Monday, June 27, 2005

Akan kusabar keranamu motorku

Semalam saya dikejutkan oleh satu surat layang (disyakki dari jiran rumah besar). Saya diminta untuk tidak meletakkan kenderaan saya yang sekadar motorsikal di kawasan parking rumah jiran yang boleh memuatkan 9 buah kancil. Rasanya motorsikal saya yang buruk dan tidak sehensem tuannya itu, bukannya besar sangat, sehingga melahirkan rasa sempit terhadap datin jiran sebelah. Rumah saya mana ada ruang parking, takkanlah tak boleh barang sekaki dua. Kenapalah nak berkira sangat, saya merungut sendiri kesal. Ayat yang digunakan kurang sedap dan peluang bersemuka tidak diambil. Kalau ikutkan perasaan, mahu sahaja saya membalas di atas kertas yang sama, lantas mengetuk pintu rumah sebelah dan menyerahkan kembali surat yang dilekatkan di motorsikal berkapasiti 100cc itu kembali ke penghantarnya. Namun dalam perjalanan mengambil pen saya teringat supaya sabar. Melenting dan emosional tidak sesuai dengan hidung saya. Lalu saya duduk dan pura-pura surf di lelong.com walaupun masih teringat hal itu.

Kadangkala hidup berjiran berupaya mengajar kita menjadi insan yang lebih sempurna. Saya teringat tazkirah seorang sahabat bahawa mendidik diri menjadi sabar itu suatu cabaran yang besar baru remaja dan dewasa. Perlu ada self-control mechanism, umpama absorber, semakin banyak ditekan semakin santak ia menyerap hentakan.

Tapi adakah orang yang semacam itu? Jawapannya ada. Rasulullah ketika melalui kawasan perkuburan menemui seorang ibu yang sedang menangisi kematian anaknya. Baginda bersabda "Wahai ibu, bersabarlah". Jawab siibu "Engkau tidak rasakan apa yang aku rasakan, mudah bagimu berkata begitu". Namun apabila beliau diberitahu bahawa orang yang menegurnya adalah Muhammad, beliau lantas bangun, mengejar dan meminta maaf kerana kurang sopan terhadap kekasih Allah. Lalu baginda bersabda "Sabar yang terbaik adalah ketika yang pertama" yang bermaksud ketika sebelum beliau menjawab teguran rasul tadi. Baginda sendiri bersabar dari terus menjawab kata-kata siibu walaupun dia rasul yang lebih tahu.

Di dalam ayat al-Quran pula Surah Al-Imran ayat 146 ada dinyatakan ciri-ciri orang bersabar yang dipandang tinggi di sisi Allah.
"Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar."
Menurut satu penjelasan tentang ayat ini, terdapat tiga aspek utama perlu diperhatikan di dalam membina kesabaran. Pertama tidak menjadi lemah. Maka peribadi-peribadi yang sabar ini tidak lemah bila dilanda musibah. Kedua tidak lesu. Tidak lesu di sini tidak lesu dan tidak nampak lesu. Ia berkait-rapat dengan penampilan seorang yang sabar. Mungkin dia tidak tergugat dengan musibah tetapi dia kurang bersemangat dan aimless. Ia merbahaya kerana boleh mempengaruhi orang lain. Manakala yang ketiga pula adalah tidak menyerah. Tidak menyerah di sini berkait rapat dengan keazaman yang tidak mudah padam, yang disusuli oleh gerak kerja yang sentiasa berjalan dan tidak mudah diperdaya lawan.

Jadi bersabarlah kerana bumi Allah ni luas, banyak lagi tempat boleh parking. Semoga Allah lancarkan segala urusan kita yang baik.

2 comments:

encik_roy said...

Kita senasib la...

Abouti said...

you block aje jalan nak keluar rumah dia. dia tak boleh kata kawasan rumah dia heheh.