Wednesday, February 09, 2005

Maal Hijrah

Seperti biasa setiap tahun, ada sambutan maal hijrah. Seperti biasa juga akan dipilih seorang tokoh maal hijrah atas beberapa kriteria yang ditentukan. Tetapi sayang tokoh-tokoh ini hanya muncul ketika awal tahun hijah, kemudian mereka hilang sepanjang tahun. Kemudian muncul tokoh lain pula di tahun hadapan. Mengapa terjadi sedemikian? Bukankah bagus kalau tokoh-tokoh ini sentiasa di dekati, ditemuramah dan diambil ilmunya dengan liputan yang lebih meluas? Sebagai tokoh Islam, di bahu-bahu mereka punya peluang yang terbaik dalam memperbetul pemikiran dan amalan masyarakat. Sekiranya hendak melihat perkembangan dewasa ini, kita lihat betapa kurangnya orang yang boleh membidas pemikiran-pemikiran keliru Astora Jabat, Sister in Islam dan golongan orientalis. Golongan yang berhujah dengan Al-Quran tetapi tidak merujuk kepada ruh ayat Quran dan apa yang tersurat di dalam dalil-dalil yang dikemukakan. Sekiranya kita kaji semula, golongan perosak akidah ini lebih banyak memenuhi kriteria sebagai 'tokoh agama' dari para pendakwah dan ulama mukhlisin. Kerana apa? Kerana mereka lebih banyak mengulas tentang Islam dari tokoh maal hijrah yang hanya muncul dan berucap sekali dalam setahun (iaitu selepas diumumkan sebagai tokoh maal hijrah). Bukankah bagus kalau tokoh-tokoh maal hijrah ini diberi misi memperbaiki akhlak ummah, kalaupun tidak menjadi rujukan untuk mengimplementasi Islam Hadhari yang sehingga kini masih bersifat kabur dan slogan sahaja. Sekiranya ratu cantik mempunyai misi menjadikan dunia yang lebih aman, tidaklah salah kiranya tokoh-tokoh ini juga menyebut tentang wawasan dan misi memperbaiki akhlak masyarakat (sekurang-kurangnya). Masalah sosial masyarakat terutama remaja Islam bukan agenda Astora dan puak-puaknya, bukan juga di dalam kemampuan Kementerian Wanita, Kementerian Belia atau Khir Toyo. Para ilmuan, tokoh, ulama dan para pendakwahlah yang harus bekerja keras merawatnya. Tetapi melihat situasi sekarang, mereka menjadi golongan melawan arus. Silap kitakah, tak payah tepuk apa-apa, terus sahaja tanya iman dan intima' kita.

No comments: