Persoalan ini saya tanyakan diri sendiri ketika di satu ketika, perbualan saya secara siber dengan seorang sahabat sekerja berakhir. Bagaimana bermula? Kami berbincang mengenai kemungkinan perang Malaysia-Indonesia berikutan krisis perebutan pulau yang mengandungi hasil minyak di sempadan kedua-dua negara. Saya mengatakan kita tidak perlu berperang kerana kita serumpun dan seagama. Sahabat setuju tetapi beliau rasa bukan setakat Indonesia, bahkan kepada semua negara. Saya tegaskan kepada musuh-musuh Islam seperti Israel, mereka tetap perlu diperangi. Lalu sahabat saya mempertikaikan adakah Islam mengajar umatnya memerangi orang lain. Bukankah Islam menyeru kepada keamanan? Saya speechless kerana tak tahu bagaimana hendak menjawab pertanyaan itu secara pendek. Lalu perbincangan kami berakhir di situ atas permintaan saya. Sememangnya ia memerlukan penghuraian yang panjang dan lama. Sekiranya mahu jawapan ringkas, mungkin begini. Memang Islam itu menyeru keamanan, tetapi apakah keamanan semata-mata yang diseru oleh Islam? Apakah benar maksud Islam itu keamanan atau perdamaian semata-mata? Jika benar, mengapa Rasulullah yang menjadi ikutan kita juga berperang? Masihkah kita mahu menyeru keamanan kepada orang yang memerangi kita?
Di dalam ayat Quran dijelaskan tentang bagaimana kita menghadapi musuh iaitu di dalam Surah Anfaal ayat 61.
"Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
Maknanya di sini jika di situ wujud keinginan musuh untuk berdamai, maka jangan kita bersikap melampau. Condonglah kepada perdamaian itu. Yang jelas di sini adalah perdamaian itu datang kepada mereka yang tidak memerangi kita. Yang tetap memusuhi, yang membunuh, yang terang-terang menzalimi, wajib diperangi. Sekiranya rasulullah tidak mempertahankan, mengangkat senjata dan memerangi orang kafir Quraisy dan orang Yahudi yang bersekongkol mengepung Madinah, maka musnahlah generasi emas Muslim yang pertama. Tidak akan sampailah syiar Islam dimuka bumi ini. Bukan melihat perang sesuatu yang baik sepenuhnya, tetapi ia perlu sekiranya tanah orang Islam dicerobohi dan umat dizalimi. Jangan menunggu Kaabah di Masjidil Haram dipijak-pijak, baru kita berhenti melaungkan "We want Peace". Maaf sekiranya agak emosi hal ini. Mungkin ada yang kurang tepat disampaikan di sini. Sila rujuk guru masing-masing.
Perbincangan tentang Islam boleh jadi mudah kalau hendak dimudahkan, tetapi akan mencelarukan sekiranya tidak berguru. Oleh itu saya cadangkan, membaca weblog seperti ini sekadar pembacaan peringkat kedua setelah mula membaca tentang Islam secara berguru. Rujuklah para ustaz dan ustazah agar tidak terseleweng. Maklumlah kadangkala kita ikhlas tetapi mungkin penulisan kita kurang tepat lantaran ilmu yang tidak seberapa.
Di dalam sebuah buku yang agak mashyur iaitu Keperibadian Muslim, yang merujuk kepada penulisan Fathi Yakan (Apa Ertinya Saya memeluk agama Islam), Abul A'la Maududi (Asas-asas Islam) dan Syed Qutb (Inilah Agama Islam), diterangkan makna Islam secara dan kalimah. Agak panjang untuk dihuraikan di sini, tetapi mungkin boleh berkongsi bagi yang belum pernah baca. Makna Islam secara lafaz adalah menundukkan wajah atau diri. Sila rujuk An-Nisa Surah 4 ayat 125. Makna lain bagi Islam adalah istislam bermakna berserah diri (3.83). Islam juga salamah bermakna suci bersih (26.89). Juga Islam itu salam bermakna selamat atau kesejahteraan (6.54). Akhir sekali Islam itu dari lafaz juga assilmu bermaksud perdamaian (47.35). Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh sahabat saya tadi, iaitu Islam menyeru keamanan kerana Islam bermaksud keamanan. Terdapat juga kalimah-kalimah yang menerangkan makna Islam itu sendiri. Kalau ada peluang dan teringat, saya coretkan.
No comments:
Post a Comment