Tuesday, August 02, 2005

Marah tapi malas nak fikir

Minggu lepas kawan saya mengamuk besar. Saya ingatkan ada masalah dengan bos dia. Rupanya tidak. Mungkin ada masalah kat rumah. Tidak juga. Rumah bujang dengan kawan-kawan masa di U. Kamcing g***. Sekepala habis. Habis tu apa? Rupanya pasal harga minyak naik. Yelah, dulu masa student peduli apa kalau nak naik. Pergi kampus jalan kaki. Kalau pergi town dengan housemate, paling kuat pakat bayar minyak motor yang tak seberapa. Bila dah berjinak-jinak dengan Wira yang tangki minyaknya berkali ganda lebih besar dari motor RXZ, barulah terasa mahalnya seliter minyak petrol.
Cerita harga minyak naik dari internet:
Google List

Namun semalam dia lebih tenang, mungkin itulah resam orang kita. Cepat marah, tapi cepat pula sejuk. Bagus begitu, tetapi di dalam situasi yang melibatkan komitmen jangkamasa panjang, tentunya dia akan menyumpah setiap kali memikirkan perbezaan harga yang perlu dibayar sekiranya dibandingkan dengan harga petrol setahun lepas. Masih rasa tidak puas hati tetapi sudah bersedia menghadapi hari-hari mendatang. Syabas geng! Itulah sebahagian dari kisah yang kebanyakan kita lalui. Secara positifnya saya lihat masyarakat kita positif dengan perubahan-perubahan yang bolehlah dianggap berstatus negatif dari aspek penipisan poket dan dompet. Tetapi sayang, masyarakat kita terlalu positif! Kita tidak boleh menerima bulat-bulat tanpa menyuarakan rasa tidak setuju. Sedikit sebanyak kita perlu contohi setengah-setengah pengirim surat ke editor surat khabar dan majalah yang menyampaikan suara tidak puas hati. Mungkin kita tidak dapat mengubah apa-apa tetapi ia petanda kita peka dan responsif. Sindrom anak dara nak kahwin, diam sahaja. Diam tanda setuju. Setujukah kita?

Saya tanyakan kepada kawan saya mengapa dia sudah seolah-olah tidak ambil pusing tentang kenaikan harga minyak. Mudah katanya. Bukankah telah ditunjukkan perangkaan tentang harga minyak serantau, subsidi dan kerugian kerajaan? Itu semua menunjukkan betapa kerajaan kita perlu menaikkan harga minyak. Ketika ini saya sudah kurang setuju dengan rakan saya. Inilah masalah masyarakat kita, malas berfikir dan mencari maklumat. Menanti maklumat disuap dan disogok ke dalam otak tanpa menggunakannya. Bila kita disogokkan dengan perangkaan dan statistik, serta-merta kita jadi pandai. Walhal kita tidak nampak sesuatu yang lain selain apa yang diberitahu oleh perangkaan tersebut. Budaya malas berfikir. Serta-merta marah hilang apabila otak malas menterjemah dan mengira.

Statistik menunjukkan Malaysia harga minyaknya antara termurah iaitu kedua selepas Brunei. Memang benar. Persoalannya mengapa bandingkan dengan negara bukan pengeluar minyak? Yang berada di bawah Malaysia semuanya negara pengguna kecuali Indonesia, yang sudah tentu masih di dalam kemelut ekonomi jangka masa panjang. Persoalan kerugian akibat subsidi adalah kerana kita mengimport minyak berkualiti rendah dari negara-negara Arab dan mengeksport minyak sendiri yang ternyata berkualiti tinggi ke pasaran antarabangsa. Ini satu fakta yang diakui sendiri oleh orang Petronas, kalau kita borak-borak dengan depa. Kalau harga minyak naik, sepatutnya Malaysia di dalam konteks pengeluar juga mendapat keuntungan. Kerana itu ketika di dada akhbar pernah berlaku, berita kecoh harga minyak (tetapi sebenarnya tidak berlaku ketika itu) diletakkan bersebelahan dengan berita Petronas mengaut keuntungan berbilion. Mengapa Petronas tetap untung sedangkan kita terus rugi? Mungkin kepala kita botak kerana terlalu banyak berfikir, namun ia membantu kita memahami dengan lebih berkesan mengapa kita perlu marah.

No comments: