Apa signifikannya pilihanraya kampus?
Semalam saya sempat menonton berita selepas berbuka bersama-sama. Pastinya menarik bila bercakap tentang pilihanraya kampus. Dari 17 IPTA, 11 sudah dikuasai pada hari penamaan calon. Petanda pilihanraya kampus sudah tiada jiwa kompetetif, atau berlaku boikot atau para pelajar sudah tidak mahu ambil pusing? Namun, di sebalik kemasukan parti politik ke dalam kampus, di sebalik isu berat sebelah di kalangan pro-aspirasi dan pemimpin idealistik pelajar, di sebalik kempen oleh para pensyarah dan banyak lagi korupsi pilihanraya kampus, adalah lebih baik kita menilai apakah pentingnya pilihanraya kampus kepada para pelajar dan karier mereka.
Kontroversi lumrah dalam pilihanraya kampus. Gambar dari Website UPM.
Suatu jawapan yang agak skema dari para siswa-siswi dari sesi temuramah:
" Melatih bakal pemimpin negara".
"Bagus kerana kita berpeluang kenal dengan perwakilan pelajar kita di Universiti"
"Kita boleh tahu apa yang hendak dilaksanakan sekiranya calon yang kita undi menang"
Saya tidak arif zaman sekarang, tetapi zaman saya mengaji dahulu keadaan sangat tidak produktif dan pilihanraya berstatus mengabehkan boreh. Bukan bukan menjadi rahsia pilihanraya kampus tidak ada erti sangat kepada para siswa-siswi. Para calon pula, dari parti yang sama atau berbeza, sudah ada agenda sendiri di peringkat fakulti atau Universiti, tidak perlu dikaji adakah sama dengan manifesto kempen ataupun tidak. Kadangkala dua parti berbeza, tetapi cara kempen, pandangan, pendekatan dan kadangkala lebih teruk, wording untuk banner dan penanda buku, lebih kurang sama. Budaya cut N paste. Takkanlah siswa-siswi yang bijak tak terfikir kebetulan-kebetulan yang sangat tidak munasabah. Itu menunjukkan apa? Takpelah. Kita tengok aspek lain pula.
Mengapa setengah-setengah pelajar tidak peduli tentang pilihanraya kampus? Mudah sahaja, kerana pilih A, atau pilih B, atau tidak pilih langsung, tiada bezanya. Sumbangan pimpinan pelajar tidak sampai kepada para pelajar. Saya sendiri tujuh tahun di kampus. Saya ada simpan manifesto pilihanraya kedua-dua calon fakulti untuk suatu penggal dalam pengajian saya. Namun selepas pilihanraya tidak ada satupun yang ditunaikan. Tak kiralah siapa yang menang, kerana saya pegang janji-janji mereka. Dari pemimpin pelajar baru daftar (masuk sebagai pelajar) sehingga dia grad, saya masih di situ, tetapi tiada apa perubahan. Janji tinggal janji. Jumpa ketika kempen sahaja. Masa-masa lain entah di mana?
Itu dulu kata siswa siswi sekarang. Tetapi bagaimana pula dengan persoalan pemilihan calon? Dahulu justifikasi untuk memilih dan menimbangkan calon yang layak juga sangat terbatas. Tidak banyak ruang untuk kita yakin atau berupaya membezakan calon berdasarkan ketokohan atau rekod kerjanya. Sampai peringkat setengah kawan mengundi calon yang nampak hensem atau calon siswi yang nampak cantik. Oleh kerana kita tidak tahu bakat kepimpinannya, kita mengundi hanya berdasarkan luaran. Bak "kata orang" (saya quote kerana saya nak ulas tentangnya kalau ada peluang), kalau tak pandai menaripun, sekurang-kurangnya penarinya cantik dan pakaiannya cantik dan sudah tentu lantainya nampak cantik. Penyanyipun begitu, yang berjaya selalunya ada pakej lengkap, rupa ada, body ada dan suara so and so. Dia akan lebih berjaya dari penyanyi suara sedap tetapi tak berapa comel. Begitulah juga yang terpaksa dilalui oleh pelajar bila mengundi di pilihanraya kampus. Tak ubah macam orang mengundi Malaysian Idol.
No comments:
Post a Comment