Monday, August 22, 2005

Buat Saufy dan Najwa

Assalamu'laikum
Kepada Pengantin Baru Saufy dan Najwa
Tahniah kerana sudah bergelar suami dan isteri
Selamat menempuh alam yang sangat-sangat berbeza

Aku teringat pesan Ayah Johor sebelum walimah
Sentiasalah sabar dalam apa jua tindakan dan perasaan
Aku ambil ringan kata-katanya
Kerana aku yakin aku orang yang sabar dan lambat marah
Tetapi benarlah perkahwinan alam yang serba berbeza
Secara tidak disedari mudah hilang sabar dan cepat nak marah
Sekiranya kalian berada di dalam situasi itu
Maka sentiasalah ingat pesan Ayahku tadi

Semoga dapat menjalani hidup yang stabil
Boleh concentrate kepada kerja-kerja yang belum dibereskan
Selamat Selamat Selamat

A&U T


Apa kena-mengena branding dalam ini event. Ada penaja ke?



Welcome to the club!

Doakan kepada mereka:
Barakallahu lakuma
Wabaraka A'laikuma
Wajamikna bainakuma bil khair
(betul ke wording rumi dia ni?)

Takziah kepada Najwa sekeluarga atas pemergian ayah tercinta Rabu 24 Ogos 2005. Kuat hati dan tabahkan diri

Palestin: Pengunduran yang 'bermakna'

Pandangan umat Islam dari dulu sehingga kini adalah jelas, bahawa di Palestin, bumi Baitul Maqdis dan seluruh negara yang kini diduduki pendatang Yahudi adalah milik orang Islam dan wajib dipertahankan. Ia adalah kenyataan yang amat-amat jelas. Maka, apabila ditanya kepada para pelajar IPT, pasti mereka juga jelas mengenai perkara ini, walaupun latarbelakang tempat wawancara semacam di bilik mesyuarat PMI (Persatuan Mahasiswa Islam) dan PMI generic (seakan-akan PMI). Mustahil mereka tidak tahu. Namun ia sepatutnya suatu kesedaran umum di kalangan para pelajar IPT Muslim tentang situasi di Palestin. Kerana kadang-kala kita tidak berharap sangat masyarakat umum boleh faham tentang apa yang sebenarnya berlaku di Palestin. Tetapi kita harapkan para pelajar IPT celik akal dan boleh membezakan fakta surat khabar dan isu pokok; bahkan juga analisis di sebalik yang tersirat di sebalik akhbar utama yang jelas dikuasai oleh pembenci Islam.
Yang tersurat di dada-dada akhbar dan media elektronik adalah berlaku pengunduran, arahan kerajaan untuk meninggalkan penempatan Yahudi. Rumah-rumah pendatang Yahudi dirobohkan. Berlaku demonstrasi & tunjuk perasaan menentang kerajaan. Berlinanglah air mata pendatang Yahudi yang dihalau dari rumah sendiri; yang dulunya dipujuk memenuhi tanah yang dirampas dari umat Islam. Wajah-wajah sedih yang membuat jiwa kemanusiaan kita terasa terpanggil untuk meluah rasa simpati, walaupun mereka (dan kerajaan yang mengusir mereka) adalah Yahudi yang merampas, menyamun, merogol, menyembelih dan menzalimi ratusan ribu umat Islam sejak dahulu lagi.



Dimana Netzarim? Gambar hiasan dari CNN

Air mata dan kesedihan itu bukanlah palsu. Tetapi ia dimanipulasi dan menjadi kosmetik musuh-musuh orang Islam yang masih menyimpan blueprint Israel Raya yang meliputi sebahagian besar tanah Arab. Pengusiran pendatang Yahudi adalah agenda untuk mengaburi mata dunia kerana yang dipaksa pindah adalah di Netzarim, sebuah kawasan terpencil. Ia tidak strategik dan tidak ada potensi untuk dibangunkan. Sedangkan yang berhampiran kawasan utama Semenanjung Gaza dan Baitul Maqdis masih berdiri gagah tembok penghalang. Agenda menguasai Baitul Maqdis akan terus berjalan lancar. Tidak berlaku pengusiran, perobohan mahupun kesedihan. Yang ada masih lagi penghinaan terhadap orang Islam yang solat di hadapan tentera Israel yang lengkap memakai boot dan bersenjata. Tetapi di depan lensa kamera, siapalah yang tahu dan mengerti. Yang pasti, kita seolah-olah terlupa isu sebenar.

Jangan lupa isu asal: Tanah yg diduduki tetap milik orang Islam. Tangisan umat Islam ketika dihalau dulu tidak dirakam di lensa kamera, tetapi tetap terpahat di hati mereka yang tahu dan mengalami. Semoga Allah bersama orang-orang yang sabar.

Palestin, you will regain your land
Remember Allah and stay away from sin

Thursday, August 18, 2005

Nabi Palsu: Agenda Orang Sesat Lagi Menyesatkan

Pendedahan NTV7 Sabtu 2 minggu lepas mengenai seorang lelaki yang mengakui dirinya sebagai nabi sangat-sangat menyayat hati saya. Walaupun tumpuan banyak dibuat kepada Ayah Pin (slot sebelumnya), tetapi situasi Pakcik Kahar dan para pengikutnya adalah lebih merbahaya dari aspek pemikiran orang yang belajar agama. Bukan mengambil mudah, tetapi sekiranya ada sedikit ilmu Islam di dada, insya Allah tidak mudah terpengaruh dengan Ayah Pin. Tetapi orang yang mengikut Pakcik Kahar biarpun sedikit dan baru, tetapi 'berpotensi'. Ini kerana Kahar percaya Allah dan Rasul. Cuma Muhammad itu bukan yang terakhir. Itu sahaja. Dengan penyelewengan yang halus ini percubaan Kahar sangat-sangat berjaya. Sekiranya kita keluarkan hadis mutawatir mengenai pengakuan rasulullah tentang dia nabi dan rasul terakhir, maka dengan mudah mereka (para pengikutnya) mempertikai pula kesahihan hadis tersebut. Sekiranya periwayat seperti Bukhari dan Muslimpun disanggah, hendak ikut siapa lagi. Tidak ubah seperti anti hadis.


Para periwayat hadis; kisahnya panjang dan jelas; ilmunya; penilaiannya terhadap sanad yang mendengar dari rasul - sangat tersusun dan sangat disiplin. Apalah sangat ilmu Nabi Malaysia berbanding mereka? Kenapa kita boleh yakin orang yang datang kemudian?

Tambah menyedihkan pula bila ada seorang makcik mengakui dirinya dijanjikan syurga oleh 'Nabi' Kahar. Inilah yang terjadi sekiranya tidak berlaku tarbiyyah di dalam masyarakat. Di mana para guru agama dan para asatizah?
Tambah menyebabkan saya termenung, ialah antara satu soalan terakhir Wan Kamaruddin; "Ke mana pergi pendakwah kita?"
Kalau nak jadi pejuang Islam, inilah yang perlu kita buat. Menjalankan kerja sebagai pendakwah, profession yang paling mulia di muka bumi ini, kerana itulah salah satu kerja idola kita sepanjang kariernya sebagai kekasih Allah. Menung apa lagi?

Wednesday, August 17, 2005

Kepada Zaujati

Alhamdulillah esok genap seminggu kita tidak bersua. Namun aku sudah tidak berupaya menahan diriku dari selalu mengingatimu. Aku cuba sibukkan diri dengan liqo bersama anak buah, meeting program dan pertemuan dengan adik-adik di program. Namun sekilas mata terlihat si anak kecil berlari girang mengelilingi ibunya di taman permainan di RnR ini, serta-merta persekitaranku hening sekali.


Gambar hiasan


Tiada suara hiruk-pikuk penjual, tiada suara bising orang yang lalu lalang, tiada lalakan radio yang menusuk telinga. Semuanya menjadi tenang, suasananya seakan kabur dan masa seolah-olah terhenti. Yang terus berjalan hanyalah ingatan terhadapmu. Ingatan dan perasaan yang sama; seperti ketika kita baru bertemu. Sekiranya engkau membaca coretan ini, pandanglah ke kiri dan kanan terlebih dahulu, takut Tok Ayah dan Tok Ma ada dekat-dekat situ, malu kalau satu kampung tahu rahsia keromantisanku. Gurauan yang tak sesuai langsung. OK sambung.
Aku sudah pulih dari demam dan sakit tekak. Syukur kerana masih berupaya mengemban beban di saat kudrat seakan tidak mampu diperah, lantaran badan minta diberikan hak berehat. Langkahku berat dan lambat. Aku mahu berjihad dalam segala yang aku lakukan. Namun apalah sangat jihad ini berbanding jihad seorang permaisuri mengasuh putera yang meragam, sedang dirinya sendiri kurang sihat dan tidak bermaya hari-hari yang dilalui. Pengorbananmu menjadikan aku kagum dan mencintaimu. Kesabaranmu menjadikan aku sebak. Suaramu menjadikan aku gagahkan diri bangun dari kamar beradu empuk. Doamu adalah sebab aku masih terus berkobar-kobar. Zaujati, maafkan aku kerana tidak dapat bersama ketika engkau menghadapi saat-saat yang sukar ini. Sama-samalah kita berdoa; semoga kita dapat berjumpa kembali secepat mungkin.

Abatathomu

Apa khabar para sahabat? (Soalan sahaja)

Assalamu'alaikum para sahabat...
Apa khabar kita? Apa khabar sahabat-sahabat kita yang lain? Apa khabar anak-anak? Apa khabar anak-anak buah? Apa khabar ibu-bapa kita di kampung? Sudahkah kita telefon ibu kita minggu ini? Sekiranya belum mengapa? Ibu tiada handphonekah? Sibukkah? Seperti sibuknya dia ketika mengandungkan kita dan melahirkan dan mendidik kita?
Apa khabar kerja-kerja kita? Masihkah berstatus planning atau KIV? Surf internet sahaja bolehkah selesaikan kerja? Baca (dan tulis?) blog sentiasa, mampukah menpercepatkan kerja kita? Apakah prioriti kita?


(Taken from http://images.scripting.com/archiveScriptingCom/2005/02/16/Troops,Weblog.jpg)

Semua sepatutnya balik rumah dan start blog masing-masing? Gambar Hiasan.

Apa khabar masalah-masalah kita? Masih boleh difikirkan ataukah sudah bercelaru? Mampukah kita bersendirian menyelesaikannya? Sudikah kita kongsi masalah ini dengan sahabat dan teman-teman? Sudikah mereka yang kita panggil buddy menjadi pendengar yang baik? Bukankah sahabat itu umpama cermin yang menjadi kayu pengukur dan tempat mencari penyelesaian?
Apa khabar iman kita? Masih liatkah menghabiskan lembaran-lembaran Quran setiap hari? Masih peritkah untuk bangun qiyam ketika sahabat lain masih dibuai lena? Masihkah lemah keazaman puasa sunat setiap kali diajak makan free?
Apa khabar diri kita? Sudahkah terjumpa apa ertinya hidup ini? Sudah tahukah tujuan hidup ini? Ya Tuhan, salahkah aku mengingati diri dengan melemparkan soalan-soalan begini? Sudahkah kita bersedia untuk bertemu denganNya nanti? Masihkah ada iman ini ketika itu?

Tuesday, August 16, 2005

Ahmad Deedat

Semasa saya mula-mula mengetahui kisah dan kehebatan seorang daie bernama Ahmad Deedat kira-kira 9 tahun lalu, saya tak ambil pusing sangat tentangnya. Selepas mendengar rakaman audio perdebatannya dengan para misionaris Kristian, terus saya download audio2 lain dan mula meminati penyampaiannya. Ketika itu sekitar 2000. Beliau bukan sahaja menguasai Quran, tetapi kitab2 4 famous narrator Bible dan sebarang yang berkaitan. Pernah sekali saya mendengar dia menegur seorang Kristian yang bertanya soalan kerana tidak quote Bible dengan betul. Awal tahun ini saya membaca buku tulisannya, "Bible: Word of God?". Banyak persoalan yang berupaya mempersiapkan seorang daie ketika berhadapan dengan para misionaris. Pemergian beliau pastinya tidak dikenang seperti Pope oleh setengah-setengah masyarakat dunia termasuk muslim. Tetapi dialah yang perlu dikenang, diingat dan disedihkan.
Semoga dirahmati Allah wahai pejuang!

Sg. Siput dalam kenangan

Zhafri, Amyrul, Fazlan, Khalil, Sham, Ashraf dan Mior...
Semoga kalian semua berjaya di dalam hidup ini. Jangan lupa Allah & rasul dan ibu bapa. Doaku sentiasa bersama kalian insya Allah.

Friday, August 12, 2005

Darurat dek Jerebu

Tepat menjelang 20 hari sebelum tanggal 31 Ogos, kerajaan mengumumkan darurat di Kuala Selangor (API 531) dan Pelabuhan Kelang (529). Dijangka banyak lagi kawasan akan melepasi tahap 500. Kalau tak pergi kerja projek tak siap. Trilemma betul isk isk. Jom pergi jalan ke Tganu!.

Thursday, August 11, 2005

Jerebu ni memberi kesan

20050811
Jerebu ini benar-benar memberi kesan kepada aku, Zaujati dan Bathol. Aku memang mudah sakit tekak, memang suffer sejak 9hb lalu. Namun terpaksa kuatkan semangat dan badan untuk terus datang ke tempat training. Bathol pula batuk-batuk dan demam. Batuknya macam orang tua. Zaujati antara yang agak ampuh. Semalam baru dia mengadu sakit tekak. Langsung tak boleh keluar rumah kerana tahap 500 API bermakna jerebu ini sudah sampai ke tahap beracun (?) dan berbahaya.

Wednesday, August 10, 2005

Bathol dapat sepupu

Semalam Tuk Ayah dapat seorang lagi cucu. Cucu lelaki lagi. Kawan Bathol. Tahniah kepada ipar dan biras. Sekarang aku tidak perlu risau kalau Bathol tak dapat adik lelaki. Mama nak adik perempuan. So sekarang tak kisah, moga-moga ia menjadi waris yang kuat.

Tuesday, August 09, 2005

Jerebu: Fakta dari sumber yang bolehkah dipercayai?

Sewaktu kawasan sekitar Lembah Kelang mengalami indeks pencemaran yang memaksa sekolah-sekolah ditutup, kawasan-kawasan lain agak ok dan ada yang sangat OK. Contoh keluarga di selatan tanahair memberitahu keadaan cuaca agak baik, bahkan baru lepas hujan.

Sewaktu saya membeli makan malam (tiada siapa memasak di rumah isk isk isk) di sebuah restoran, saya menjenguk ke kedai runcit sebelah untuk mencari rakan lawan borak sementara menunggu nasi ayam masak kunyit siap. Tiada siapa, maka saya tegur pekedai yang saya tak berapa nak sembang pasal dia lebih hensem dari saya. Perbualan menjadi menarik pula kerana dia bercerita tentang jerebu. "Muka terasa berpasir walaupun baru lepas basuh muka", ujarnya. Saya mengangguk-angguk separuh percaya. Namun beliau setiap waktu di kedainya, oleh itu mungkin memang benar jerebu yang nipispun boleh meninggalkan pasir di muka.

Sebenarnya di akhbar tidak didedahkan kebakaran-kebakaran hutan di negara kita. Menurut rakan yang tinggal di sekitar MMU, berlaku kebakaran-kebakaran kecil di sekitar Cyberjaya.

Monday, August 08, 2005

Jerebu dan penjajahan alaf baru?

Jangan terkejut. Ia bukan tuduhan, bukan provokasi, sekadar lintasan yang tercetus dek kegatalan minda. Suasana muram akibat jerebu sudah cukup menyeksakan. Ia mungkin sekadar usikan, kerana sesiapa sahaja yang cuba menggambarkan kebakaran hutan di negara jiran sebagai propaganda politik menjelang hari terpenting bagi sesebuah negara, sebagai sesuatu yang tidak munasabah. Ia mungkin secara kebetulan. Apa yang pasti, Jalur Gemilang pasti akan ditenggelami oleh jerebu.

Tuesday, August 02, 2005

Marah tapi malas nak fikir

Minggu lepas kawan saya mengamuk besar. Saya ingatkan ada masalah dengan bos dia. Rupanya tidak. Mungkin ada masalah kat rumah. Tidak juga. Rumah bujang dengan kawan-kawan masa di U. Kamcing g***. Sekepala habis. Habis tu apa? Rupanya pasal harga minyak naik. Yelah, dulu masa student peduli apa kalau nak naik. Pergi kampus jalan kaki. Kalau pergi town dengan housemate, paling kuat pakat bayar minyak motor yang tak seberapa. Bila dah berjinak-jinak dengan Wira yang tangki minyaknya berkali ganda lebih besar dari motor RXZ, barulah terasa mahalnya seliter minyak petrol.
Cerita harga minyak naik dari internet:
Google List

Namun semalam dia lebih tenang, mungkin itulah resam orang kita. Cepat marah, tapi cepat pula sejuk. Bagus begitu, tetapi di dalam situasi yang melibatkan komitmen jangkamasa panjang, tentunya dia akan menyumpah setiap kali memikirkan perbezaan harga yang perlu dibayar sekiranya dibandingkan dengan harga petrol setahun lepas. Masih rasa tidak puas hati tetapi sudah bersedia menghadapi hari-hari mendatang. Syabas geng! Itulah sebahagian dari kisah yang kebanyakan kita lalui. Secara positifnya saya lihat masyarakat kita positif dengan perubahan-perubahan yang bolehlah dianggap berstatus negatif dari aspek penipisan poket dan dompet. Tetapi sayang, masyarakat kita terlalu positif! Kita tidak boleh menerima bulat-bulat tanpa menyuarakan rasa tidak setuju. Sedikit sebanyak kita perlu contohi setengah-setengah pengirim surat ke editor surat khabar dan majalah yang menyampaikan suara tidak puas hati. Mungkin kita tidak dapat mengubah apa-apa tetapi ia petanda kita peka dan responsif. Sindrom anak dara nak kahwin, diam sahaja. Diam tanda setuju. Setujukah kita?

Saya tanyakan kepada kawan saya mengapa dia sudah seolah-olah tidak ambil pusing tentang kenaikan harga minyak. Mudah katanya. Bukankah telah ditunjukkan perangkaan tentang harga minyak serantau, subsidi dan kerugian kerajaan? Itu semua menunjukkan betapa kerajaan kita perlu menaikkan harga minyak. Ketika ini saya sudah kurang setuju dengan rakan saya. Inilah masalah masyarakat kita, malas berfikir dan mencari maklumat. Menanti maklumat disuap dan disogok ke dalam otak tanpa menggunakannya. Bila kita disogokkan dengan perangkaan dan statistik, serta-merta kita jadi pandai. Walhal kita tidak nampak sesuatu yang lain selain apa yang diberitahu oleh perangkaan tersebut. Budaya malas berfikir. Serta-merta marah hilang apabila otak malas menterjemah dan mengira.

Statistik menunjukkan Malaysia harga minyaknya antara termurah iaitu kedua selepas Brunei. Memang benar. Persoalannya mengapa bandingkan dengan negara bukan pengeluar minyak? Yang berada di bawah Malaysia semuanya negara pengguna kecuali Indonesia, yang sudah tentu masih di dalam kemelut ekonomi jangka masa panjang. Persoalan kerugian akibat subsidi adalah kerana kita mengimport minyak berkualiti rendah dari negara-negara Arab dan mengeksport minyak sendiri yang ternyata berkualiti tinggi ke pasaran antarabangsa. Ini satu fakta yang diakui sendiri oleh orang Petronas, kalau kita borak-borak dengan depa. Kalau harga minyak naik, sepatutnya Malaysia di dalam konteks pengeluar juga mendapat keuntungan. Kerana itu ketika di dada akhbar pernah berlaku, berita kecoh harga minyak (tetapi sebenarnya tidak berlaku ketika itu) diletakkan bersebelahan dengan berita Petronas mengaut keuntungan berbilion. Mengapa Petronas tetap untung sedangkan kita terus rugi? Mungkin kepala kita botak kerana terlalu banyak berfikir, namun ia membantu kita memahami dengan lebih berkesan mengapa kita perlu marah.

Monday, August 01, 2005

Ayah Pin & Keluarga

Entah siapa yang tinggalkan image ini di dalam desktop. Kureng betul....terkena sekali.