Sunday, April 23, 2006

Hari Lahir dan Kematian

Hari Lahirku dan Hari Kematian Tun

Semalam genap 3 dekad aku diberi peluang hidup di bumi yang indah ini. Ish-ish, sudah tua rupanya aku. Fizikal sudah tua, namun yang lebih penting, sudah cukup tuakah aku untuk benar-benar memahami erti hidup? Menyambut hari kelahiran bukanlah sesuatu yang menarik dalam hidup manusia dewasa. Ia lebih kepada peringatan bahawa umur sudah semakin meningkat. Itu yang kurasakan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi pada angka keramat 30 ini.
Mungkin aku tidak risaukan sangat kedutan di muka seperti Siti Nurhaliza yang berkomplot dengan Olay memcari gimmick murahan. Aku juga tidak bercadang menggunakan tong oksigen seperti yang dibuat oleh Michael Jackson ketika dia masih kaya raya. Aku lebih risau tentang tahap kesihatanku yang tidak sebaik dulu.

Sejak seminggu lepas aku terpaksa kurangkan makan atau menelan sahaja makanan yang lembut. Pertumbuhan gigi bongsu yang menyakitkan itu sedikit sebanyak menarik nikmat makan yang selama ini tidak disyukuri. Hamba yang lemah ini sudah mula mengaduh diberi ujian kecil. Kalau dugaan besar bagaimana lah agaknya. Dahulu aku tak pernah ada masalah penghadaman, sekarang aku mesti pastikan serat ada di dalam dietku. Ia petanda sistem dalaman sudah tidak secekap dulu. Seiring dengan masa juga, aku lebih kerap demam berbanding ketika awal 20an dahulu.

Namun itu bukan tandanya kita sudah boleh mula memperlahankan rentak kerja. Kerana ketika inilah kudrat kita semakin kuat diperah, langkah kita dipercepatkan dan ketahanan kita semakin perlu diperbaiki. Orang putih kata Life begin at 40, dan Rasulullah sendiri diberi wazifah ketika berumur 40an. 40 tahun bukan usia untuk pencen bekerja dan bersenang-lenang, dan kerja-kerja amal ini tidak boleh berhenti ketika umur mencecah 55. Tidak ada istilah pencen bagi rasulullah dan orang yang mengikut jalannya.

Menyaksikan upacara penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Ghafar Baba sepatutnya memberikan keinsafan kepada kita semua. Selalu-selalulah menjenguk orang sakit dan membantu menyempurnakan jenazahnya bila dia meninggal dunia. Insya Allah ia akan menjadi tazkirah terbaik dalam mengingati mati.

Terima kasih atas sms para sahabat yang mendoakan diri ini. Sekurang-kurangnya kek lapis zaujati lembut dan boleh ditelan selepas sekian lama dikemam. Risau-risaupun perut tetap minta diisi.

Risaukan juga bekalan nak ke akhirat. Cukup ke nak dibawa bertemu Allah?

No comments: