Sunday, August 23, 2020

Kenangan PPUM

Sejak 2012 menjadi rutin tahunan kami untuk Fathimah menjalani pemeriksaan tahunan sebagai penderma organ. Kedatangan pertama untuk ambil darah dan kedatangan kedua untuk berjumpa doktor. Saban tahun pelbagai perubahan di hospital tempat arwah ayah mencari rezeki ini dapat kurasakan.
Tempat ini banyak kenangan. Selain kekal di dalam surat lahirku dan adik-beradik, tempat ini juga tempat persinggahan rutin selain Taman Tasik yang kini berdekatan Amcorp Mall. Aku sudah ingat-ingat lupa secara spesifik tempat kerja ayah yang sebelumnya dikenali sebagai Hospital Universiti. Tetapi yang pasti banyak berlegar di sekitar bilik bedah. Sewaktu kecil ada masanya aku terpaksa mengikut ayah bermalam di hospital. Bermalam di hospital pengalaman yang bukan asing. Aku suka bermalam si situ kerana tidur dalam suhu sejuk dan ramai rakan sekerja ayah yang rajin menegur. Ada macam-macam cerita hantu tetapi aku terlalu kecil untuk ingat atau takut.
Kafeteria antara Menara Utama ke Menara Timur masih ada, itu antara kenangan yang melekat kerana suasananya masih dapat dirasakan tatkala menjengah ke dalamnya.
Selepas kami pindah ke Banting sekitar 1983, sangat jarang aku ke Hospital Universiti. Namun ketika melakukan pemeriksaan kesihatan untuk kemasukan ke universiti, aku kembali di sini. Selepas hampir 10 tahun.
Ke mana sahaja ayah pergi dia akan ceritakan tanpa disoal, "Bawa Angah ni buat check up nak masuk Universiti". Begitulah kecil besar hati seorang ayah mungkin berbangga dengan anaknya yang berjaya melanjutkan pengajian.
Ketika tiba di simpang lampu isyarat berhadapan KWSP, seolah-olah terbayang ayah berjalan kaki pulang menuruni cerun ke perhentian bas di bawah. Menunggu bas pulang ke Banting.
Hospital Universiti adalah tempat dipertemukan insan-insan mulia yang mengatur pernikahan ayah dan emak. Sijil 35 tahun perkhidmatan yang sekian lama tergantung di dinding rumah adalah manifestasi bermula dan berakhirnya karier seorang atendan hospital yang komited. Hospital Universiti juga tempat ayah menghembus nafas terakhir di Tingkat 13 pada 2006. Ayah mengalami sesak nafas ketika pemulihan kerja selepas serangan kedua strok. Masih teringat kesedihan di mata rakan-rakan ayah yang masih belum pencen ketika turut sama memandikan jenazah ayah. 
Semoga segala penat lelah dan kasih sayang membesarkan kami diberi sebesar-besar ganjaran oleh Allah SWT. Amin

20200824
Menara Selatan PPUM