Saturday, April 11, 2020

Kenangan Covid-19

Bersyukur ketika diberi nikmat masuk ke mall tanpa beratur. 

Kerana ada ketikanya ia sesuatu yang boleh dibayangkan. 

Saturday, January 04, 2020

Masihkah agenda OKU diberikan tumpuan selepas ini?


Menteri yang kurang bijak di regim lepas diganti dengan Menteri yang berilmu, berwawasan dan ikhlas. Namun perubahan tidak berlaku dengan badan eksekutif/legaslatif/politik sahaja tetapi perlukan sokongan massa. Jom move on dan sokong perubahan dunia pendidikan yang telah dimulakan oleh Dr Maszlee.

Friday, January 03, 2020

Nota Kuliah Subuh

Nota Kuliah Subuh: Jalankanlah tugas menyampaikan ajaran agama ini, beramal dan menjauhi pertengkaran yang sia-sia serta berharap amalan kita akan diterima Allah.

فَلِذَٰلِكَ فَٱدۡعُۖ وَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡۖ وَقُلۡ ءَامَنتُ بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِن كِتَٰبٖۖ وَأُمِرۡتُ لِأَعۡدِلَ بَيۡنَكُمُۖ ٱللَّهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمۡۖ لَنَآ أَعۡمَٰلُنَا وَلَكُمۡ أَعۡمَٰلُكُمۡۖ لَا حُجَّةَ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمُۖ ٱللَّهُ يَجۡمَعُ بَيۡنَنَاۖ وَإِلَيۡهِ ٱلۡمَصِيرُ


Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka - wahai Muhammad - kepada berugama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: "Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)".

-Sura Ash-Shura, Ayat 15

Selamat tinggal Celcom

Setelah hampir 18 tahun dengan Celcom aku dengan berat hati beralih ke unifi mobile. Bukan untuk aku sahaja, tetapi nombor bonda juga telah ku switch ke OneXOX. 
Dua tiga bulan ini aku buat sedikit kajian tentang servis telefon postpaid dan prepaid. Beberapa tindakan yang dibuat:
1. Beralih kepada unifi mobile kerana promosi unlimited sebanyak RM59 sebulan (kontrak setahun) jauh lebih baik dari pelan Gold Celcom sekarang. Kelebihan Celcom adalah jarang kita jumpa tempat yang tiada coverage Celcom. Tetapi unifi mobile agak baik di kawasan rumah jadi kita cuba dulu.
2. Bonda hanya guna Celcom untuk voice. Tetapi bula guna smartphone kadangkala setting tertukar menyebabkan terguna 'pay per use' data yang sangat mahal. Aku cuba melanggan pakej bulanan RM28 sebulan untuk 1Gb untuk mengelakkan tragedi pay per use terjadi lagi tetapi ia agak mahal dan tidak berbaloi. Solusi jangka pendek adalah switch ke OneXoX yang punya rebranding package yang baik dan masih guna platfotm Celcom. Jadi ia adalah jaminan bonda tetap dapat kualiti panggilan dan coverage Celcom.
3. Bagi mengelakkan banyak aduan tentang pakej data yang tidak memberikan keselesaan bonda mengikuti ceramah ustaz kegemarannya, aku masukkan UMobile sebagai sim card kedua. Pakej Funz unlimited RM30 monthly menyebabkan tiada lagi rungutan.
Mengapa tidak tukar terus dari Celcom ke UMobile dan guna satu simcard?
Walaupun data UMobile bagus di rumah bonda, coverage di rumah bapa mertua di kampung agak teruk. Aku juga masih sceptical samada voice uMobile sebaik Celcom/XOX

Untuk Tha dan Kha aku switch dari Celcom ke XOX. Kelebihan XOX adalah selain coverage Celcom, XOX juga punya validiti sehingga 2 tahun dan jumlah data/minit suara boleh digunakan selagi ada berbaki. Pakej sebegini sesuai untuk anak di asrama yang hanya on handphone di hujung minggu atau ketika nak balik kampung. Pakej data harian RM3 juga baik selain pakej mingguan. 

