Tuesday, January 11, 2011

Motivasi Belajar Sekotak Pensel Warna

Ketika itu aku masih kecil, sebaya umur anak sulungku sekarang. Walaupun ketika itu tiada Iqra', Bacalah Anakku, Read Easy mahupun Bacalah Jawi, tetapi belajar tetap belajar. Motivasi belajar untuk mendapat sesuatu bukanlah bagus, tetapi ia bukan satu kesalahan. Aku perlu belajar bersungguh-sungguh untuk dapatkan kelengkapan mewarna yang baru. Pensel warna kakak yang kupakai sekian lama telah menjadi sepanjang ibu jari. Oleh kerana ibu berjanji membelikan yang baru, aku belajar bersungguh-sungguh. Penggal itu aku mendapat nombor satu di dalam kelas. Petang itu berbunga-bunga gembira beritahu ayah dan mak tentang keputusan penggal kedua itu. Aku tahu mak dan ayah bukannya ada duit, tambahan pula sekarang belum masuk gaji. Tetapi esoknya ibu menghadiahkan pensel warna yang baru. Ya pensel warna Luna 12 batang saiz pendek, kecil tetapi sangat bermakna kerana ia kepunyaanku sendiri, bukan '2nd hand'.

Beberapa dekad berlalu kini aku pula membelikan pensel warna untuk anak-anak. Mungkin kerana hidup tidak sesukar dulu, mungkin kerana harga sekotak pensel warna tidak semahal dulu atau mungkin perbezaan prioriti tentang pendidikan anak, anak-anak kita sekarang tidak sesukar dahulu untuk mendapatkan sekotak pensel warna. Bukan sekadar tidak perlu berjuang untuk mendapatkan sesuatu, bahkan mereka telahpun dapat lebih awal, iaitu sekitar umur 4 tahun kita sudah belikan peralatan menulis dan melukis, atas alasan motor skill perlu diasah seawal mungkin. Tamatkan Iqra' 4 untuk mendapat Lego Star Wars terbaru; itu motivasi era ini. Anak zaman ini sudah terlalu sofiskated; bawa Sony Ericsson Vivaz ke sekolah, RPG Doom dan Tomb Raider tidak cool kerana tidak dimainkan di internet seperti Crazy Shooter Online mahupun Farmville, atau sekadar selesa mendengar subversif alternative punk rock indie menggantikan rock kapak. Sekotak pensel warna mungkin telah bertukar dari kehendak kepada keperluan.

No comments: