Membaca coretan kenalan cyber Roime tentang IbuBapa menarik minat saya untuk mengulas sedikit. Persoalan ibubapa dan mendidik adalah persoalan yang biasa. "Pendidikan bermula dari Rumah" adalah slogan yang biasa kita dengar dan ada betulnya. Ketika kita menyedari ibubapa memainkan peranan yang penting, jangan dilupa peranan guru. Pemikiran dan sahsiah anak-anak juga dibentuk oleh rakan-rakan, orang dewasa yang rapat dengannya dan media-media seperti TV, akhbar dan CD/VCD/DVD. Berkenaan kisah seorang bapa yang tegas mendidik anaknya, tetapi masih belum cukup lantaran hidup anaknya musnah dengan menjadikan ganja sebagai sarapan paginya. Rakan-rakan yang merosak dan pengaruhnya terhasil dari kesilapan ibubapa juga kerana tidak memantau dengan siapa anak-anaknya berkawan. Namun si bapa mungkin sibuk mencari rezeki di siang hari, walaupun berada di rumah sepenuhnya untuk bersama si anak. Bermakna di sekolah, si anak terdedah kepada pengaruh kawan dan sudah tentu tidak ada anak yang suka bapa mereka berada di sekolah mereka setiap masa bagi memantau pergerakan mereka. Maka di situ ada semacam penyerahan tanggungjawab buat sementara kepada para guru di sekolah. Dan yang menambah sedih si bapa yang anaknya hisap ganja tadi, ialah ketika dia rasa dia perlu orang lain selain dirinya sendiri untuk mendidik dan memelihara sahsiah anaknya (seperti guru, jiran-miran, ketua kampung, penghulu dan polis serta banyak lagi), ada pula tokoh-tokoh yang kononnya cerdik pandai berpendapat kita tak perlu orang lain mendidik anak kita. Anak-anak yang berpeleseran di disko dan menikmati ice (sudah tentu bukan ais kacang)? Biarkahlah... ibubapa mereka di kampung yang tak pandai jaga. Begitukah yang sepatutnya?
Mungkin agak terlalu jauh untuk melihat musnah masa depan anak-anak kerana kesilapan memilih pemimpin. Namun ada benarnya. Lihat dari perspektif begini. Kelahiran pub, lounge, disko, cafe dan pelbagai nama lagi berlaku di bawah hidung (under the nose of - teruk bunyinya kalau translate dari English) atau pengetahuan dan kebenaran pendaftar syarikat. Sekiranya tidak ada undang-undang yang melarang atau semacam kouta, maka pendaftar syarikat tidak boleh berbuat apa-apa selain meluluskan syarikat berdasarkan hiburan yang pendaftarannya tidak ada masalah. Tidak melarang bermakna redha, sekiranya suka bermakna menggalakkan. Maka bermakna ada sedikit sebanyak saham dosa menggalakkan maksiat. Dasar tidak ambil kisah soal ketumbuhan pusat-pusat hiburan adalah dasar kerajaan yang dilantik oleh rakyat terbanyak. Kesilapan memilih pemimpin. Mungkin itu kesilapan kepada ibubapa yang sedar, kepada yang tidak sedar, ahh... lumrahlah kalau setandan pisang, ada beberapa biji yang tidak elok. Benarkah begitu?
No comments:
Post a Comment