Memberi Dari Perspektif Mereka...
Oleh Wan Am
Selain al-Quran dan hadis yang banyak menyebut tentang sedekah, sahabat Rasulullah s.a.w. dan ulama salaf juga ada mengutarakan pandangan mereka berkenaan amalan bersedekah, sebagai tanda mengakui kemuliaan amalan ini serta memotivasikan umat Islam yang lain supaya tidak memperkecilkan amalan tersebut.
Dalam artikel kali ini saya perturunkan kalam-kalam hikmah mereka yang saya peroleh daripada beberapa sumber, moga-moga menjadikan kita hamba Allah yang tidak bertangguh-tangguh lagi untuk bersedekah dan memberi kepada mereka yang memerlukan:
Umar bin al-Khattab r.a. - "Semua perbuatan baik akan saling membanggakan diri; lalu sedekah berkata: 'Akulah yang paling utama di antara kamu semua.'"
Uthman bin Affan r.a. - "Berniagalah dengan Allah melalui sedekah, pasti kamu akan beruntung."
Ali bin Abu Talib r.a. - "Hiasilah imanmu dengan sedekah, lindungilah hartamu dengan zakat, dan hindarilah bencana dengan doa!"
Ibnu Mas'ud r.a. - "Satu dirham yang kamu sedekahkan dalam keadaan sihat dan kuat adalah lebih baik berbanding seratus dirham yang kamu wasiatkan menjelang kematianmu."
Salman al-Farisi r.a. - Jika seorang yang murah hati meninggal dunia, maka bumi dan para malaikat akan berkata: 'Ya Allah, ampunkanlah hamba-hamba-Mu ini kerana kemurahan hatinya.' Jika orang yang kedekut meninggal dunia, maka mereka akan berkata: 'Ya Allah, halanglah dia dari syurga sebagaimana dia menghalang orang lain dari apa yang ada di tangannya.'"
Abdul Aziz bin Umair - "Solat akan menghantarmu menempuhi setengah perjalanan, puasa menghantarmu ke pintu Allah, dan sedekah memasukkanmu ke dalam syurga."
Yahya bin Muadz - "Tidak ada amal yang sekecil biji zarah yang boleh menyamai berat gunung-ganang di dunia kecuali sedekah."
al-Baihaqi - "Mintalah rezeki dengan bersedekah."
Hassan al-Basri - "Sahabat yang paling baik adalah dinar dan dirham yang kamu sedekahkan."
Abdullah bin Jaafar - "Orang yang murah hati adalah yang memberi tanpa diminta. Dia memberikan sesuatu kepadamu kerana kemahuannya sendiri. Sesungguhnya kesedaran untuk memberi sedekah adalah lebih berat berbanding memberi sedekah kepada seseorang yang meminta."
al-Sya'bi - "Sesiapa yang tidak menyedari bahawa dirinya lebih memerlukan pahala sedekah berbanding orang miskin yang memerlukan sedekahnya, maka sedekahnya itu sia-sia belaka, dan wajahnya akan dipukul dengan sedekah itu pada hari kiamat nanti."
Ahmad al-Rifa'i - "Selawat kepada Rasulullah s.a.w. akan mempermudah jalan di atas sirat dan membuatkan doa dikabulkan. Begitu juga sedekah yang akan memadamkan kemurkaan Allah."
Bukan sahaja orang Islam, malah orang-orang bukan Islam juga turut mengakui kebaikan amalan memberi ini. Melalui pembacaan saya dalam buku "Ajaibnya Sedekah" hasil karya Muhammad Muhyidin, saya telah menemui beberapa mutiara kata daripada beberapa tokoh dan sarjana bukan Islam mengenai kebaikan amalan memberi. Mungkin sesuai juga untuk saya kongsikan di sini sebagai manfaat kita bersama:
Leonard Nimoy - "Semakin banyak kita memberi, semakin banyak yang kita miliki..."
Glenn van Ekern - "Pelaburan yang kecil tetapi konsisten dapat memberikan hasil berlipat kali ganda. Semangat kedermawanan terungkap dengan sendirinya melalui sikap yang terus mencari jalan memberikan nilai tambah kepada hidup manusia..."
Henry Ford Sr. - "Walaupun ramai orang menghubungkan kejayaan dengan apa yang mereka peroleh, kejayaan itu bermula dengan memberi."
Dr. Kare Messenger - "Kunci rumah saudara dan pergilah ke bawah jambatan. Cari orang yang memerlukan bantuan dan bantulah mereka."
Eric Butterworth - "Orang yang memberi dengan tulus adalah orang yang bahagia, berasa aman, puas dan makmur."
Robert Louis Stevenson - "Jangan mengukur hari berdasarkan hasil yang saudara peroleh, sebaliknya ukurlah berdasarkan benih yang saudara tanam."
Eleanor Roosevelt - "Yang menjadikan kita tetap menikmati hidup dan terus memandang ke masa hadapan adalah kerana tujuan kita mahu memberikan kebahagiaan kepada orang lain. Kebahagiaan bukanlah tujuan, melainkan ia adalah hasil sampingan."
George Washington Carver - "Berapa jauh perjalanan saudara dalam hidup ini bergantung pada adakah saudara bersikap lembut kepada yang lebih muda, bersikap kasih kepada yang lebih tua, bersimpati kepada orang yang perlu berjuang lebih keras dan bertimbang rasa kepada yang lemah dan yang kuat kerana pada suatu hari dalam hidup ini, saudara menjadi salah seorang daripada mereka."
Lao Tse - "Keramahan dalam bertutur kata menciptakan keyakinan diri, keramahan dalam berfikir menciptakan kesempurnaan dan keramahan dalam memberi melahirkan kasih."