Monday, February 28, 2005

Steven Covey vs Mustafa At-Tahan

Sementara Covey meletakkan proactive sebagai ciri utama di dalam kumpulan tajuk pertama, at-Tahan meletakkan ciri "Ikhlas di dalam perbuatan" sebagai keperluan asas untuk berjaya. Apa yang hendak digariskan oleh at-Tahan di sini adalah pentingnya kita mempunyai niat yang betul dalam melaksanakan sesuatu. Semua niat hendaklah kerana Allah. Dan yang menjaga niat di sepanjang perbuatan adalah ikhlas.
Covey berpendapat atas apa jua yang kita buat, atas apa juga matlamat, kita perlu tanamkan terlebih dahulu sifat proactive. Proaktif di sini bermaksud menyediakan diri untuk berfikiran secara aktif di dalam konteks sebelum melaksanakan sesuatu pekerjaan. Kemungkinan matlamat itu menyimpang, tetapi itu bukan persoalan bagi kebanyakan orang masyarakat barat. Lantaran itu di dalam kacamata sebagai muslim, saya lebih tertarik kepada pendekatan at-Tahan. Memang para ulama hadis terkemuka akan mendahulukan kitab hadis mereka dengan persoalan hadis mengenai niat.

bersambung...

Wednesday, February 16, 2005

Adakah aku tidak bersyukur sesama manusia?

20050228
Selepas menghantar isteri ke program di Shah Alam, kereta buat hal. Bateri kong kerana buka lampu kecil semasa hujan. Mujurlah ada sahabat-sahabat membantu dengan buat jumper, tolak, idea, air liur, pakat gelak atau tukang meriah dsb. Terima kasih kalian.


20050215
Semalam bateri kereta meragam. Selepas mencuba beberapa kali dan gagal menghidupkan enjin, saya cuba mencari bengkel. Mujurlah ada sebuah bengkel kereta. Walaupun sudah tutup, namun pemilik kedai terpaksa membuka pintu kedai lantaran tidak tahan dengan ketukan yang bertalu-talu. Selepas membeli bateri berharga RM120 (mahal tu) secara dua kali bayar (bayar 60 + IC, esok datang balik langsaikan bakinya), saya mencuba buat kali pertama mengganti bateri kereta. Di dalam gelap, di tengah orang ramai yang lalu lalang kerana ada pasar malam di tapak berdekatan. Tengah sibuk memulas skru, ada sorang mamat ni sudi menolong. Ligat semacam, saya sangka dia pernah kerja di bengkel kereta. Rupanya kerja cleaning di JPM Putrajaya. Namanya Mohan dari Dengkil. Terima kasih diucapkan. Semoga success selalu.


20050119
Terima kasih dua brother Propel yang sudi angkut motor yang pancit dari KM berhampiran susur keluar PLUS-Kajang (menghala ke KL) sehingga ke Taman Mewah Kajang. Hanya tuhan yang mampu membalas keikhlasan kalian.

Isu Pegawai Jawi dan Serbuan Disko

Saudara editor Malaysiakini,

Saya ingin mengulas tulisan Amir Kamal bertajuk " Pegawai Jawi melanggar hukum syarak" di http://www.malaysiakini.com/letters/33161.

Pada pendapat saya pernyataan beliau bersifat keanak-anakan dan tidak berpegang kepada prinsip rasional.
Pertama sekali, mengapa harus kita pertikaikan benda yang remeh-temeh seperti penguatkuasa biadab dan sebagainya? Sepatutnya, tanpa sebarang keraguan, sebagai ibu-bapa kepada remaja Islam yang menghadapi dugaan sosial yang hebat sekarang ini, kita menyokong sepenuhnya langkah-langkah pembenterasan keruntuhan akhlak remaja dewasa ini. Remaja Islam dewasa ini sudah tidak segan silu berpeluk-pelukan di depan orang ramai. Di tempat seperti disko apatah lagi?

Kedua sekiranya kita marah dengan penguatkuasa tanpa melihat usaha mereka, apakah yang kita harapkan? Apakah kita sendiri mampu melakukan serbuan sedemikian? Tidakkah kita sebenarnya membela remaja yang mungkin akan terjerumus ke lembah maksiat. Bukankah ajaran agama menyuruh kita menjauhi tempat-tempat yang boleh mengundang maksiat. Mestikah mereka dipertahankan? Saya berpendapat Amir Kamal masih muda dan belum berumahtangga, lantaran itu beliau tidak dapat merasakan kerisauan ibu-bapa dalam mendidik anak remaja. Sekiranya anak saya sendiri, pasti saya harapkan penguatkuasa berbuat lebih dari sekadar biadab.


Jika semua pihak termasuk rakan sebaya mengambil inisiatif menyeru kebaikan, maka akhlak anak-anak kita akan terbina dengan lebih baik. Gambar hiasan.

Ketiga sekiranya penguatkuasa tidak biadab seperti yang digembar-gemburkan, apakah sikap kita? Mahukah kita, secara prinsipnya menyokong langkah serbuan itu? Adakah kita akan tetap marah atau kita berdiam diri. Sekiranya kita berdiam diri, bermakna kita tidak peduli urusan akhlak remaja Islam. Sekiranya kita tetap marah, sebenarnya kita marahkan usaha murni ke arah pembaikan akhlak dijalankan. Tepuk dada tanya iman.

p/s harap dapat disiarkan tanpa edit atau dijawab oleh saudara sendiri

Abu Thalhah


20050217

Tahniah di atas komen anda


Tahniah kepada 4 orang penulis yang surat mereka menegur artis tak berapa terkenal (yang membuat kenyataan mengenai serbuan JAWI di dalam Melodi TV3) disiarkan di Utusan Malaysia. Keperihatinan anda menunjukkan umat Islam masakini masih ada sensitiviti dan membenci kemaksiatan. Allahu akbar!

Wednesday, February 09, 2005

Maal Hijrah

Seperti biasa setiap tahun, ada sambutan maal hijrah. Seperti biasa juga akan dipilih seorang tokoh maal hijrah atas beberapa kriteria yang ditentukan. Tetapi sayang tokoh-tokoh ini hanya muncul ketika awal tahun hijah, kemudian mereka hilang sepanjang tahun. Kemudian muncul tokoh lain pula di tahun hadapan. Mengapa terjadi sedemikian? Bukankah bagus kalau tokoh-tokoh ini sentiasa di dekati, ditemuramah dan diambil ilmunya dengan liputan yang lebih meluas? Sebagai tokoh Islam, di bahu-bahu mereka punya peluang yang terbaik dalam memperbetul pemikiran dan amalan masyarakat. Sekiranya hendak melihat perkembangan dewasa ini, kita lihat betapa kurangnya orang yang boleh membidas pemikiran-pemikiran keliru Astora Jabat, Sister in Islam dan golongan orientalis. Golongan yang berhujah dengan Al-Quran tetapi tidak merujuk kepada ruh ayat Quran dan apa yang tersurat di dalam dalil-dalil yang dikemukakan. Sekiranya kita kaji semula, golongan perosak akidah ini lebih banyak memenuhi kriteria sebagai 'tokoh agama' dari para pendakwah dan ulama mukhlisin. Kerana apa? Kerana mereka lebih banyak mengulas tentang Islam dari tokoh maal hijrah yang hanya muncul dan berucap sekali dalam setahun (iaitu selepas diumumkan sebagai tokoh maal hijrah). Bukankah bagus kalau tokoh-tokoh maal hijrah ini diberi misi memperbaiki akhlak ummah, kalaupun tidak menjadi rujukan untuk mengimplementasi Islam Hadhari yang sehingga kini masih bersifat kabur dan slogan sahaja. Sekiranya ratu cantik mempunyai misi menjadikan dunia yang lebih aman, tidaklah salah kiranya tokoh-tokoh ini juga menyebut tentang wawasan dan misi memperbaiki akhlak masyarakat (sekurang-kurangnya). Masalah sosial masyarakat terutama remaja Islam bukan agenda Astora dan puak-puaknya, bukan juga di dalam kemampuan Kementerian Wanita, Kementerian Belia atau Khir Toyo. Para ilmuan, tokoh, ulama dan para pendakwahlah yang harus bekerja keras merawatnya. Tetapi melihat situasi sekarang, mereka menjadi golongan melawan arus. Silap kitakah, tak payah tepuk apa-apa, terus sahaja tanya iman dan intima' kita.

Fatwa Fiqh Harian: Hukum Sapu Atas Stokin Dalam Wudhu'
Kiriman: PanelSyariah pada Rabu, 07 Januari, 2004 - 06:01 AM EST

Soalan

Harap tuan dapat memberi penjelasan berhubung menyapu khuf mengikut sunnah dan syarat-syaratnya. Adakah stokin tebal dianggap khuf ataupun terhad kepada kasut kulit sahaja.

Nabiroh Kasim
20 Dec. 2003

Jawapan.

Dengan nama Allah yang maha pemurah dan maha penyayang, Segala puji baginya dan selawat dan salam atas junjungan besar s.a.w. wa ba'du;

Salah satu rukun wudhu' ialah membasuh kaki. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah (al Maidah) ayat(6).

Ayat ini memberi erti bahawa orang yang mengambil wudhu' hendaklah membasuh kaki" mereka dengan air dan ia adalah hukum asal dalam masalah berwudhu'.

Menyapu khuf seperti yang bincangkan oleh ulama' adalah satu bentuk kelonggaran yang dibolehkan oleh syarak berdasarkan athar atau hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan bahawa baginda menyapu khuf menggantikan fardhu membasuh kaki.

Jumhor ulama' mengharuskan "sapu khuf" sebagai ganti kepada basuh kaki dalam wudhu', sesetengah pula mensyaratkan keadaan musafir dan ada golongan yang mengetatkan sehingga tidak mengharuskannya langsung.

Adakah Harus Sapu Atas Stokin?

Ulama' yang mengharuskan sapu pada khuf beselisih pendapat mengenai stokin. Mereka yang mengharuskan antaranya Mohd, Abu Yusuf(kedua-duanya merupakan murid kepada Abu Hanifah) dan Sufwan at Tahuri, bersandarkan kepada hadis yang di sahihkan oleh Termizi yang menyebut bahawa Nabi s.a.w menyapu atas stokin. Mereka juga menyamakan stokin dengan khuf dan mengkias hukum stokin dengan hukum khuf.

Mereka yang tidak mengharuskannya antaranya Syafe'i, Malik dan Abu Hanifah, menganggap hadis itu tidak sahih atau ia tidak sampai kepada mereka. Dan mereka juga menganggap bahawa isu sapu khuf adalah persoalan ibadah yang tidak boleh dikiaskan.

Al Qardhawi mentarjih pendapat pertama yang mengharuskan sapu pada stokin. Abu Hanifah dikatakan telah merujuk kepada pendapat muridnya dan mengharuskan sapu pada stokin dengan syarat tebal. Begitulah yang difatwakan dalam mazhab Hanafi. Kata al Qardhawi;" apabila sesaorang mengambil wudhu' dan memakai stokin dalam keadaan suci, kemudian terbatal wudhu'nya dan ia ingin memperbaharui wudhu'nya, ia boleh menyapu atas stokin selama 24 jam bagi muqim dan 3 hari tiga malam bagi musafir".

Cara, Tempoh Dan Syarat Menyapu Khuf

Jumhor mengatakan khuf wajib disapu dibahagian atas dengan sekurang-kurangnya tiga jari ditarik dari bawah keatas pergelangan kaki. Ulama' berselisih mengenai sapu dibahagian bawah, ada yang mengatakannya wajib dan ada yang sunat.

Malik tidak menghadkan tempoh bagi menyapu khuf. Selama sesaorang tidak memecatnya atau berjanabah ia boleh menyapu khuf. Abu Hanifah dan Syafe'i menetapkan tempoh tiga hari bagi musafir dan satu hari bagi muqim bersandarkan hadis Ali dan Hadis Safwan.

Tentang syarat menyapu khuf ulama' bersepakat bahawa kaki sebelum memakai khuf hendaklah dalam keadaan suci berwudhu'.

Wallahu aklam

Dipetik dari massej.info

Sunday, February 06, 2005

Masalah Siapa?

Persoalan masalah ummah Islam dewasa ini semakin lama semakin teruk & menyedihkan. Tidak perlu untuk kita butirkan. Segalanya terpampang di dada-dada akhbar. Dari muka depan, berita nasional dan berita dunia, semua yang sumbang, semua yang mengunjungi hotel murah, yang dizalimi, yang diperkosa dan ditelanjangi adalah mereka yang berjanggut dan bertudung. Tidak sedihkah kita. Rasanya sudah terlalu banyak kisah sebegini sehingga kita pun sudah lali mendengarnya. Masyarakat Islam kita samada pertama; tidak sedar atau tidak melihat dari perspektif seorang muslim. Kedua 'simply ignorance'; tidak peduli apa yang berlaku. "Kerana masalah aku sendiri sudah terlalu banyak, masakan mahu aku memikirkan masalah umat Islam?".

Aduhai Palestin, terasa engkau begitu jauh dariku.
Letupan dan gegaran akibat bom tidak kurasakan dari semenanjung ini. Banjir darah saudaraku tidak sampai ke sini.
Rintihan anak ibu tidak kudengar walaupun boleh kudengar.
Tangisanmu tidak sedikitpun memberi keinsafan kepadaku...

Kiranya Palestina itu jauh darimu
Apakah saudara-saudara di Selatan Thai tidak menginsafkanmu
Takbai bukanlah dekat sangat
Tetapi sudah tidak jauh darimu
Masih jauhkah bencana tsunami dari rumahmu?
Gegaran di Sulawesi dan Mindanao petanda apa?

Betapa kita perlu akui sekiranya kita tidak peduli dan mengambil ikhtibar, maka ingatlah pada suatu masa giliran kita akan tiba. Perhatikan sabda nabi yang diriwayatkan oleh Abu Daud

"Barangsiapa yg tidak memperduli urusan2 kaum muslimin bukanlah tergolong dari mereka."

macam biasa...bersambung

Tazkirah - Niat

Tazkirah - Niat

Dari Amirul Mu'minin Abi Hafs Umar bin Al-Khattab r.a berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda "Bahawasa segala amal perbuatan tergantung kepada niat, dan bahawasa bagi tiap-tiap orang apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa yang hijrah menuju (ridha) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrah kerana dunia (harta atau kemegahan dunia), atau kerana seorang wanita yang akan dikahwininya, maka hijrahnya tu ke arah yang ditujunya. (Riwayat Bukhari-Muslim)

Arbain Nawawi



Hai orang-orang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana ria kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.

2:264