Setiap kali aku pulang ke kota kecil ini, setiap kali itulah pakcik tua itu kutemui. Di pasar, di tempat beli tebu, di kedai makcik tempe berlada atau sekadar laluan biasa ke pekan dari rumahnya.
Pakcik itu bukan pakcik yang asing padaku. Seingat aku dia kenalan ayah. Ayah pernah cerita betapa hebat dia di gelanggang badminton. Aku juga mengenali anak tunggalnya, budak lelaki yang terlebih otot dan rangka berbanding rakan sekelasnya. Dia muda beberapa tahun dariku, tetapi aku ingat dia kerana kelincahannya menjadi tekong sepak takraw. Bukan, bukan wakil sekolah, sekadar ketika kelas pendidikan jasmaninya. Itu yang sempat aku rakam di kotak kepalaku dari celah tingkap kelas, kira-kira 22 tahun yang lalu. Aku berkira-kira dia akan mewakili sekolah kerana badannya yang besar sesuai sebagai atlit, walaupun ayahnya penggemar sukan badminton, seperti juga ayahku, seperti juga aku ketika itu. Pakcik memang sangat sayangkan anak tunggalnya itu, dia juga sudah tua, kemungkinan untuk menimang cahayamata susulan agak kecil kemungkinannya. Jadi memang dia disayangi umpama menatang minyak yang penuh.
Mengapa setiap kali aku melihat pakcik itu aku teringat anaknya? Dan mengapa setiap kali teringat anaknya itu juga aku teringatkan arwah ayah?
Ketika aku mengaji di universiti, ayah pernah memberitahuku bahawa pada suatu ketika, anak pakcik itu, yang ketika itu berusia sekitar 15 tahun, mengalami kemalangan motorsikal. Motorsikal pembelian pakcik itu untuk anak tunggal kesayangannya. Di kampung 15 tahun adalah umur biasa untuk membawa motorsikal. Sayangnya anak itu mungkin kurang cermat atau hilang kawalan menyebabkan dia terbabit dalam kemalangan yang kemudiannya meragut nyawanya.
Sukar untuk aku membayangkan perasaan pakcik itu ketika itu, walaupun aku pasti hatinya pasti hancur musnah. Sekarang, setelah hampir sepuluh tahun selepas kejadian itu, selepas tiga tahun ayahku sendiri tiada lagi, setiap kali aku terserempak dan memerhatikannya, hatiku menjadi sayu. Terbayangkan hidupnya selama ini tanpa satu-satunya anak yang disayang. Pergi tanpa pesan, pergi tanpa tanda, pergi tanpa waris. Hidup pakcik itu sehari-hari sepi, meneruskan perjalanan tanpa gelak ketawa anak yang mungkin sekarang sudah bernikah dan beranak pinak.
Aku sedih atas pemergian ayah, namun aku juga simpati atas nasib pakcik itu. Hati ini begitu meruntun setiap kali melihatnya, mungkin kerana perasaan seorang bapa sudah mula mengalir dalam diri ini. Aku doakan mereka dapat berjumpa di akhirat kelak. Amin.
No comments:
Post a Comment