Tuesday, December 02, 2003

20030926-catatan_bakal_bapa bah 2

Selesai di bilik air, zaujati disajikan minum malam sebelum tidur dan berehat untuk hari yang mungkin terpenting dalam hidupnya. Hidup aku juga. Seusai dia meletak kepala aku juga berbaring di lantai sambil berborak2 kosong. Seperti biasa aku dulu yang tertidur. Namun aku terjaga setelah terlena seketika dan melihat airmata zaujati menitis sambil memandangku. Samada resah menanti esok atau sedih melihat aku tidur di lantai tidak dapat aku pastikan. Aku meminta zaujati menyambung tidur. Belum lama aku terlena aku terasa zaujati berada di sebelahku, di lantai yang sempit ini. Dia tidak sampai hati melihat aku tidur di bawah sedangkan dia di atas tilam yang empuk. Aku lantas menyuruh zaujati tidur di atas katil semula dan terus menyambung tidurku.

20030927
Kira-kira 4.35 pagi, aku dikejutkan oleh suara zaujati yg lantas menunjukkan kawasan tengah tilam yg agak basah. Ketuban air sudah pecah. Salah satu tanda awal kelahiran. Alhamdulillah, mungkin tak perlu induce kerana baby sudah menunjukkan tanda mahu keluar.
Aku memanggil misi utk melihat perkembangan itu. Misi memberi maternity pad dan menyuruh zaujati memanggilnyd semula sekiranya ada contraction yg kuat & berulang. Aku mengambil peluang ini utk bertahajud kepada Allah. Ketika solat tidak disedari airmata ini mula mengalir perlahan. Perasaanku bercampur aduk ketika itu. Sebak, gembira, sedih, syukur semuanya apa beldka. Kulihat wajah zaujati yg memerhati aku solat sejak tadi. Masih ada garis2 ceria & ingin tertawa lagi. Lalu aku berehat sebentar sambil menunggu zaujati tidur.
Sekitar 8.30 pagi Dr. Fatimah memeriksa keadaan zaujati. Beliau telah memasukkan ubat untuk meransang kelahiran. Hampir pukul 12, zaujati mula merasa sakit (contraction) setiap 10 minit. Hampir 2 jam kemudian, sakitnya datang setiap 3 min. Kira2 jam 2.30 ptg, Dr. Arizd pula memasukkan ubat. Beliau menyatakan bahawa ubat ketiga dan terakhir akan menyusul selepas 6 jam. Along & mak datang kira2 jam 3.50 ptg. Jam 7.30 ptg zaujati mengadu sakit yg luar biasa. Kira2 8.30 mlm, Dr. Ariza kembali. Alhamdulillah jejari keluar sudah terbuka 1cm. Zaujati kemudiannya tertidur. Aku masih tak mandi dan solat isyak. Aku mahu terus ke tandas, tetapi bila mengenangkan apabila zaujati membuka mata & melihat aku tiada di sisi, pasti dia akan sedih. Lalu aku pendam dulu hasrat di hati.


Kemungkinan besar esok pagi akan masuk labor room. Ini kerana dinding baby sudah agak nipis, bermakna bayi sudah dekat dgn pintu. Kira2 pukul 11.15 malam zaujati diberi suntikan supaya tidur nyenyak malam ini. Selepas bertahajud & qiyam aku temankan zaujati tidur.

20030928
Kira2 9.30 pg jejari masih 1cm, dan masuk ubat kali ketiga. Zaujati diminta menunggu sehingga 3.30 ptg sebelum doktor decide samada terus tunggu atau operation. Sekiranya terus tunggu nyawa baby dalam bahaya. Oleh itu CTG test dibuat sekitar 11.30 pg. Ia menunjukkan jantung baby kadar denyutan yg menurun kepada 120-140. Zaujati terus menanggung kesakitan yg tidak tahu bagaimana hendak aku gambarkan. Sekarang sekitar punggung juga terasa sakit. Mungkin kerana baby semakin hampir dengan pintu rahim.
Dengan kesakitan sebegitu jejari masih kekal pada 1cm. Pada sekitar 1.15 ptg kami diberitahu sekiranya tiada perubahan, maka kami terpaksa ke bilik pembedahan.
Pukul 3.30 ptg Dr. Khamsiah mengesahkan jejari sudah terbuka 3 cm. Zaujati diberi satu suntikan atas kehendak sendiri. Namun ia sebenarnya tidak digalakkan kerana baby yg lahir mungkin tidak menangis! Namun aku terpaksa meminta dari bidan bertugas kerana zaujati sudah tidak terdaya menanggung kesakitan. Emak datang pada 4.30 ptg. Sementara itu Mama dari semasa ke semasa menenangkan zaujati melalui panggilan telefon dari Johor. Sejak semalam zaujati tidak mahu menjamah nasi & lauk-pauk yg enak tu. Dengan harga RM30 sehari utk menginap, sepersalinan & makan, ia sangat berpatutan. Kedatangan Emak memberi kesempatan kepadaku untuk pulang ke rumah mengambil baju & mandi. Aku kembali ke az-Zahrah sekitar 5.30 ptg.

Kira-kira pukul 7.30 mlm bidan Azizah memberitahu bahawa kami perlu bersedia ke bilik bersalin. Aku lega apabila diberitahu bahawa zaujati boleh bersalin normal. Kira-kira 7.45 mlm misi memindahkan Fathimah ke dalam stretcher dan terus ke aras 2. Kami menunggu sehingga 8.30. Ketika ini Fathimah sakitnya datang kembali. Sekitar 9 mlm Fathimah sudah ada di bilik bersalin. Tiga insan bakal menyambut bayi ini bersama kami. Seorang misi, namanya kalau tak silap Wini(nanti kubetulkan). Dia juga yang menghantar kami keluar dari Az-Zahrah kemudiannya. Ada juga bidan Azizah yang sangat lembut dan menebal perasaan dan jiwa keibuannya. Juga Dr. Khamsiah, yang ketika kami masuk sedang menyambut seorang bakal kawan Thalhah di incubator. Berbalik kepada zaujati, beliau sudah mula dimasukkan air atau istilah perubatan drip (ke pebenda?). Kesan drip itu sangat hebat. Kalau zaujati boleh melompat, dia rasanya mampu melompat kerana terlalu sakit. Kalau yang suka sangat melawan cakap mak, tengoklah isteri kita bersalin. Pasti balik melutut kat mak kita mohon ampun. Kalau kita sakit kita cuba kuatkan diri. Tetapi kalau orang yang kita sayang sakit apakah daya kita? Kita sebagai suami hanya mampu melihat sambil menangis di dalam hati. Sekali-kali jangan menangis di depan isteri kerana dia sangat perlukan semangat dari kita dalam menempuh pengalaman pertama ini. Tangan yang digenggam semakin kuat dan hampir tak terlepas lagi. Zaujati mengerang kesakitan. Misi dan bidan, kelihatan tenang sahaja dengan skrip yang hampir sama iaitu "Tarik nafas ikut hidung, lepas perlahan-lahan ikut mulut" dan "Jangan menjerit, tarik nafas". Amat menakjubkan bagaimana mereka berupaya melafazkan dialog dengan tenang dan bersahaja di saat-saat yang sangat genting ini. Kalau tadi aku berupaya lagi membaca ayat-ayat Quran, sekarang suara aku tenggelam dengan suara zaujati. Kemudian entah pukul berapa ketika itu, Fathimah menyatakan dia terasa muka bayi. Aku melihat ke bawah. Punggung sudah mula berdarah! Aku sudah panik. Lantas aku memanggil bidan yang menguruskan bayi terdahulu. Rupa-rupanya kepala bayi sudah kelihatan sedikit. Terus bidan mengambilalih posisiku sambil memegang tangan dan bahu Fathimah. Dr. Khamsiah sudah mula menarik kepala bayi. Kemudian sekelip mata bayi sudah keluar sepenuhnya dan yang indah dan leganya adalah, tangisannya yang pertama. Bidan memberi salam kepada bayi dan bayi menjawab (acah je). Alhamdulillah bayi sihat dan normal. Fathimah diberi peluang sebentar bersama dengan bayi sebelum bidan mengambilnya untuk dibersihkan. Sementara itu Dr. Khamsiah sudah mula menjahit koyak yang sepenjang 3cm di 3 lapisan saluran peranakan. Fathimah ketika ini sudah sedikit tenang dan agak keletihan tetapi masih berupaya menguntum senyum. Sementara itu misi memperdengarkan bacaan ayat-ayat Quran surah Yusuf.

Kini saat-saat yang mendebarkan seorang bapa; mendokong dan mengazankan bayi. Bila aku mula mengambil dari bidan, memang terasa kekok. Aku menyalahkan diri sendiri kerana berlatih memegang bayi dengan anak saudaraku Mimi yang sudah 6 tahun! Tersilap. Sepatutnya pilih bayi yang lebih muda. Indahnya saat itu, ketika Thalhah memberi respon kepada laungan azan lagu Masjid Jamek Banting, dengan melihat wajah bapanya. "Oh, patutlah bidan tadi kata aku hensem", kata Thalhah di dalam hati. Selepas itu, misi memberikan satu bungkusan berisi uri, teman Thalhah di dalam perut mamanya.

Ya Allah ya tuhan, setiap kali teringat kisah ini pasti aku sebak, tersenyum, gembira, sayu dan mengalir air mata. Syukur kepadaMu tuhan yang empunya nyawa dan jodoh. Amin Amin ya Rabbal 'Alamin.

No comments: