2 tahun lalu Mama bersusah payah melahirkan engkau. Berhari-hari menahan sakit sebelum engkau menjengah dunia ini buat pertama kali sebagai seorang insan, seorang rijal dan seorang muslim. Ketika itu tatkala aku menatap wajahmu, terasa hati ini berbunga-bunga gembira. Perasaan seorang bapa yang tidak pernah tergambar dengan perkataan, dan tidak pernah terasa sedemikian sebelum ini.
Jangkamasa dua tahun terasa berlalu dengan cepat. Walaupun engkau membesar di hadapan mata ini, namun sesekali aku terasa hari-hari yang dilalui, terasa kurang kita dapat berinteraksi. Walaupun kucuba peruntukkan masa hujung minggu bersama, namun seperti hari-hari lain, beban dan tuntutan yang lebih utama menghimpit dan menagih masaku. Maafkan aku nak. Namun kami sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keselamatanmu. Itu yang paling penting. Jangan sekali-kali engkau lupa.
Kini sudah meningkat usiamu 2 tahun, kau sudah semakin dewasa. Tiket AirAsiapun tak boleh guna title infant lagi. Semakin kacak dan comel. Tapi kadangkala semakin manja dan mengada. Ingat nak kau sudah besar, dah nak kena jadi abang, tak boleh asyik nak berteman kalau nak main. Sudah sepatutnya bercerai susu badan, sudah sepatutnya tidur asing. Kalau kau sudah besar, sudah boleh membaca dan memahami, sentiasalah ingat pesan kami. Kita adalah entiti yang sentiasa berjuang. Sentiasalah berazam untuk menjadi soleh dan menjadi lebih baik dari hari atau tahun yang sebelum. Sentiasa jadikan perjuangan dalam apa bentuk dan ruang sekalipun untuk menjadi insan yang mantap dan kental. Kerana itu ada kalanya kami memanggilmu Bathol, bermaksud pahlawan atau perwira. Jumpa lagi di catatan 3 tahun insya Allah.
4 comments:
ade yg baru menyusul ke?
insya Allah bakal menyusul
yo bro abu T
Jaidi di sini harharhar
jaidi, apa cerita? lama tak nampak kat paksi.net?
Post a Comment