Perancangan akan datang setelah nombor Kha/Tha juga telah berhijrah ke XOX adalah mencuba prepaid Unifi Mobile untuk melihat sejauh mana slogan 'never expiry' selain Bebas pass yang diberikan sekali untuk menikmati internet tanpa had walaupun tidak melanggan sebarang data.
Aku tidak sempat melanggan pelan Mobile Unifi unlimited RM59 untuk zaujati tetapi mungkin pelan lain yang lebih ekonomi. Selamat tinggal membayar RM180 untuk pakej 2 * Gold Celcom.

Thursday, December 26, 2019

Catatan Loser

Masa: Musim Cuti Sekolah hujung tahun
Lokasi: Dalam pejabat yang sunyi sepi. Cuti dah habis
Aktiviti: Minta kawan2 belanja gambar bercuti. Kemudian pergi 'melancong' ke tempat2 tu menggunakan google street. Loser habis

Saturday, December 19, 2015

Setelah 5 tahun

Alhamdulillah setelah 5 tahun mengharung liku-liku hidup sebagai warga kota Kuala Lumpur tahun depan kami akan berpindah semula ke Dengkil. Sesungguhnya aku tidak cukup kental menghela nafas di sini. Walaupun banyak kenangan manis dan keindahan, segalanya terlalu pantas. Keperitan ekonomi dan kelemasan di kesesakan trafik adalah dua faktor mengapa segala kelebihan, kemudahan dan keindahan itu harus dilupakan.
Tahun depan juga adalah masa terbaik untuk mengalami perubahan sebesar ini. Tha akan ke sekolah menengah. Angin baru elok untuk perkembangan, kematangan dan tarbiyahnya. Kha juga perlu diperbaharui tekad dan keazamannya di sekolah baru. Perpindahan ini juga peluang kami memberikan sokongan kepada perniagaan tadika keluarga lantaran Ghu akan mendaftar di Genius Aulad Nilai. Selain zaujati yang akan menghadapi dunia baru di Puchong, Hanz juga bakal masuk sekolah baru. Alhamdulillah

posted from Bloggeroid

Tuesday, September 29, 2015

Ujian kepada yang berada

Lebih baik diuji dengan serba kekurangan dari diuji dengan keberadaan.

posted from Bloggeroid

Tuesday, August 11, 2015

Python and Anaconda

Sebelum ni dah masukkan python. Sekarang sudah ada anaconda. Padahal  tengok cacing pun takut.

posted from Bloggeroid

Sunday, December 21, 2014

Jersey Jalur Merah Putih

Seharian di sekolah anak beraktiviti kelab kelas. Dekat sekolah ni sahaja ada 3 orang pakai jersey Atletico Madrid termasuk aku. Yang kurus yang boroi yang muda yang tua. Apa barang pakai baju Real Madrid sekarang? Barca?

posted from Bloggeroid

Sunday, June 22, 2014

Tuesday, February 04, 2014

Hanzhalah bin Hazly Amir



Kami namakan anak ini Hanzhalah, bersempena nama sahabat Rasulullah yang syahid di dalam perang Uhud. Keazaman beliau mengejar syurga menjadi inspirasi dan doa kami buat anak ini. Semoga diberkati Allah.

posted from Bloggeroid

Monday, June 24, 2013

Jerebu kali ini

Sekitar 7-8 tahun dahulu ketika jerebu melanda negara secara besar-besaran, aku tidak ambil pusing dengan face mask. Topeng N95 yang dibekalkan company tidak digunakan sangat. Guna atau tidak tiada beza sangat. Setakat IPU/API 100+ ni masih boleh keluar berjalan. Tetapi sekarang, mungkin kerana usia bertambah, walau seminit berada di luar sudah rasa perit tekak, pening kepala dan badan tidak selesa. Dulu bagipun tak pakai, sekarang siap pergi cari merata tempat. Air botol sentiasa jadi bekalan.

Alhamdulillah jerebu ini mengajar kepentingan menjaga kesihatan diri & tazkirah bahawa usia semakin bertambah, giliran mati juga semakin dekat.

Friday, January 04, 2013

Mengapa hati gundah gulana?


Tidak semua perkara yang berlaku di dalam hati boleh dirungkai atau diterangkan dengan kata-kata. Ia tidak disebabkan oleh sebarang faktor luaran. Hanya diri sendiri yang merasakan. Kebahagiaan itu hak setiap orang, tetapi mampukah dicapai oleh setiap orang? 
Posted by Picasa

Sunday, December 30, 2012

Wordpress

Ia adalah rival kepada Blogger. Umpama Android kepada iOS. Bagaikan Liverpool/Man City kepada MU. Umpama mimpi di dalam mimpi.

Sunday, November 11, 2012

Tuesday, October 02, 2012

‘Raja Bola’ kembali ke rahmatullah

Dipetik dari Malaysia Harmoni

KUALA LUMPUR – Negara kehilangan seorang lagi tokoh apabila 'Raja Bola’, Tan Sri Abdul Ghani Minhat meninggal dunia pagi tadi akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang berusia 77 tahun menghembuskan nafas terakhirnya pada 10.34 pagi di Institut Jantung Negara di sini, selepas menjalani pembedahan pintasan jantung pada Selasa. Beliau meninggalkan balu, Puan Sri Tengku Aishah Tengku Ibrahim dan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Abdul Ghani yang dilahirkan pada 23 Dis 1935 di Rantau, Negeri Sembilan mula aktif dalam sukan bola sepak pada 1954 dengan menyertai pasukan Selangor Rangers dan Kelab Polis Depot.

Pada 1957, Allahyarham mula mewakili Malaysia dalam kejohanan Pestabola Merdeka.

Uniknya, perlawanan itu berlangsung di Stadium Merdeka pada malam 30 Ogos 1957 sebelum berlangsungnya upacara kemerdekaan negara pada keesokan hari.

Beraksi sebagai 'inside forward' yang licik dan lincah pada sekitar tahun 1960-an, permainan taktikalnya di depan gol sering menggerunkan pihak lawan.

Ghani MinhatMungkin ramai tidak tahu, beliau merupakan pemain Malaysia yang pertama ditawarkan beraksi di Liga Perdana Inggeris pada 1962.

Allahyarham dilamar kelab Cardiff City yang mahu beliau menjadi pemain profesionalnya, namun Allahyarham menolak. Sebaliknya, Abdul Ghani membuat keputusan menjelajah England dan Eropah selama empat bulan.

Allahyarham mengikuti kursus empat bulan di kelab Eintracht Frankfurt di Jerman dan West Ham United di England.

Allahyarham yang mempunyai sijil kejurulatihan dari Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 1969, pernah menjadi jurulatih kebangsaan dari 1971 hingga 1976.

Selain membawa Malaysia menjuarai kejohanan Pestabola Merdeka dari 1958 hingga 1960, Allahyarham pernah mengetuai skuad kebangsaan meraih pingat emas pada Sukan SEAP (kini Sukan SEA) 1961 di Rangoon (kini Yangoon, Myanmar) dan pingat gangsa pada Sukan Asia 1962 di Jakarta, Indonesia.

Walaupun dilahirkan di Negeri Sembilan, namun Allahyarham lebih banyak terlibat dengan arena bola sepak di Selangor sebagai pemain dari 1953 sehingga 1968 sebelum menjadi jurulatih skuad Gergasi Merah dari 1970 hingga 1972.

Sebagai menghargai sumbangan beliau, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menganugerahkan gelaran "Raja Bola' kepada Allahyarham pada 1959.

Sesuatu yang menarik, Allahyarham pernah menjaringkan 106 gol dalam 15 perlawanan sehingga dianugerahkan gelaran Pemain Bola Sepak Terbaik bagi tahun 1959 dan 1960.

Penglibatan aktifnya dalam dunia bola sepak berakhir pada 1993 dengan menjadi jurulatih kepada skuad Piala Emas Raja-Raja bagi pasukan Selangor.

Allahyarham kemudian menumpukan perhatian kepada perniagaan syarikat elektroniknya di Petaling Jaya.

Allahyarham dianugerahkan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada Jun tahun ini.

(Sumber: BERNAMA)

Tuesday, September 25, 2012

Plot berbeza, skrip sama... Sikap kita?

Sebenarnya tidak ada apa yang istimewa tentang filem "Innocence of Muslims". Ia hanyalah karya picisan kelas murahan yang tidak ada asas fakta, plot yang celaru dan mesej yang bersifat propaganda semata-mata. Namun ia menjadi satu fenomena kemarahan besar umat Islam serata dunia. Ia bertukar menjadi tragedi apabila pejabat Kedutaan Amerika Syarikat dibakar dan pegawai-pegawai tertinggi termasuk Duta Besarnya terbunuh. Demonstrasi dan tunjuk perasaan terus-menerus berlaku termasuk di negara kita.



Kisah penghinaan terhadap Rasulullah bukanlah cerita baru. Wataknya berubah, medianya bertukar dan kaedahnya sedikit berbeza, namun skripnya tetap sama, untuk menggambarkan betapa jijik dan tidak bermaruahnya manusia bernama Muhammad. Frekuensi serangan terhadap keperibadian Rasulullah dilihat semakin kerap, menandakan serangan bukan sahaja ditujukan kepada junjungan besar nabi kita, tetapi juga terhadap rasa sensitiviti umat Islam secara umum.



Propaganda demi propaganda dibuat supaya kita umat Islam merasa lali atau muak dengan tohmahan demi tohmahan, yang akhirnya menyebabkan kita menjadi kurang responsif dan akhirnya membiarkan sahaja agama ini tenggelam tanpa pembelanya.

Walaupun selalunya bersifat kasar dan membabi buta, kaedah serangan musuh-musuh Islam ini juga licik dan kadang kala bersifat memperbodoh diri mereka sendiri. Oleh itu kita perlu kembali kepada asas menilai sesuatu berita seperti yang telah Allah gariskan di dalam surah al-Hujurat.

Terdapat pelbagai peristiwa yang menimbulkan kemarahan umat Islam yang menyebabkan kita mengambil tindakan tanpa usul periksa. Contohnya beberapa gambar ‘prank’ Rasulullah dalam bentuk permainan Lego suatu masa dahulu. Ada sesetengah kita dengan rasa marahnya mengisytiharkan perang boikot terhadap produk tersebut. Sebenarnya ia tidak mewakili pendirian Lego dan tidak ada produk sedemikian rupa. Ia hanyalah mainan musuh-musuh Islam yang menghina Rasulullah dalam bentuk patung Lego.

Tindakan tanpa usul periksa ini hanya merugikan diri sendiri dan merendahkan martabat intelektual umat.

Berita tentang halal dan haramnya sesuatu produk makanan juga sering dibincangkan di alam siber. Buatlah sedikit pembacaan dan pertimbangan sebelum menggunakan sesuatu barangan walapun ia mengandungi logo halal.

Serangan pemikiran melalui filem adalah rentetan contoh serangan halus musuh Islam pada zaman moden, setelah menyedari serangan fizikal lewat Perang Salib hanya menyebabkan umat Islam menjadi semakin kuat. Namun adakah serangan pemikiran yang menjadi agenda musuh Islam sahaja yang boleh merosakkan masyarakat?

Terdapat juga kekecamukan budaya yang tidak secocok dengan nilai-nilai Islam. Perkara ini juga perlu diperangi kerana ia bercanggah dengan nilai Islam dan adat resam kita. Menunjukkan bantahan terhadap propaganda serangan pemikiran juga sepatutnya ditunjukkan kepada agenda bukan musuh Islam yang tidak selari dengan Islam.

Gaya Gangnam (Gangnam style) bukan sahaja tidak sesuai malah menggalakkan pergaulan bebas dan boleh membawa kepada aktiviti tidak bermoral. Namun sekiranya kita memeranginya dengan propaganda juga, kita tidak ada bezanya dengan musuh-musuh Islam yang menipu, memfitnah dan memburuk-burukkan umat Islam di mata masyarakat umum.

