Sunday, January 11, 2009

Ziarah Jenazah Tazkirah Terbaik

Pagi tadi aku terpinga-pinga dengan pemergian seorang saudara yang telah kukenal lama. Tanpa berfikir panjang kami sekeluarga bergegas pulang ke kampung yang kebetulan berdekatan dengan rumah Allahyarham. Jenazah disolat dan dikebumikan selepas solat Asar.

Visit Khae_276 Photostream

Nyawa manusia memang sifatnya tidak kekal. Namun ia akan menjadi sesuatu yang tidak terduga, sekiranya seseorang yang meninggal dunia itu kita kenali sebagai seorang yang sangat sihat dan tiada tanda-tanda penyakit fizikal. Namun itulah tanda Tuhan itu punya kuasa yang tidak terbatas, sesiapa sahaja tidak dapat lari dari takdir. Kalau kita rasa sihat walafiat, belum tentu esok kita masih mampu melihat dunia yang sementara ini. Lantaran itu, sekiranya kita mati esok, apakah bekalan yang telah kita persiapkan untuk bertemu denganNya? Cukup besarkah rumah semi-D kita untuk ditunjukkan kepada Tuhan? Adakah Dia akan kagum dengan Sony Ericsson C902? Adakah laluan kita di titian siraj cukup laju dengan Honda City V-Tec? Mampukah Blackberry dan Macbook menemankan kita sepanjang masa di liang lahad sementara menanti hari kiamat?

Cukup kagumkah Dia dengan Sony Ericsson C902 yang canggih ini?


Taken from http://sefanboy.com/wp-content/uploads/2008/04/c902_1.jpg

Kerana itu hatiku tersentuh apabila mendengar doa Ustaz Hasan yang mengiringi jenazah seusai solat. Antara bait-bait menyentuh perasaan dalam doaa beliau yang panjang adalah
"Ya Allah, Engkau ampunkanlah saudara kami ini Ya Allah. Kami menjadi saksi bahawa beliau telah cuba menjadi seorang hambaMu yang terbaik. Beliau baru balik mengerjakan haji dan suka memperbanyakkan amal ibadah.
Ya Allah. Kami menjadi saksi bahawa beliau telah cuba menjadi seorang bapa dan suami yang baik. Beliau mendidik anak dengan penuh kasih sayang.....
Ya Allah kami menjadi saksi bahawa beliau telah cuba menjadi seorang Muslim yang berjuang di jalanMu. Beliau seorang dermawan yang banyak memperuntukkan hartanya di jalanMu. Beliau banyak memberikan perhatiannya kepada dakwah dan tarbiyyah ...."

Masya Allah, alangkah mendalamnya doa al-Ustaz. Ia doa kepada yang mati dan tazkirah kepada yang mendoakan. Seraya itu hati berkata-kata "Apakah apabila aku mati nanti, ada atau tidak keluarga, saudara-handai, jiran tetangga dan para sahabat yang boleh menjadi saksi untuk kita." Kalau nak cari saksi kekayaan kita, ia pasti mudah. Rumah tersergam indah, kereta besar, harta banyak. Namun adakah semua itu beerti di sisi Allah? Adakah semudah itu untuk mengumpulkan kekayaan yang benar-benar beerti di sisi Allah? Inilah masa menepuk dada dan bertanya iman.

No comments: