Ada beberapa natijah dari peristiwa bersejarah 9 Julai 2011. Ada yang kita terlepas pandang dan ada yang sengaja tidak diberi liputan oleh media tradisional yang dikuasai kerajaan.
1. Suara ramai usah diperkecil atau dibuli. Apabila para penganjur Bersih bersetuju dengan saranan Yang di-Pertuan Agong, kerajaan sengaja tidak memberi kerjasama. Polis melambat-lambatkan dan menidakkan permit dengan harapan bakal peserta kecewa dan bosan atau keliru, lantas memilih untuk tidak turun pada 9 Julai. Apa yang kerajaan gagal fahami adalah Ambiga dan jawatankuasanya hanya wakil suara rakyat. Rakyat lebih rela memilih turun ke jalan raya daripada menunggu dengan tidak sabar di rumah masing-masing.
2. Isu sebenar masih tidak diberi liputan. Sikap akhbar dan media tradisional yang bersikap ‘buat-buat bodoh’ sangat menjengkelkan rakyat. Pada saat media alaf baru sudah khatam berbincang tentang rasional dan ringkasnya 10 permintaan Bersih, media 'terkawal' masih terkial-kial mencari satu alasan munasabah mengapa begitu ramai rakyat turun menunjuk perasaan, tanpa menjejaskan air muka kerajaan yang hanya terpelihara di ceruk-ceruk yang tiada internet.
3. Kegagalan kerajaan memahami dunia internet. Seorang menteri mengatakan cybertrooper BN gagal menyaingi blogger pembangkang. Kekuatan pembangkang di media alternatif bukan kerana teknologi tetapi kerana kebenaran. Pembaca ingin tahu kisah sebenar bukan berita yang disogok. Apa yang berlaku pada 9 Julai diikuti rapat di #Bersih atau #Bersih2 bukan Utusan Online.
4. Fabrikasi bukti. Video kebiadapan polis keluar sekitar 2 jam sebelum perhimpunan berlaku secara rasmi. Video kebiadapan peserta demo? 2 minggu. Di mana rasionalnya masa yang diambil untuk mengeluarkan video selama itu? Akal logik pasti terfikir berapa banyak suntingan demi suntingan ditokok tambah untuk meyakinkan orang kampung bahawa para peserta aman ini bertindak ganas.
5. Trauma warna. Sampai sekarang peminat sukan masih tidak faham mengapa jersi tuan rumah pasukan bola sepak kebangsaan Harimau Malaya yang berwarna kuning tidak lagi digunakan sejak 2-3 bulan kebelakangan ini. Jersi biru yang pada asalnya untuk perlawanan di tempat lawan sudah menjadi jersi utama. Takutkah laungan lautan kuning di stadium bertukar menjadi "Hidup Hidup, Hidup Bersih"? Mungkinkah kontinjen Sukan SEA nanti juga akan berubah warna?
Kepada para peserta demo, tahniah. Anda telah menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah Malaysia. Jika bukan sejarah rasmi negara pun ia pasti dikenang sebagai hari istimewa bagi pencinta demokrasi tulen.
No comments:
Post a Comment