Tindakan mengaitkan Gangnam dengan Israel dilihat sangat nakal, tidak berasas dan pekat dengan saranan Machiavelli yang menghalalkan segala cara yang dusta dan karut-marut asalkan matlamat yang baik dicapai. Ia hanya memperbodoh umat Islam dan membuang masa. Cukuplah seperti apa yang diterangkan oleh para ustaz dan ulama. Semangat cintakan Allah, rasul dan agama terus sentiasa ditiup tetapi pada masa yang sama kita perlu mengambil polisi berhati-hati membaca berita dan menyebarkan sesuatu gagasan yang palsu dan menyesatkan.

Monday, August 06, 2012

Rohingya: Apakah usaha kita?

Kisah penindasan umat Islam minoriti Rohingya di Myanmar bukannya baru. Sejak 1980-an lagi kita telah mendengar keganasan demi keganasan terhadap kumpulan minoriti yang tidak diiktiraf sebagai warganegara negara itu. Skripnya sama, umat Islam diperlakukan lebih teruk daripada binatang, mereka dizalimi dan dihalau dari tempat tingggal mereka. Media arus perdana tidak dapat membuat liputan yang tepat kerana hanya media massa Myanmar sahaja dibenarkan memasuki kawasan Arakan tempat etnik Islam Rohingya menetap. Akibatnya golongan ini digambarkan sebagai bangsa yang jahat dan tidak bertamadun.

Keganasan terbaru di negeri Rakhine bermula Mei lalu apabila seorang wanita etnik Rakhine, yang beragama Buddha, didakwa telah dirogol dan dibunuh oleh tiga orang beragama Islam. Namun media arus perdana di negara itu tidak jauh berbeza dengan media arus perdana di negara-negara ASEAN, sentiasa menjaga kepentingan pemerintah. Berita-berita yang sebenar tidak dapat dipastikan, diselewengkan dan direka untuk membangkitkan rasa kebencian terhadap umat Islam yang berada di sana sejak sekian lama.

Dengan perkembangan media baru masa kini, kisah sebenar kezaliman etnik majoriti negara itu tidak dapat lagi dibendung. Semua pihak sudah tahu termasuk masyarakat antarabangsa dan para pemimpinnya. Persoalannya, apakah yang akan berlaku seterusnya?

Yangon perlu bertanggungjawab di atas kaedah yang digunakan untuk mengembalikan keamanan di negeri Rakhine di barat negara itu. Perintah berkurung yang hanya dikenakan kepada etnik Rohingya menyebabkan umat Islam tersepit apabila bekalan makanan ketika bulan Ramadan ini kehabisan. Sekiranya keluar untuk membeli makanan mereka boleh ditembak sedangkan etnik majoriti yang mengganas bebas berkeliaran menunggu mereka di pasar dan di tempat pengagihan makanan UNHCR. Pendekatan ini seolah-olah memberi lesen untuk membiarkan mereka mati kelaparan sekiranya tidak mati di jalanan.

Situasi pemenang Habiah Nobel Keamanan Dunia, Aung San Suu Kyi juga tidak terlepas daripada kritikan. Ada pihak yang berpendapat beliau tersepit kerana ditekan oleh kerajaan militer yang seolah-olah bersekongkol membantai puak minoriti negara itu. Walaupun begitu, harus diingat, sepanjang perjuangan beliau menyuarakan demokrasi di Myanmar, beliau memang sentiasa ditekan, dikurung dalam tahanan rumah dan dinafikan hak-hak untuk menyampaikan idea-idea prodemokrasi. Jadi mengapa perlu menjaga hati kerajaan militer sekarang?

Dasar luar negara ASEAN yang tidak campur tangan dalam hal ehwal sesebuah negara pada hemat saya bersifat membuta tuli. Ini kerana ia sepatutnya dasar yang hanya terpakai untuk urusan-urusan ekonomi, politik dan sosial secara umum. Apabila ia melibatkan pencabulan hak asasi manusia, ASEAN perlu mengutuk Yangon dan bertindak memberi tekanan antarabangsa.

Mengapa kisah pembunuhan dan penderitaan umat Islam Rohingya seolah-olah kurang dibincangkan di laman sosial, blog-blog atau sebarang media siber berbanding Syria mahupun Palestin? Apakah kita memilih bulu atau bersikap double standard?

- Abu T