Thursday, March 15, 2012

Tidak perlu tunjuk perasaan: Saranan Dangkal

Di sebalik kesedihan, kegeraman dan kemarahan umat Islam di Malaysia terhadap kezaliman yang berlaku di Syria, ada yang memilih untuk bersifat keras hati dengan menyarankan tidak perlu menunjuk perasaan. Orang sebegini telah hilang sensitiviti Muslim dan terlupa atau tidak mempelajari bahawa urusan umat Islam di Syria adalah urusan umat Islam di Malaysia. Sesuai dengan maksud hadis nabi bahawa sesiapa yang bangun pagi tanpa memikirkan masalah umat Islam, maka dia bukanlah tergolong di kalangan umat Islam.

Sekiranya kita enggan berfikir sebagai seorang atau tidak punya rasa belas kasihan terhadap penderitaan rakyat Syria, cubalah berfikir sebagai seorang manusia. Kerana manusia yang waras pasti ingin berbuat sesuatu untuk menghentikan pembunuhan demi pembunuhan yang berlaku di sana. Sumber dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga mengakui jumlah penduduk Syria yang terkorban sejak perhimpunan secara aman meletus telah mencecah lebih dari 8,000 orang dan dijangka lebih banyak lagi yang tidak dilaporkan. Beribu-ribu orang tercedera dan telah meninggalkan tempat tinggal. Laporan ini telah menyebabkan negara-negara Arab telah memboikot Syria dan NGO-NGO termasuk bukan Islam di Eropah membuat demonstrasi aman mendesak gencatan senjata di lakukan dan kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan. Sekiranya bukan Islam begitu vokal bertindak dan memperjuangkan keselamatan penduduk Syria, mengapa ada di kalangan kita yang lebih rela berpeluk tubuh, mempertahankan kerajaan yang membunuh rakyatnya sendiri dan lebih senang untuk tidak berbuat apa-apa?

Tidak cukup dengan itu, ada suara sumbang mempersoalkan taraf intelektual penganjur atau cara berfikir anak muda yang ingin menyuarakan pandangan mereka secara aman. Inilah kesilapan kita, gagal memahami aspirasi pemuda. Gagal memahami bahawa dengan arus media sosial interaktif masakini, anak-anak muda boleh menilai jauh lebih baik dari pemuda-pemuda di zaman terdahulu yang hanya bergantung kepada arus media perdana yang dikawal pemerintah dan tiada etika kewartawanan. Apakah pemuda itu bertindak mengikut hawa nafsu atau amarah semata-mata? Apakah mahasiswa dengan idealisme mencari kebenaran menerima sebarang berita tanpa prejudis? Jiwa anak muda adalah jiwa yang memperjuangkan kebenaran. Kebenaran tidak boleh ditutup dengan sogokan wang ringgit. Kebenaran tidak dikaburi oleh kepentingan-kepentingan. Kebenaran tidak terikat dengan perjanjian atau dasar-dasar yang membelakangkan hak asasi manusia. Jiwa anak muda tidak akan terbelenggu dengan janji-janji manis perubahan. Jesteru itu kita tidak sepatutnya merasa terkejut bila anak-anak muda di negara ini mahu bangkit menentang kezaliman Presiden Syria. Apa yang perlu kita risaukan adalah sekiranya mereka memilih untuk berdiam diri kerana sekiranya ini berlaku, maka anak-anak muda Malaysia ada masalah besar. Anak muda yang pasif adalah manifestasi dari terbelenggu jiwa merdekanya, menyalahi kebiasaan, lemah semangat dan tidak berdaya, tidak seperti pemuda-pemuda seluruh dunia yang bangkit menunjuk perasaan.

Fikirkanlah, apakah tindakan yang paling sesuai untuk menunjukkan sokongan terhadap rakyat Syria dan memberi tekanan kepada Presiden Basyar Asad? Inilah antara perjuangan yang sebenar, menyuarakan kebenaran kepada pemerintah yang zalim. Inilah masa untuk keluar dari kepompong keselesaan, keluar dari rutin yang berputar hanya di sekitar kita dan keluarga kita sahaja, keluar dari mementingkan diri sendiri. Kerana manusia yang tidak peduli problematika umat adalah manusia yang tidak berjiwa besar dan tidak meninggalkan apa-apa yang signifikan terhadap survival ketamadunan umat.

No comments: