Monday, March 20, 2006

Minyak: Kekelakaran yang Membosankan

Belum setahun matang janji Abdullah Badawi bahawa harga minyak tidak akan naik (Julai 2005), sekali lagi kita terpaksa menerima kenaikan harga bahanapi itu dengan harga terbuka. Barangkali kita rasa kita tidak ada pilihan selain mengikut sahaja telunjuk kerajaan. Kerajaan yang kita pilih dengan harapan dapat mengurangkan beban hidup dan menjadikan hidup kita selesa. Oleh itu apabila kerajaan memberi alasan pengurangan subsidi minyak untuk mengurangkan beban kerajaan, kita tertanya-tanya kerajaan apa kita pilih ni? Atas rasional apa sesuatu kerajaan yang bekerja untuk menguruskan negara dan berjanji untuk bertugas dengan efektif dan berwawasan, memindahkan beban kewangannya kepada rakyat yang memilihnya melalui pilihanraya?

Membiarkan para pengundi sengsara agar kerajaan tidak terbeban adalah propaganda bodoh dan melucukan. Kerajaan bukan entiti yang asing, ia dibentuk dan dirangka untuk berkhidmat kepada rakyat. Apabila kerajaan itu sendiri sudah membebankan rakyat, perlu kita persoalkan kewajaran dan kredibilitinya.

Terlalu banyak isu yang semakin menjadikan isu ini kelakar dan tidak munasabah. Contohnya apabila dicadangkan jalan keluar supaya wang kekayaan Petronas, jawapan yang menimbulkan kemarahan dan ketidakyakinan adalah wang keuntungan Petronas digunakan untuk pelaburan. Persoalannya keuntungan yang dulu-dulu dari menjual sweet crude oil takkan tak boleh bayar subsidi minyak sour crude oil yang kita gunakan sekarang?. Keuntungan tidak mahu dikongsi, kerugian dan beban mahu pula diserahkan ke marhaen.

Kekelakaran yang kedua adalah saranan untuk berjimat - atas dasar apa orang kerja kilang RM800 yang setiap bulan mengikat perut; mahu berjimat lagi? Kehidupan sekarang sudah cukup perit untuk tidak berjimat.
Persoalannya ialah apakah selama ini rakyat boros? Kalau gaji bersih RM1000 pun (diri sendiri sebagai golongan pertengahan), takkan shopping di Sogo mahupun KLCC. Rasanya golongan elit dan Dato'-Dato' sahaja yang kereta-keretanya lebih mahal dari rumah teres 2 tingkat di Seremban. Elaun minyak sudah ada, tidak terjejas langsung budget bulanan. Kalau GM di GLC pun elaun minyaknya sama banyak dengan dua bulan gaji junior executive, bayangkan elaun minyak mereka dan keluarga mereka. Jimat bagaimana lagi?

Satu lagi kekelakaran dari banyak lagi isu. Ia berkaitan dengan dangkalnya persepsi kerajaan terhadap orang ramai. Disangka orang ramai buta kayu dan terima sahaja semua maklumat yang disogok di media elektronik 'prima' dan akhbar arus 'perdana'. Apabila kita minta ketelusan mengenai perkara ini, adalah semi mustahil untuk di dedahkan ke mana wang Petronas disalurkan. Yang kita nampak hanyalah projek-projek mega seperti KLIA, KLCC, F1 dan sebagainya. Barangkali kita boleh berbangga dengan semua itu. Tapi cukupkah dengan puas hati di situ, sedangkan makan pakai kita tidak sesempurna dan sebaik dahulu. Mungkin kita terlupa bahawa di sebalik kebanggaan itu, ia tidak menyumbang secara langsung kepada hidup majoriti kita. Kita tetap susah, ikat perut, berhabis simpanan membeli kereta yang paling mahal dalam kelasnya, menjadi mangsa hutang beli rumah sepanjang hayat.

Berbalik kepada yang kita nampak. Putrajaya, LRT, KL Sentral. Sangat diperlukan rakyat tetapi masih boleh disangkal. Tetapi, tak banyak jumlahnya. Menurut Suara Keadilan jumlah projek-projek mega sekitar 100 billion, sedangkan ianya tentu lebih dari itu. Persoalannya adalah 'projek-projek' yang kita tidak nampak ini. Duitnya lesap, tapi hasilnya apa? Kalau nak baiki sistem pengangkutan minta duit dari rakyat, kerajaan kita disarankan supaya mencari tempat hendak diletakkan muka kalau berjumpa orang kerajaan PAS Kelantan. Kerajaan yang selama ini kita kutuk kerana perancangan zero dan strategi zero. Rupanya kerajaan kita lebih teruk. Malunya!

2 comments:

Korakora said...

kau sudah jual tiga kereta yg lain? dan hanya pakai dua kereta?

Abouti said...

tu la dude
dulu shangrila sekarang marriot aje
dulu villa sekarang banglo aje
itu depa, kita?
hai...tak berpijak di bumi nyata statement berjimat tu