Monday, December 29, 2008

Zionis Laknatullah

Situasi di Semenanjung Gaza terus menyedihkan. Angka korban sudah lebih 300 orang. Menurut penganalisis ia merupakan siri kekejaman paling teruk sejak 1967, bermakna lebih teruk dari Sabra & Shatila 1984. Perang 6 Hari 1967 telah meragut nyawa berpuluh ribu orang tentera dan orang awam.

Tuesday, December 09, 2008

Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa: Bencana ciptaan kita sendiri

Takziah diucapkan kepada semua keluarga yang terlibat, baik dari yang kehilangan anggota keluarga mahupun yang kehilangan rumah ataupun yang terpaksa berpindah buat sementara.

Ironinya, yang meninggal adalah semacam 'wakil' masyarakat majmuk Malaysia, seorang wanita doktor haiwan, anak lelaki seorang Datuk dan seorang akauntan, juga pembantu rumah Indonesia dan dikhuatiri seorang lagi pembantu rumah Sri Lanka.

Tragedi Bukit Antarabangsa ini menyedihkan kerana ia meragut nyawa dan memberi impak secara lokal kepada kawasan setempat. Mungkin yang terlibat mencecah ribu sahaja, tetapi yang tidak lena malam memikirkan bukit di belakang rumah mungkin boleh runtuh bila-bila masa, mencecah ratusan ribu.

Itulah risiko memilih kediaman berhampiran tanah tinggi. Ketika kami sekeluarga sedang di dalam proses membeli rumah, kami 'terkunci' kepada dua pilihan dari senarai pendek yang ada.

Rumah pertama 40 x 115 semi-D setingkat harga RM249k di Sg. Merab dan satu lagi rumah yang akhirnya kami pilih. Kalau ikutkan memanglah besar dan selesa, tetapi kawasan perumahan itu agak rendah dari ketinggian biasa. Kalau dari jalan besar kereta akan menuruni bukit. Perkara pertama yang terlintas adalah banjir walaupun terdapat bukit di belakang kawasan perumahan tersebut. Namun jika difikirkan sekarang, bukan setakat banjir, kemungkinan untuk dihempap juga agak besar. Oleh itu kami bersyukur dengan rumah sedia ada, tidak begitu luas dan besar, tetapi sekurang-kurangnya tiada bukit di belakang mahupun kemungkinan banjir. Satu lagi ia berdekatan laluan grid elektrik nasional, maka tidak ada pembangunan yang boleh dibuat di situ. Alhamdulillah. Kurang risiko.

Berbalik kepada tragedi tadi, kita tidak mengambil ikhtibar dari Highland Towers dan beberapa kes terdahulu. Sementara kes di Ulu Yam boleh dikategorikan sebagai terpencil, kawasan banjaran kecil sekitar Bukit Antarabangsa dan Ulu Kelang amnya sudah menjadi kawasan yang sepatutnya digazet sebagai merbahaya diduduki dan dibangunkan. Namun hingga kini begitu banyak kondominium mewah dan banglo didirikan berhampiran. Kerajaan tempatan mengutip hasil segala macam, pemaju ingin mengaut keuntungan dan pembeli semacam rasa prestij menduduki kawasan sebegitu. Seolah-olah lupa bahaya yang menanti.

Secara saintifik dan akademiknya ia merbahaya di duduki, dibangunkan atau dimanipulasi seperti menarah, meratakan dan sebagainya. Menurut Quran, kawasan tanah tinggi atau gunung berfungsi sebagai pasak Bumi, sebagaimana yang diterangkan dalam Q.S. An-Nahl ayat 15: ”Dan Dia menancapkan gunung-gunung di Bumi supaya Bumi itu tidak berguncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk.”

Juga An Naba 78: 17-20. "Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (dipermukaan) bumi supaya bumi itu tidak mengoyangkan kamu; dan memperkembang biakkan padanya segala macam jenis binatang."

Sekiranya kita fikir secara logik, gunung sebagai pasak bumi adalah ciptaan Allah yang sangat penting dan maha hebat. Pernahkah kita terfikir untuk mendirikan rumah, menagapa kita perlu menanam pasak ke bumi? Mengapa rumah dua tingkat tidak sama ketinggian pasaknya berbanding rumah setingkat?

Tanah di kawasan tinggi yang telah diratakan menjadi tidak stabil kerana pasaknya tidak lagi menyokong bukit dan gunung yang ada sebelum ini. Oleh itu dengan aliran air sedia ada dan hujan, kestabilan yang longgar itu bertukar pula menjadi keruntuhan.

Kita mungkin tidak cukup arif untuk membincangkan perkara ini berbanding pakar geologi dan geografi, namun semoga kita mampu berfikir mudah selaras dengan panduan yang telah diberikan.

Wednesday, December 03, 2008

Pukul Dada Sindir Hati

Bukan mudah menjadi lelaki
Harapan dan impian keluarga
Sudah menjadi tekanan yang berat

Bukan mudah menjadi suami
Meneman satu malam dalam seminggupun
Belum tentu

Bukan mudah menjadi bapa
Walau lima minit duduk mendengar si dia berceritapun
Kadang-kala tidak sempat

Bukan mudah menjadi pecinta
Yang mencipta, yang menjadikan, yang didambakan cinta
Tidak kelihatan

Bukan mudah menjadi mujahid
Bersila beberapa jam dalam sepekan sahaja
Sudah mencabar

Bukan mudah menjadi pendidik
Pelbagai beza latarbelakang, persepsi dan cara pandang
Sukar dilentur dan dibentuk sekelip mata

Semuanya bukan mudah
Namun suatu ketika, bila ia tiba pastinya semua menjadi mudah
Ketika itu
Berhenti jadi harapan keluarga
Berhenti jadi suami
Berhenti jadi bapa
Berhenti jadi pejuang
Berhenti jadi pendidik
Berhenti jadi semua
Ketika itu
Adalah ketika bertemu Tuhan