Monday, February 20, 2012

Kita patut jemput lebih ramai tokoh Islam dari luar

Saya berkesempatan mengikuti salah satu ceramah umum yang disampaikan oleh wakil Ikhwanul Muslimin (IM) dari Mesir baru-baru ini. Walaupun pada malam yang sama diberitakan ada ceramah Ustaz Azhar Idrus yang sangat ditunggu-tunggu berhampiran dengan tempat ceramah umum tersebut, namun saya memilih ceramah umum wakil IM kerana ia peluang yang jarang dikecapi.

Syukur alhamdulillah kerana sesi perkongsian wakil IM itu telah memberi suatu pendedahan yang segar tentang situasi ’lonjakan rakyat’ di Mesir khususnya dan di jazirah Arab umumnya. Saya mengucapkan syabas kepada IKRAM yang menjemput dan menganjurkan program yang sangat membuka mata ini. Sememangnya sebagai seorang Muslim, nasib sahabat dan saudara kita di Mesir, Palestin dan di mana-mana juga sentiasa dalam keprihatinan kita. Selama ini kita mendengar tentang IM di dalam berita atau blog-blog sejarah Islam. Sekiranya kita lihat di dalam laman web atau blog, banyak unsur negatif ditabur kepada pertubuhan ini. Mereka dianggap mengada-adakan benda baru dan menyimpang dari ajaran Islam.

Namun apabila membaca penulisan-penulisan para ulama mereka, ternyata gambaran yang diberikan sebenarnya tidak tepat. IM bukan mengada-adakan ajaran baru, tetapi mereka ingin melakukan pembaharuan azam dan cara kerja tanpa meninggalkan ajaran Rasulullah, sahabat dan para ulama. Gambaran tidak tepat itu terus hilang apabila bersua sendiri dengan peribadi-peribadi wakil IM ini dan mendengar sendiri ceramah umum yang mereka sampaikan.

Banyak media atau artikel yang mengulas dari perspektif kandungan ceramah, namun saya ingin memaparkan sisi lain sesi perkongsian tersebut. Saya tertarik dengan pendekatan lembut dan berhemah wakil IM tersebut. Kaedah penyampaiannya bersifat tazkirah, penuh nasihat dan sangat sederhana. Kerja dan usaha mereka memenangi hati rakyat Mesir bukan sehari dua dan bukan usaha yang remeh, tetapi ternyata mereka mempunyai pandangan berbeza apabila berhadapan dengan apa yang diistilahkan di Malaysia sebagai ’political milage’. Tidak pernah membangga diri dengan mendakwa merekalah pelopor kebangkitan dan mereka menegaskan semua urusan dan kejadian yang berlaku adalah dengan ketentuan Allah. Bukanlah rahsia sayap politik IM telahpun memenangi pusingan kedua pilihan raya Mesir, namun wakil IM tersebut dengan merendah diri mengatakan ini adalah kehendak rakyat, IM hanya mahu berperanan untuk bersama-sama membantu membangunkan Mesir secara Islami.

Saya merasakan IKRAM, sebagai sebuah pertubuhan NGO Islami yang prihatin tentang nasib umat Islam, bertindak tepat apabila membawa wakil IM ini ke Malaysia. IKRAM melalui NGO-NGO yang bernaung di bawahnya sememangnya telah sinonim dengan kerja-kerja dakwah dan pendidikan. Inilah yang sebenarnya dilakukan oleh IM sejak zaman pengasasnya Hasan al-Banna. Bahkan menurut wakil IM tersebut pilihan raya bukan matlamat utama mereka. Sesiapa sahaja yang membawa Islam akan mereka sokong dan akan mereka bawa bersama ke atas. Inilah agenda Islam yang sangat tulen, fundamental dan harmoni. Diharapkan pada masa-masa akan datang banyak lagi tokoh, ulama mahupun wakil pertubuhan pejuang Islam dibawa masuk untuk memberikan gambaran sebenar situasi di sana dan memberikan semangat kepada pejuang-pejuang syiar Islam tanah air bekerja dengan lebih keras lagi dalam usaha mendakwahi dan mendidik umat.

Jangan Gentar


Sekiranya kita memahami produk yang kita jual, dan kita yakin dengan keberkesanannya, maka tidak akan ada istilah takut, gusar atau gelisah.

Namun bukan bermakna kita boleh mendabik dada dan memaksa mereka menerima atau membeli produk tersebut.

Sunday, February 19, 2012

Pertentangan


Sejak dahulu lagi telah wujud pertentangan antara 2 kuasa besar. Kuasa besar dunia adalah Amerika Syarikat & Soviet Union sejak selepas Perang Dunia ke 2. Selepas kejatuhan Soviet Union, kuasa Amerika Syarikat tidak dapat diimbangi oleh mana-mana kuasa lain.

Monday, February 13, 2012

Valentine anyone?

Hari Ibu & Hari Bapa, bukan datang dari Islam, tetapi mempunyai mesej yang baik, maka tiada masalah pada hari tersebut meraikan seadanya. Hari Kanak-Kanak Sedunia juga begitu. Tetapi Hari Valentine adalah hari untuk memperingati kekasih? Di manakah status kekasih di dalam nilai kekeluargaan Islam? Kecuali kekasih itu telah diikat dengan akad nikah, hubungan tersebut tiada nilai. Lebih baik mengingati kasih sayang rasul di hari Maulidur Rasul.