Monday, June 20, 2005
Konsep Keperluan Manusia Kepada Perantara
Memerlukan adalah satu sifat semulajadi manusia. Tidak ada mana-mana orang di bumi ini, termasuk Bush, Roman Abrahamovic mahupun Michael Jackson (yang tak sekolah tinggi, apatah lagi belajar undang-undang) yang boleh mendabik dada mengatakan dia tidak perlu pertolongan sesiapa sepanjang masa, sepanjang ketika dan setiap keadaan. Ia adalah fitrah ataupun lumrah manusia. Untuk memahami hidup ini dengan lebih baik, kita memerlukan orang lain untuk terus hidup. Orang pintar seperti Socrates terkenal dengan pertanyaan asas mengenai hidup seperti "Siapakah aku", "Apa tujuan aku berada di sini" adalah contoh bagaimana terdesak atau desperate manusia untuk mengenal diri. Mungkin kita akan ketawakan Socrates sekarang tetapi sebenarnya kita juga masih belum mengenal diri dan tujuan kita yang sebenarnya dengan sejelas-jelasnya. Maka datanglah kepada kita seseorang yang lebih bijak dan berpengetahuan untuk mengajar kita tentang hidup ini. Sudah tentu kita bukan seperti gajah di zoo yang lahir dan mati meneruskan lumrah haiwan sejak berkurun (walaupun semakin pupus, ini kena buka cerita lain). Dialah yang membawakan kerangka fikiran kita lebih jelas dan lebih faham tentang kelahiran dan kematian kita. Sebagai manusia kita dilahirkan secara fitrahnya memerlukan tuhan untuk disembah. Ini adalah semulajadi manusia. Sesiapapun, bahkan ateis apabila terperangkap di dalam gaung, mahupun hanyut selepas dipukul ombak dilautan tak bertepi, akan pasti terlahir rasa mahu meminta tolong dengan sesuatu kuasa yang hebat; seakan pencipta keajaiban untuk keluar dari belenggu masalah. Kuasa itulah Tuhan yang kita perlukan. Dialah perantara yang memperkenalkan kita kepada siapa kita, siapa yang menjadikan kita dan apa tujuan kita hidup, adakah sama seperti gajah tadi ataupun bagaimana. Jiwa kita seterusnya dipenuhi dengan keinginan untuk melahirkan rasa hamba dan kecil kita berbanding Tuhan yang kita sembah. Kita juga secara fitrahnya mahukan hidup yang teratur dan baik dan bahagia. Ada sesiapa yang mahu keluarganya porak-peranda, hidupnya tidak pernah aman kerana sering diburu untuk dibunuh, ataupun merempat dan merompak dan hidup di jalanan seperti hippies? Tentu sekali tidak. Maka keinginan dan naluri ini akan dapat disalur dan dipenuhi sekira kita dibantu oleh perantara tadi. Dialah yang mengajar dan memperkenalkan kita dengan tuhan. Perantara inilah yang mengajar kita cara hidup yang sesuai, seperti yang dikehendaki oleh Tuhan kita. Oleh kerana Tuhan itu sifatnya extremely powerful dan bijaksana dari kita, maka Dia telah menyediakan kaedah yang cantik dan menenangkan, agar kita dapat memenuhi keperluan-keperluan yang disebutkan tadi, iaitu keperluan untuk mengenal Tuhan, keperluan untuk mengabdi dan berserah kepada kuasa Tuhan yang maha hebat ini, serta dapat menjalani hidup yang teratur dan sesuai dengan fitrah manusia. Dengan mengenal Tuhan dan mengamalkan cara hidup yang diajarkan oleh perantara tadi, maka dapatlah kita mendekatkan diri dengan Tuhan sekaligus yakin kita mengabdikan diri kepada tuhan yang benar dan mutlak. Oleh itu besarlah jasa dan tugas yang dipikul oleh perantara, kerana tanpanya sukarlah kita memahami hidup ini dengan jelas dan benar. Perantara inilah Rasulullah kita Muhammad.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment