Bila kita mempunyai anak, secara sedar atau tidak, kita akan punya lebih sensitiviti tentang sesuatu yang berlaku di sekeliling kita. Lebih-lebih lagi bila melibatkan ibu & anak-anaknya. Di Lahore ini, atau umumnya di Pakistan, sensitiviti itu memang sentiasa terusik & kadangkala bikin jiwa jadi insaf. Apatah lagi bila berjauhan dari keluarga.
Pemandangan selepas solat Jumaat adalah sangat biasa. Peminta-peminta sedekah terlalu ramai. Perempuan tua & kanak-kanak. Namun bila terpandang seorang ibu muda menatang bayi lepas hari, terus naluri kemanusiaan tersentuh.
Bukan kerana tidak pernah jumpa ibu mengendong anak kecil meminta sedekah. Ia bukan sesuatu yang luar biasa, samada di sini mahupun di tanahair.
Pengalaman indah bersama bayi berumur sesaat sebanyak dua kali memberi pengajaran mengapa ibu sangat RasuluLlah muliakan. Oleh itu pemandangan seorang ibu dengan anak adalah bahan tazkirah yang sangat menginsafkan.
Perkara yang menyentuh hati adalah bayi itu bukan bayi setahun mahupun sebulan tetapi seminggu, mungkin tidak sampai seminggu usianya. Memang sukar membezakan umur sehari dengan seminggu dari sekali lmbas, namun berdasarkan pemerhatian bayi berkenaan terlalu kecil untuk survive cuaca & udara panas & berdebu. Si ibu pula sudah tentu masih berpantang, menimbulkan pertanyaan: Mana sibapa?
Tangannya yang kecil mulus tetapi tampak kering & malnutrisi sudah cukup membuat diri sebak. Sukar menahan air mata ego seorang lelaki dari mengalir.
Hidup ini memang susah, sempit & perit. Tetapi apalah sangat dugaan hidup ini jika dibandingkan dengan perjuangan sesuap gandum yang terpaksa ditempuh siibu ini setiap hari?
Emak... terima kasih kerana bersusah payah membesarkan aku. Mungkin tidak sampai ke peringkat meminta belas kasihan orang lain, tetapi keperitan hidup dalam menyara anak tetap terasa di dalam kapasiti yang berbeza. Semoga kita akan tetap memelihara hubungan dengan ibu kita atas apa jua perbezaan dan perselisihan.
No comments:
Post a Comment