Tak perlu rasanya komen yang tersurat. Agenda orang Melayu akan diteruskan untuk membela nasib bumiputera. DEB bukan agenda perkauman, tetapi agenda nasional. Tak ada apa yang perlu dipertikai di situ walaupun masih banyak argument boleh berlaku dibelakangnya. Namun satu lagi semacam agenda, walaupun lebih kepada mencari peluang membela diri; yang menunjukkan belang manusia-manusia yang lebih melihat agenda kelompok di dalam bangsa Melayu dari agenda Melayu yang lebih menyeluruh, adalah isu AP. Menurut Rafidah Aziz (RA), AP adalh metod untuk menolong bangsa Melayu. Itulah yang tersurat. Yang tersirat adalah betapa mudahnya aktiviti kronisme di'neutralkan' oleh fahaman bahawa ia sebahagian dari agenda untuk membantu orang Melayu. Pelbagai soalan para perwakilan yang tidak puas hati terhadap jawapan RA, meminta diteluskan pemberian AP. Ada juga mempertikaikan kepada para AP King yang memasang komponen kereta di dalam negara seperti Naza, mengapa perlu diberi AP lagi? Kemudian ada daripada Pemuda sendiri, meminta Pemuda diperuntukkan sebilangan dari jumlah AP tersebut. Bukan menjadi rahsia jutawan Melayu di Malaysia kebanyakannya bukan jenis Donald Trump yang bermula dari bawah. Ramai yang kaya kerana projek kerajaan. Jutawan dan tycoon di Malaysia semacam jawatan, mereka boleh jatuh tersungkur sekiranya tidak dibantu kerajaan. Itu adalah perkara yang tidak dipersoalkan di sini. Yang tersiratnya mungkin begini, persoalan AP di luar dewan adalah mengapa mesti ada AP, adakah relevan dan telus? Mengapa tidak diberi AP kepada suatu badan kerajaan seperti MARA dan dipantau oleh kerajaan dan persatuan peniaga Muslim atau Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan sebagainya? Agar ada audit pelbagai dimensi.
Sebaliknya di dalam dewan, yang sepatutnya agenda Melayu secara umum mendahului agenda diri dan peribadi; perbincangannya begini, mengapa dia dapat banyak AP aku tak dapat langsung? Kenapa tidak AP itu diberikan Pemuda UMNO, biar kami membahagi-bahagikan sesama kami? Wajarkah dia dapat AP sedangkan dia sudah dapat banyak AP? dan persoalan-persoalan yang menunjukkan bahawa tidak pedulinya perwakilan tentang agenda untuk Melayu umum. Betapa kecilnya skop perbincangan mereka dan ceteknya kefahaman mereka tentang agenda, hanya melihat AP sebagai kekayaan. Entah apa saranan yang baik yang keluar dari mulut perwakilan, yang dapat diberikan pujian. Bagaimana kita mahu anak-anak muda dari Puteri dan Putera mahu belajar apa itu agenda kalau yang lebih mudah diingati dan diriuh-rendahkan adalah AP? Kalau tanya balik anak-anak muda bertopi di PWTC tentang apa perkara yang mereka boleh ingat tentang PWTC Julai 2005, pastinya 90% akan kata AP.
Berbalik kepada isu agenda. Adakah memberikan AP yang ternyata mengkayakan hanya segelintir orang Melayu itu, akan menjadikan orang Melayu, termasuk yang setiap minggu muncul di rancangan Bersamamu TV3 itu, boleh keluar dari beban kemiskinan? Namun apakah pilihan kita, kerana inilah parti yang memperjuangkan agenda untuk orang Melayu. Menjadikan orang Melayu keluar dari belenggu kemiskinan adalah agenda Melayu, tetapi menjutawankan beberapa individu Melayu ternyata bukan agenda yang perlu disokong. Namun kita tiada pilihan, orang yang susah dan tidak pernah AP memberi kesan kepada hidupnya itu, tetap menyokong kerana tak sanggup lagi bersempit di suatu sudut di dalam rumah setiap kali hujan turun, lantaran semua bahagian rumah atapnya bocor. Akhirnya mereka tetap begitu, susah dan perit. Dan orang yang makan nasi dengan air garamlah yang menjadi orang yang terjerat.
No comments:
Post a Comment