursus ini. Antara yang terkesan ialah apabila konsultan menunjukkan beberapa klip video filem-filem atau babak-babak sukan terkenal.
1. Final Champion League 2005 di Instanbul. Separuh masa kedua. Ketika Liverpool ketinggalan 0-3 di tangan AC Milan, secara tiba-tiba ketua pasukan Steven Gerrard menjaringkan gol melalui tandukan lob ke penjuru gol. Antara yang diingati ialah ketika meraikan gol tersebut, beliau mengangkat-angkat tangannya dari pinggang ke atas. Itu bukan kaedah meraikan kemenangan, itu simbolik kepada gesaan "Raise Your Standard". Sambil meniup semangat, ia juga gesaan supaya rakan sepasukan meningkatkan usaha untuk menyamakan kedudukan. Di dalam hidup ini aku kadang-kadang terasa mudah puas hati dengan apa yang ada. Mungkin kerana target atau standar yang aku letakkan rendah,mungkin atas faktor tidak mahu mengambil risiko atau malas. Ia seharusnya diperbaiki.

2. Babak Jerry McGuire ketika Jery McGuire sebagai agen pemain berkonfrontasi dengan pemain pro Rod Tidwell. Kata-kata gesaan "Help me help you" adalah semacam motto ikutan sangat sangat popular. Kedua-duanya terpekik sesama sendiri ketika Jerry berpendapat Rod tidak bermain bersungguh-sungguh, dan dinafikan oleh Rod. Ia adalah simbolik kepada "Transfer your feeling". Dalam menyampaikan sesuatu mesej kepada rakan kita, kadang-kala tidak sampai kerana kita tidak berupaya membawa diri kita untuk berfikir, berperasaan dan bertindak seperti orang yang sedang kita hadapi. Akibatnya kita gagal membantu atau dibantu oleh rakan kita.

3. Dalam filem Be Cool, salah satu 'trademark' Chili Palmer lakonan John Travolta adalah kata-kata "Look at me, look at me". Walaupun watak antagonis sedang memandang mukanya, Chili tetap meminta supaya mukanya dipandang. Ini semacam contoh "Intensity of Eye Contact" dan "Look the response". Ini antara kelemahan aku yang ketara. Apabila bercakap, eye contact aku buat hanya bersifat make-up, tidak tulen.

4. Filem Ocean 11 tidak ditunjukkan dalam klip, tetapi ia terlalu istimewa atas beberapa sebab:
- 11 individu berlainan kebolehan, skill dan latar belakang tetapi punya niat yang sama untuk mencuri kasino. Ia adalah contoh "Passion to work with team". Jadi pemain yang baik di dalam kumpulan, maka kerja dapat diselesaikan.
- Punya perancangan yang teliti "Strategi" adalah kata kuncinya. Akan ada masalah di lapangan, tetapi ahli kumpulan akan 'regroup' dan berbincang semula untuk menanganinya.
- Ketua perancang dan orang yang terakhir menyertai krew, walaupun tugas berbeza, mendapat habuan yang sama amaunnya. Ia berkonsepkan "we win together, we support each other"
- Walaupun tangan "grease man" Qin terlekat pada vault sebelum meletup, beliau telah buat keputusan memotong pembalut tangannya. Ia keputusan yang sukar kerana sebarang kesilapan akan merosakkan rancangan. Ia ibarat "Silent Emotional Decision" yang terpaksa dibuat sendiri demi memastikan rancangan berjalan lancar. Aku masih tercari-cari apakah pengalaman hidup yang mungkin ada kena mengena dengan kata-kata kunci ini. Semoga ia boleh dijadikan panduan di dalam kehidupan terkehadapan. Wallahu aklam.

Wednesday, June 29, 2011

30% peluang kerja untuk wanita?

Getting to the boardroom
Ia bukanlah korelasi terus, namun ia sesuatu yang bakal berlaku dan ia sesuatu yang wajar dipandang positif. Untuk mewujudkan lebih ramai penggubal dasar di peringkat organisasi di kalangan wanita, majikan perlu menggaji lebih ramai eksekutif wanita, supaya quota 30% wanita di bilik lembaga pengarah dapat dipenuhi. Memang benar ia tidak semestinya melalui lantikan dalaman, namun ia formula mudah dan murah.
Published with Blogger-droid v1.7.1