Sunday, June 14, 2009

Percubaan Untuk Mengerti Jiwa Bapa

Ketika kita kanak-kanak atau remaja, kadangkala kita tidak memahami mengapa bapa kita berbuat sesuatu yang kita tidak suka atau sesuatu yang kita rasa tiada manfaat untuk kita. Namun apabila beranjak usia dan punya anak sendiri, naluri bapa yang datang itu pasti membuat kita teringat bapa yang sudah tua atau telah pergi dijemput tuhan.

Ketika aku kanak-kanak beranjak remaja, persekitaran kampung tempat aku membesar memang sangat terbuka. Terbuka dari aspek 'capaian' terhadap aktiviti orang tua. Rokok daun atau rokok gulung mudah didapati atau dibuat sendiri. Ayah, Nenek dan bapa saudara penghisap tegar. Rakan remaja sudah ada yang mencuba. Aku juga pernah mencuba atas sebab ingin tahu. Apabila ayah tahu, mudah sahaja kata-katanya. "Kalau nak hisap rokok, hisaplah. Tapi kena beli guna duit sendiri, jangan minta dengan mak atau orang lain".

Di hujung kampung bapa membawa aku melihat orang main daun terup. Ada main duit. Bapa kata terup bagus untuk math, IQ dsb. Cuma ia tak bagus kerana ada main duit. Aku faham.

Memang aktiviti biasa main dam 7 lapis berpapan-papan. Ayahpun pandai main. Dia sanggup korbankan dua tiga buah. Apa salahnya, kerana lepas tu dia makan 4-5 buah serentak. Terus dapat haji. Ayah bagi aku main sekali-sekala, kena belasah dengan kelicikan PokSu. Namun kalau selalu sangat main, ayah tahu. Report Card tak pernah menipu. Ayah sesah sebagai amaran berpada-pada kalau nak main. Asyik belajar ayah tak pernah suruh. Asyik mainpun ayah tak suka. Berpada-pada.

Ketika menjelang hari raya 1988 ayah membawaku ke kedai kasut BATA. Kami mencari sepasang kasut untukku. Ketika itu aku telah memiliki seluar jean kanak-kanak yang cantik. Hitam dan straight-cut. Aku padankan dengan baju ala koboi. Bapa ingin membelikan aku sepasang kasut sneakers yang cantik. Harganya RM25.90. Memang agak mahal tetapi kualiti. Namun aku sebenarnya berkenan dengan satu kasut ala North Star berwarna hitam, yang kurasakan sangat sesuai dengan jean dan baju koboi tadi. Aku malu-malu separa sopan dan hormat dengan pilihan ayah, jadi aku turutkan sahaja. Di dalam perjalanan ibu nampak aku lain macam dan bertanya mengapa. Aku beritahu aku kurang berkenan kasut itu. Terus ayah berhenti dan berpusing balik ke kedai tadi. Kami beli kasut ala North Star tadi. Harganya cuma RM9.90. Ayah kata dia ingatkan aku tidak ada sebarang 'preference', maka dia tolong pilihkan. Aku senyum sahaja, di dalam hati melompat gembira dan puas.

Pada diri bapa selain dari sifat ingin memdidik anaknya, sebenarnya terdapat naluri risau. Oleh itu bapa kadangkala bersikap 'overprotected'. Walaupun anak itu sudah 7-8 tahun, masih susah untuk dibiarkan melintas jalan. Walaupun ayahku tidak sekolah tinggi, namun ayah belajar untuk mempercayai anaknya. Kepercayaan diberi sedikit demi sedikit, bertambah mengikut usia dan kematangan. Aku merasakan bahawa antara sumbangan ayah kepadaku adalah memberikan kepercayaan kepadaku untuk membuat keputusan sendiri.

Ketika aku remaja beranjak dewasa keputusan SPM aku agak baik. Aku diterima masuk ke sebuah universiti tempatan. Walaupun 'medical checkup' boleh sahaja dibuat di kampung, namun ayah berkeras membawa aku ke hospital tempat dia bekerja, di Kuala Lumpur yang jaraknya hampir 2 jam perjalanan. Alasannya dia kenal ramai pegawai di sana. Ke hulu ke hilir ceruk hospital aku dibawa. Setiap kali berjumpa rakan setugas atau kenalan, pasti dia akan memperkenalkan aku. "Ini anak aku ni, dia nak masuk universiti, nak buat checkup". Skrip yang sama diulang-ulang. Tidak cukup dengan itu, bapa membawa aku ke bilik-bilik Dr-Dr, yang nama jawatan di pintunya menggerunkan aku. Barangkali ketua-ketua jabatan dan sebagainya untuk memperkenalkan aku.

Ketika ini aku separuh mengerti bahawa seorang bapa itu walaupun dirinya tidak berpelajaran tinggi, tetapi hatinya besar. Hatinya besar, gembira dan bangga apabila anaknya sudah boleh membaca. Itu yang aku rasakan sekarang. Hatinya berbunga-bunga gembira apabila anaknya mencapai sesuatu yang jauh lebih baik dari apa yang mampu dia capai. Bak kata orang kampung " Kecik besor hatinya". Mungkin itulah perasaan bapa ketika itu.

Aku mungkin lelaki sederhana yang sudah merealisasikan impian-impian asas dalam hidup, masih punya impian-impian untuk dibuat, tetapi pada ayah pencapaianku sudah cukup baik buatnya. Al-fatihah, bapaku kini genap 2 tahun ke rahmatullah. Namun ingatan kepadanya masih segar alhamdulillah. Terima kasih kerana mendidik aku dan pada masa yang sama memberi ruang kepadaku untuk cuba menjadi insan yang lebih baik.

No comments: