Thursday, March 15, 2012

New Template


New look for new year

Tidak perlu tunjuk perasaan: Saranan Dangkal

Di sebalik kesedihan, kegeraman dan kemarahan umat Islam di Malaysia terhadap kezaliman yang berlaku di Syria, ada yang memilih untuk bersifat keras hati dengan menyarankan tidak perlu menunjuk perasaan. Orang sebegini telah hilang sensitiviti Muslim dan terlupa atau tidak mempelajari bahawa urusan umat Islam di Syria adalah urusan umat Islam di Malaysia. Sesuai dengan maksud hadis nabi bahawa sesiapa yang bangun pagi tanpa memikirkan masalah umat Islam, maka dia bukanlah tergolong di kalangan umat Islam.

Sekiranya kita enggan berfikir sebagai seorang atau tidak punya rasa belas kasihan terhadap penderitaan rakyat Syria, cubalah berfikir sebagai seorang manusia. Kerana manusia yang waras pasti ingin berbuat sesuatu untuk menghentikan pembunuhan demi pembunuhan yang berlaku di sana. Sumber dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga mengakui jumlah penduduk Syria yang terkorban sejak perhimpunan secara aman meletus telah mencecah lebih dari 8,000 orang dan dijangka lebih banyak lagi yang tidak dilaporkan. Beribu-ribu orang tercedera dan telah meninggalkan tempat tinggal. Laporan ini telah menyebabkan negara-negara Arab telah memboikot Syria dan NGO-NGO termasuk bukan Islam di Eropah membuat demonstrasi aman mendesak gencatan senjata di lakukan dan kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan. Sekiranya bukan Islam begitu vokal bertindak dan memperjuangkan keselamatan penduduk Syria, mengapa ada di kalangan kita yang lebih rela berpeluk tubuh, mempertahankan kerajaan yang membunuh rakyatnya sendiri dan lebih senang untuk tidak berbuat apa-apa?

Tidak cukup dengan itu, ada suara sumbang mempersoalkan taraf intelektual penganjur atau cara berfikir anak muda yang ingin menyuarakan pandangan mereka secara aman. Inilah kesilapan kita, gagal memahami aspirasi pemuda. Gagal memahami bahawa dengan arus media sosial interaktif masakini, anak-anak muda boleh menilai jauh lebih baik dari pemuda-pemuda di zaman terdahulu yang hanya bergantung kepada arus media perdana yang dikawal pemerintah dan tiada etika kewartawanan. Apakah pemuda itu bertindak mengikut hawa nafsu atau amarah semata-mata? Apakah mahasiswa dengan idealisme mencari kebenaran menerima sebarang berita tanpa prejudis? Jiwa anak muda adalah jiwa yang memperjuangkan kebenaran. Kebenaran tidak boleh ditutup dengan sogokan wang ringgit. Kebenaran tidak dikaburi oleh kepentingan-kepentingan. Kebenaran tidak terikat dengan perjanjian atau dasar-dasar yang membelakangkan hak asasi manusia. Jiwa anak muda tidak akan terbelenggu dengan janji-janji manis perubahan. Jesteru itu kita tidak sepatutnya merasa terkejut bila anak-anak muda di negara ini mahu bangkit menentang kezaliman Presiden Syria. Apa yang perlu kita risaukan adalah sekiranya mereka memilih untuk berdiam diri kerana sekiranya ini berlaku, maka anak-anak muda Malaysia ada masalah besar. Anak muda yang pasif adalah manifestasi dari terbelenggu jiwa merdekanya, menyalahi kebiasaan, lemah semangat dan tidak berdaya, tidak seperti pemuda-pemuda seluruh dunia yang bangkit menunjuk perasaan.

Fikirkanlah, apakah tindakan yang paling sesuai untuk menunjukkan sokongan terhadap rakyat Syria dan memberi tekanan kepada Presiden Basyar Asad? Inilah antara perjuangan yang sebenar, menyuarakan kebenaran kepada pemerintah yang zalim. Inilah masa untuk keluar dari kepompong keselesaan, keluar dari rutin yang berputar hanya di sekitar kita dan keluarga kita sahaja, keluar dari mementingkan diri sendiri. Kerana manusia yang tidak peduli problematika umat adalah manusia yang tidak berjiwa besar dan tidak meninggalkan apa-apa yang signifikan terhadap survival ketamadunan umat.

Wednesday, March 14, 2012

Ustaz Abdul Rahim Lakasauk ke rahmatullah


Mungkin aku hanya bertemu sekali tetapi beliau tetap peribadi yang mengkagumkan. Al-Fathihah

Tuesday, March 13, 2012

10 pengajaran daripada HAMAS

Kunjungan Dr Muhammad Shehab ke Malaysia yang dibawakan oleh sebuah NGO, Aqsa Syarif membawa pelbagai pengajaran yang menarik untuk dikongsi bersama. Saya ingin membawakan beberapa isi penting ucapan ahli Parlimen Jabalia, Palestin itu dalam satu sesi ucapan beliau baru-baru ini.

1. Beliau mula menyertai Ikhwanul Muslimin (IM) ketika berusia 17 tahun. Pada usia yang begitu muda, beliau diberi tanggungjawab menguruskan satu badan kebajikan masyarakat di Jabalia, tempat beliau menjadi ahli Parlimen sekarang. Usaha sejak muda telah membuahkan hasil bagi IM dan HAMAS, bukan kerana telah menjadi ahli Parlimen, tetapi kerana tokoh yang dididik sekian lama itu telah bekerja dan terus bekerja untuk masyarakatnya dan mewakili suara penduduknya dalam rangka untuk terus memperjuangkan kebebasan Palestin.

2. Pada awal penglibatan IM di Palestin, mereka banyak melakukan kerja-kerja masyarakat. Antaranya mewujudkan pusat-pusat komuniti untuk remaja berkumpul dan bersukan, mengadakan klinik-klinik kesihatan yang menawarkan harga yang murah, menjayakan aktiviti-aktiviti khusus untuk wanita, program menghafaz dan membaca al-Quran serta menubuhkan kumpulan-kumpulan nasyid yang berkhidmat untuk majlis-majlis umum. Ini bermakna sokongan peringkat akar umbi akan tercapai sekiranya kita berterusan membantu meringankan beban masyarakat dalam rutin seharian mereka.

3. Semaraknya aktiviti penyebaran fikrah Ikhwan berlaku seiring dengan bantuan kemasyarakatan. Buku-buku tulisan para ilmuan IM dijual dengan murah dan berlambak dijual di tepi-tepi jalan. Ketika itu menjadi satu trend untuk membuat satu sudut perpustakaan kecil di rumah untuk menempatkan buku-buku IM. Ini bermakna membangunnya sesuatu bangsa atau pejuang gerakan Islam itu adalah dengan banyaknya buku yang dihasilkan dan disebarkan. Ilmu, fikrah dan pemikiran sesuatu gerakan itu akan dapat difahami sekiranya didokumenkan dan diedarkan dalam skala yang besar tanpa melibatkan dana yang besar.

4. Penjara dan ahli HAMAS adalah dua unsur yang sebati. Urusan membina masjid di bawah regim Zionis diibaratkan berperang dengan titisan darah dan air mata. Ramai yang dimasukkan ke dalam penjara kerana mendirikan masjid tanpa keizinan pemerintah. Bagi ahli HAMAS atau IM sebelum lahirnya HAMAS, disumbat ke dalam penjara adalah perkara biasa. Dalam memperjuangkan kebenaran, pejuang Islam perlu bersedia untuk dizalimi dan dinafikan hak-hak asasi manusia.

5. Dalam melakukan intifadah, banyak demonstrasi dilakukan. Walaupun para pendukung intifadah dari masyarakat umum hanya membaling batu, tetapi ia menyampaikan mesej mereka tidak rela tanah air dan maruah umat Islam diperkotak-katikkan. Para pemimpin mereka bukan sahaja turut sama menyertai demonstrasi, tetapi mereka membentuk barisan paling depan.Mereka menjadi contoh dan ikutan masyarakat Palestin sekali gus menimbulkan rasa kegerunan dalam kalangan anggota keselamatan Israel.

6. Syiekh Izzudin al-Qassam merupakan pejuang awal sekitar 1935 menentang British sebelum lahirnya Israel. Bridged ketenteraan al-Qassam diwujudkan sempena nama beliau. Walaupun beliau kurang dikenali berbanding Syeikh Ahmad Yaasin atau mana-mana pejuang HAMAS masa kini, perjuangan beliau pada era Perang Dunia ke-2 menjadi inspirasi kepada pergerakan-pergerakan awal Islam di Palestin termasuk HAMAS.

7. FATAH atau dahulunya PLO membuat rundingan tanpa pengetahuan HAMAS untuk mendapat kuasa autonomi. Kuasa autonomi ini sebenarnya membantutkan intifadah dan cubaan mengurangkan sokongan yang semakin kuat terhadap HAMAS. Dalam usaha menghalang HAMAS meraih sokongan masyarakat umum, Israel dan US mengadakan pilihan raya dengan harapan HAMAS menjadi salah satu parti bertanding dan menjadi minoriti dan mereka akan disibukkan dengan politik. Ternyata usaha mereka gagal apabila HAMAS memenangi pilihan raya. Akhirnya mereka sendiri tidak mengiktiraf pilihan raya yang mereka selia dan pantau.

8. Nama HAMAS ibarat doa. Sememangnya semangat HAMAS sangat sinonim dari aspek bahasa dan falsafah. Daripada golongan rakyat biasa yang bersimpati dengan HAMAS dengan menyertai demonstrasi jalanan, sehinggalah kepada ahli Parlimennya, mereka sememangnya sangat bersemangat.

9. Rasa tawaduk yang sangat menebal dalam kalangan pejuang Islam perlu diteladani oleh semua. Menurut ahli Parlimen Jabalia itu, kemenangan HAMAS di dalam membentuk kerajaan didukung kuat oleh rakyat Palestin. Namun kejayaan itu bukan kejayaan HAMAS dan Palestin, tetapi juga kejayaan masyarakat Muslim antarabangsa yang tidak putus-putus memberi bantuan dalam pelbagai bentuk. Kejayaan perjuangan rakyat Palestin adalah kejayaan umat Islam di seluruh pelosok dunia.

10. Tiga sokongan yang diminta menunjukkan umat Islam perlu sentiasa bersedia membantu perjuangan rakyat Palestin.Sokongan politik, sokongan material dan doa perlu sentiasa dihadirkan dan bukanlah bersifat 'one off' tetapi perlu berterusan dan konsisten. Semoga kehadiran tokoh Hamas ini dapat memberikan manfaat kepada kemajuan amal Islam di Malaysia insya-Allah.

Friday, March 02, 2012

Erykah Badu


Di dalam wiki penyanyi ini ada dikaitkan dengan Nation of Islam. Bermakna tattoo tulisan Allah lebih kepada interpretasi kepelbagaian agama bukan penghinaan. Namun ia tetap sensitif dan perlu diberi pemahaman seadanya.