Tuesday, September 25, 2012

Plot berbeza, skrip sama... Sikap kita?

Sebenarnya tidak ada apa yang istimewa tentang filem "Innocence of Muslims". Ia hanyalah karya picisan kelas murahan yang tidak ada asas fakta, plot yang celaru dan mesej yang bersifat propaganda semata-mata. Namun ia menjadi satu fenomena kemarahan besar umat Islam serata dunia. Ia bertukar menjadi tragedi apabila pejabat Kedutaan Amerika Syarikat dibakar dan pegawai-pegawai tertinggi termasuk Duta Besarnya terbunuh. Demonstrasi dan tunjuk perasaan terus-menerus berlaku termasuk di negara kita.



Kisah penghinaan terhadap Rasulullah bukanlah cerita baru. Wataknya berubah, medianya bertukar dan kaedahnya sedikit berbeza, namun skripnya tetap sama, untuk menggambarkan betapa jijik dan tidak bermaruahnya manusia bernama Muhammad. Frekuensi serangan terhadap keperibadian Rasulullah dilihat semakin kerap, menandakan serangan bukan sahaja ditujukan kepada junjungan besar nabi kita, tetapi juga terhadap rasa sensitiviti umat Islam secara umum.



Propaganda demi propaganda dibuat supaya kita umat Islam merasa lali atau muak dengan tohmahan demi tohmahan, yang akhirnya menyebabkan kita menjadi kurang responsif dan akhirnya membiarkan sahaja agama ini tenggelam tanpa pembelanya.

Walaupun selalunya bersifat kasar dan membabi buta, kaedah serangan musuh-musuh Islam ini juga licik dan kadang kala bersifat memperbodoh diri mereka sendiri. Oleh itu kita perlu kembali kepada asas menilai sesuatu berita seperti yang telah Allah gariskan di dalam surah al-Hujurat.

Terdapat pelbagai peristiwa yang menimbulkan kemarahan umat Islam yang menyebabkan kita mengambil tindakan tanpa usul periksa. Contohnya beberapa gambar ‘prank’ Rasulullah dalam bentuk permainan Lego suatu masa dahulu. Ada sesetengah kita dengan rasa marahnya mengisytiharkan perang boikot terhadap produk tersebut. Sebenarnya ia tidak mewakili pendirian Lego dan tidak ada produk sedemikian rupa. Ia hanyalah mainan musuh-musuh Islam yang menghina Rasulullah dalam bentuk patung Lego.

Tindakan tanpa usul periksa ini hanya merugikan diri sendiri dan merendahkan martabat intelektual umat.

Berita tentang halal dan haramnya sesuatu produk makanan juga sering dibincangkan di alam siber. Buatlah sedikit pembacaan dan pertimbangan sebelum menggunakan sesuatu barangan walapun ia mengandungi logo halal.

Serangan pemikiran melalui filem adalah rentetan contoh serangan halus musuh Islam pada zaman moden, setelah menyedari serangan fizikal lewat Perang Salib hanya menyebabkan umat Islam menjadi semakin kuat. Namun adakah serangan pemikiran yang menjadi agenda musuh Islam sahaja yang boleh merosakkan masyarakat?

Terdapat juga kekecamukan budaya yang tidak secocok dengan nilai-nilai Islam. Perkara ini juga perlu diperangi kerana ia bercanggah dengan nilai Islam dan adat resam kita. Menunjukkan bantahan terhadap propaganda serangan pemikiran juga sepatutnya ditunjukkan kepada agenda bukan musuh Islam yang tidak selari dengan Islam.

Gaya Gangnam (Gangnam style) bukan sahaja tidak sesuai malah menggalakkan pergaulan bebas dan boleh membawa kepada aktiviti tidak bermoral. Namun sekiranya kita memeranginya dengan propaganda juga, kita tidak ada bezanya dengan musuh-musuh Islam yang menipu, memfitnah dan memburuk-burukkan umat Islam di mata masyarakat umum.

Tindakan mengaitkan Gangnam dengan Israel dilihat sangat nakal, tidak berasas dan pekat dengan saranan Machiavelli yang menghalalkan segala cara yang dusta dan karut-marut asalkan matlamat yang baik dicapai. Ia hanya memperbodoh umat Islam dan membuang masa. Cukuplah seperti apa yang diterangkan oleh para ustaz dan ulama. Semangat cintakan Allah, rasul dan agama terus sentiasa ditiup tetapi pada masa yang sama kita perlu mengambil polisi berhati-hati membaca berita dan menyebarkan sesuatu gagasan yang palsu dan menyesatkan.