Oleh ABD AL-RAZZAQ A.MUTHALIB
KESEDARAN umat Islam mengisi kedatangan bulan Muharam yang mulia ini dengan pelbagai amalan merupakan satu tabiat yang baik.
Kita yakin bahawa semua amalan yang dilakukan ini tidak lain dan tidak bukan kecuali di atas satu niat, iaitu semoga ia akan dimasukkan dalam senarai amalan soleh yang akan diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak.
Namun, peringatan Nabi s.a.w. di dalam urusan ibadah ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja.
Daripada Aisyah r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan daripada urusan kami (urusan agama), maka ia akan tertolak. (Riwayat Muslim).
Sebab itulah para ulama, di antaranya ialah al-Fudhail bin `Iyadh meletakkan bahawa syarat utama menjadikan sesuatu amalan itu diterima ialah ikhlas kerana Allah s.w.t. dan bertepatan dengan sunah Rasulullah s.a.w. Al-Fudhail mentafsirkan firman Allah di dalam surah Hud ayat 8 dan surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud:
Allah menjadikan semua itu untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya,'' beliau berkata: Iaitu yang lebih ikhlas dan lebih tepat. Sesungguhnya sesuatu amalan yang dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak tepat, maka ia tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan tepat tetapi tidak ikhlas, maka ia juga tidak akan diterima, sehinggalah ia dilakukan dengan ikhlas dan tepat.
Beliau berkata lagi: Dan ikhlas itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah `Azza wa Jalla, dan yang dikatakan tepat itu ialah ia bertepatan dengan sunah. (Ibn Rejab, Jami' al-Ulum wa al-Hikam, Tahqiq: Dr. Yusof al-Baqa'i (Beirut: al-Maktabah al-'Asriah, cet. ke-3, 2000), hal.15)
Justeru, dalam keghairahan kita menambahkan amal ibadah di dalam bulan Muharam yang mulia ini, marilah kita mengambil sedikit masa untuk mengkaji dan menyemak semula, adakah amalan-amalan yang kita lakukan itu menepati syarat-syarat yang telah digariskan.
Di antara amalan-amalan pada bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan sunah Rasulullah s.a.w. yang sahih ialah:
1. Memakai celak pada hari Asyura dengan kepercayaan ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya. Amalan ini diambil daripada hadis maudhu' (palsu) yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang memakai celak mata daripada arang pencelak mata pada hari Asyura, maka ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya. (Rujuk: al-Albani, Silsilah Ahadith al-Dhaifah, 624). Ibn al-Jauzi, al-Maudhu'at, 2/116)
Hadis ini hukumnya maudhu' (palsu). Imam Ahmad berkata: ``Tidak ada riwayat (yang sahih) daripada Rasulullah s.a.w. tentang amalan memakai celak pada hari Asyura, dan ia adalah bidaah.''
2. Solat sunat yang khusus pada hari Asyura. Amalan ini juga bersumberkan hadis maudhu': ``Sesiapa yang sembahyang padanya (hari Asyura) empat rakaat, ia membaca pada setiap rakaat sekali surah al-Fatihah, dan lima puluh kali surah al-Ikhlas (Qul huwallahu ahad), maka Allah akan mengampunkan dosanya lima puluh tahun.''
3. Mandi yang khusus pada hari Asyura dengan tanggapan dapat menghindarkan diri daripada sebarang penyakit pada sepanjang tahun. Amalan ini juga bersandarkan kepada sebuah hadis maudhu': ``Sesiapa yang mandi dan bersuci pada hari Asyura, ia tidak akan ditimpa sebarang penyakit pada sepanjang tahun, kecuali mati.''
4. Melebihkan pemberian seperti makanan, minuman, pakaian kepada ahli keluarga pada hari Asyura dengan harapan semoga akan dimurahkan rezeki sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Alqamah bin Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
Sesiapa yang melapangkan pemberian (makanan, minuman dan pakaian) kepada ahli keluarganya pada hari Asyura, nescaya Allah akan melapangkan ke atasnya rezeki sepanjang tahunnya. Hadis ini hukumnya maudhu', disebut oleh Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya al-Maudhu'at,2/115).
5. Menyediakan makanan yang khas seperti bubur (bubur Asyura) yang dikaitkan dengan sunah Rasulullah s.a.w. atau disandarkan kepada peristiwa Nabi Nuh a.s. yang menyuruh para pengikutnya memasak daripada sisa-sisa makanan dan biji-bijian setelah mendarat dan selamat daripada taufan besar.
Ini juga adalah tanggapan yang tidak benar dan ia bersumberkan cerita-cerita dongeng Israiliyat. Inilah yang disebut oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam kitab Qashas al-Anbiya.
6. Membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Tidak terdapat sebarang hadis sahih yang menyebut tentang amalan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun dengan jaminan penghapusan dosa setahun yang lepas, sebagaimana yang diamalkan oleh sesetengah daripada umat Islam.
Demikian juga tidak ada hadis-hadis sahih yang menyebut doa tersebut secara khusus.
As-Syiekh Ali Mahfuz di dalam kitabnya al-Ibda' fi Madhar al-Ibtida' menyebut bahawa kebanyakan hadis maudhu' yang berkaitan dengan amalan pada bulan Muharam khususnya pada hari Asyura telah dicipta oleh golongan pembunuh Husain.
Beliau juga memetik kata-kata al-Allamah Ibn al-'Izz al-Hanafi: ``Sesungguhnya tidak sahih daripada Nabi s.a.w. sebarang amalan pun pada hari Asyura selain puasa Baginda.
Ada pun golongan Rafidhah melakukan bidaah dengan mengadakan upacara berkabung demi melahirkan kesedihan di atas pembunuhan Husain pada hari ini.
Dan golongan yang jahil daripada Ahli Sunah menzahirkan kegembiraan mereka dengan membuat makanan daripada biji-bijian (bubur) dan memakai celak, dan mereka meriwayatkan hadis-hadis maudhu' tentang bercelak mata dan melapangkan pemberian makanan dan pakaian kepada ahli keluarga.''
(Syiekh Ali Mahfuz, al-Ibda' fi Madhar al-Ibtida' (Beirut: Dar Kutub al-Ilmiah, Cet. 1, 2001), hal. 271)
Demikianlah beberapa contoh daripada amalan-amalan umat Islam di dalam bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan sunah Rasulullah s.a.w. yang sahih, mahu pun para sahabat dan para Imam kaum Muslimin.
Justeru, jalan yang terbaik ialah dengan mengikuti sunah Baginda s.a.w. dan seburuk-buruk perkara pula ialah mencipta sesuatu yang baru di dalam urusan agama. Semoga kita semua diberikan petunjuk oleh Allah s.w.t. untuk mengikuti sunah Rasulullah s.a.w.
No comments:
Post a Comment