Tuesday, February 27, 2007

Pembersihan Etnik oleh Serbia disahkan

ICJ bebaskan Serbia -- Sahkan pembunuhan penduduk Islam semasa Perang Bosnia

THE HAGUE 26 Feb. – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam satu keputusan bersejarah hari ini mendapati pembunuhan hampir 8,000 penduduk Islam Bosnia di Srebrenica pada 1995 merupakan pembunuhan kaum.

ICJ bagaimanapun membebaskan Serbia daripada tuduhan bertanggungjawab secara langsung atau bersubahat dalam pembunuhan tersebut di Bosnia semasa perang 1992-95.

Keputusan itu mengesahkan keputusan yang dibuat sebelum ini oleh mahkamah jenayah perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi bekas Yugoslavia.

Dalam reaksi segara, rakyat Bosnia dan Croatia melahirkan kekecewaan dengan keputusan tersebut.

“Mahkamah memutuskan anggota tentera Serb Bosnia (di Srebrenica) terlibat dalam pembunuhan kaum,” kata Presiden ICJ, Rosalyn Higgins.

Itulah kali pertama ICJ yang merupakan mahkamah tertinggi PBB memutuskan sesuatu kejadian itu sebagai pembunuhan kaum iaitu kesalahan yang dikategorikan sebagai jenayah antarabangsa di bawah Konvensyen Geneva 1948.

Bagaimanapun dalam keputusan yang sama, ICJ juga menyatakan, pembunuhan beramai-ramai di bahagian lain Bosnia semasa perang 1992-95 tidak dianggap sebagai pembunuhan kaum.

“Mahkamah mendapati Bosnia tidak dapat membuktikan pembunuhan tersebut boleh disifatkan sebagai pembunuhan kaum,” jelas Higgins.

ICJ membacakan keputusan bersejarah dalam kes Bosnia yang telah menuduh Serbia mendalangi kempen “pembersihan etnik” yang dijalankan secara meluas terhadap penduduk Islam dan Croat di Bosnia semasa perang 1992-95.

Bosnia mendakwa kempen itu merupakan pembunuhan kaum.

No comments: