Sunday, March 09, 2008

Tahniah atas kematangan dan keberanian

Buat pertama kali di dalam sejarah, rakyat Malaysia memperlihatkan kematangan dan keberanian dalam mencuba sesuatu yang baru. Memang terlalu banyak masalah dan kepincangan di dalam pemerintahan yang tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa diperbetulkan. Situasi terkini adalah sihat kerana dengan menafikan 2/3 majoriti kerajaan pemerintah, sebarang usul dan dasar terpaksa memerlukan sokongan pihak pembangkang nasional (hati-hati dengan istilah pembangkang, ia berbeza di peringkat negeri atau nasional). Oleh itu pemerintah di Parlimen perlu memberi justifikasi yang kuat sebelum sesuatu usul dilululskan. Ianya akan menjadikan pemerintah lebih efisen kerana diaudit sepenuhnya oleh pembangkang. Belakang, rakyat juga yang mendapat manfaatnya.



Masa mengundi tak boleh tangkap gambar, tapi aku ketika itu sedang pura-pura silentkan handphone.

Pertambahan suara pembangkang di Parlimen bermakna kerajaan pemerintah tidak boleh sewenang-wenangnya berbuat apa sahaja tindakan yang merugikan rakyat. Tokoh-tokoh pembangkang yang dihantar ke Parlimen perlu memainkan peranan untuk mendatangkan keuntungan yang besar untuk rakyat. Rakyat marhaen sudah terlalu lama sukar dengan kos sara hidup yang semakin sukar. Anehnya keuntungan negara melalui minyak yang
besar tidak dapat disalurkan. Sepatutnya bila harganya terus naik, kita sebagai negara pengeluar terus untung. Tetapi kita dihidangkan dengan kenaikan harga petrol, dan pelbagai lagi kenaikan harga barang lain oleh peruncit dan pekedai dengan alasan harga petrol naik. Oleh itu mesej di kertas undi sangat jelas: Perbaiki masalah kami dan lihat apa yang pincang di dalam pentadbiran negara.

Perubahan tampuk kuasa negeri termasuk negeri kesayanganku Selangor adalah sesuatu yang tidak pernah diduga. Siapa sangka Selangor negeri maju berstatus kerajaan PKR-PAS-DAP. Hampir sama situasinya sekarang dengan Kelantan. Sukar untuk membayangkan kerajaan pusat menghina pembangunan dan kemajuan di Selangor melalui media massa seperti yang dibuat terhadap Kelantan sebelum ini. Ia ibarat meludah ke langit, belakang terkena muka sendiri. Ia juga petanda yang sepatutnya membimbangkan BN kerana ia memberi mesej yang jelas bahwa rakyat mahu menilai keupayaan pembangkang nasional memerintah negeri. Apabila mereka sudah yakin, tidak mustahil mandat memerintah negara akan diberi dalam tempoh 4 tahun lagi.

Sudah tiba masa BN membuang pemimpin yang punya agenda selain kepentingan rakyat. Untuk bergerak efisen, BN perlu melupakan kepentingan peribadi dan bekerja lebih kuat dan telus untuk menawan hati rakyat. Jangan guna media massa secara keterlaluan kerana orang kampungpun dah tahu guna Streamyx sekarang. Setakat buka malaysiakini atau Roslan SMS guna Celcom Broadband tu apalah sangat susahnya pada mereka. Rakyat semakin pintar, jangan mereka diperbodohkan dengan taktik politik zaman 70-an dan 80-an.

Semoga perubahan ini akan memberi kebaikan kepada kita semua. Kepada YB-YB, rakyat dah semakin bijak menilai dan semakin peka, juga semakin rajin pergi dengar ceramah (untuk dapatkan sumber alternatif), oleh itu kena kerja rajin-rajin, kalau tidak penggal ini mungkin penggal terakhir. Pemerintahan baru 5 negeripun begitu. Rakyat sudah memulakan penilaian sekarang. Pembangkang peringkat negeri (BN) pasti setuju.

Hidup kuasa rakyat. Bak kata Anwar "Makkal Sakti".

Di sini juga aku ingin ucapkan tahniah kepada beberapa 'kenalan/ahli keluarga':

1. Khalid Abdul Samad Parlimen Shah Alam
2. Fuziah Salleh Parlimen Kuantan
3. Dr. Lo' Lo' Parlimen Titiwangsa
4. Shaari Sungib DUN Hulu Kelang
5. Dato' Mohammad Awang Tera DUN Chukai

Istilah baru yang kupelajari: Majoriti Mudah --> Maknanya majoriti minimum yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

No comments: