Kisah penindasan umat Islam minoriti Rohingya di Myanmar bukannya baru. Sejak 1980-an lagi kita telah mendengar keganasan demi keganasan terhadap kumpulan minoriti yang tidak diiktiraf sebagai warganegara negara itu. Skripnya sama, umat Islam diperlakukan lebih teruk daripada binatang, mereka dizalimi dan dihalau dari tempat tingggal mereka. Media arus perdana tidak dapat membuat liputan yang tepat kerana hanya media massa Myanmar sahaja dibenarkan memasuki kawasan Arakan tempat etnik Islam Rohingya menetap. Akibatnya golongan ini digambarkan sebagai bangsa yang jahat dan tidak bertamadun.
Keganasan terbaru di negeri Rakhine bermula Mei lalu apabila seorang wanita etnik Rakhine, yang beragama Buddha, didakwa telah dirogol dan dibunuh oleh tiga orang beragama Islam. Namun media arus perdana di negara itu tidak jauh berbeza dengan media arus perdana di negara-negara ASEAN, sentiasa menjaga kepentingan pemerintah. Berita-berita yang sebenar tidak dapat dipastikan, diselewengkan dan direka untuk membangkitkan rasa kebencian terhadap umat Islam yang berada di sana sejak sekian lama.
Dengan perkembangan media baru masa kini, kisah sebenar kezaliman etnik majoriti negara itu tidak dapat lagi dibendung. Semua pihak sudah tahu termasuk masyarakat antarabangsa dan para pemimpinnya. Persoalannya, apakah yang akan berlaku seterusnya?
Yangon perlu bertanggungjawab di atas kaedah yang digunakan untuk mengembalikan keamanan di negeri Rakhine di barat negara itu. Perintah berkurung yang hanya dikenakan kepada etnik Rohingya menyebabkan umat Islam tersepit apabila bekalan makanan ketika bulan Ramadan ini kehabisan. Sekiranya keluar untuk membeli makanan mereka boleh ditembak sedangkan etnik majoriti yang mengganas bebas berkeliaran menunggu mereka di pasar dan di tempat pengagihan makanan UNHCR. Pendekatan ini seolah-olah memberi lesen untuk membiarkan mereka mati kelaparan sekiranya tidak mati di jalanan.
Situasi pemenang Habiah Nobel Keamanan Dunia, Aung San Suu Kyi juga tidak terlepas daripada kritikan. Ada pihak yang berpendapat beliau tersepit kerana ditekan oleh kerajaan militer yang seolah-olah bersekongkol membantai puak minoriti negara itu. Walaupun begitu, harus diingat, sepanjang perjuangan beliau menyuarakan demokrasi di Myanmar, beliau memang sentiasa ditekan, dikurung dalam tahanan rumah dan dinafikan hak-hak untuk menyampaikan idea-idea prodemokrasi. Jadi mengapa perlu menjaga hati kerajaan militer sekarang?
Dasar luar negara ASEAN yang tidak campur tangan dalam hal ehwal sesebuah negara pada hemat saya bersifat membuta tuli. Ini kerana ia sepatutnya dasar yang hanya terpakai untuk urusan-urusan ekonomi, politik dan sosial secara umum. Apabila ia melibatkan pencabulan hak asasi manusia, ASEAN perlu mengutuk Yangon dan bertindak memberi tekanan antarabangsa.
Mengapa kisah pembunuhan dan penderitaan umat Islam Rohingya seolah-olah kurang dibincangkan di laman sosial, blog-blog atau sebarang media siber berbanding Syria mahupun Palestin? Apakah kita memilih bulu atau bersikap double standard?
- Abu T
No comments:
Post a Comment