Tuesday, July 26, 2005
Kita tidak peduli suara ramai
"Walaupun engkau gunting dalam lipatan, namun sejak menemuimu aku bagaikan makan tak kenyang mandi tak basah, oleh itu jangan digundah kesudianku kerana ia ibarat kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan". Orang tua-tua memang pandai dalam bab merumuskan sesuatu dalam bentuk yang simple dan catchy. Sekurang-kurangnya itu sesuatu yang orang-orang tua lebih hebat dalam bab ini dari kita, yang sekadar berbangga dengan handphone, PDA, iPod dan digital camera. Saya tertarik apabila mendengar pandangan seorang syeikh yang saya temui di Hong Kong, apabila membincangkan tindakan 'panik' ramai orang yang berpusu-pusu mengisi minyak di stesen minyak lantaran masalah harga minyak yang digossipkan naik tidak lama dulu. Katanya "Budaya masyarakat kita adalah bak enau di celah belukar, melepaskan pucuk masing-masing". Bila ada sesuatu masalah yang melibatkan kepentingan rakyat secara umum, daripada menyuarakan atau membangkang atau memboikot mahupun berdemonstrasi, masyarakat kita lebih senang memikirkan bagaimana untuk melepaskan diri sendiri dan meneruskan hidup berdasarkan perubahan yang berlaku. Contoh bila harga tol naik, kita marah, tetapi hanya di kedai kopi. Kemudian kita merancang naik motorsikal pergi kerja. Kemudian kita mula cari jalan-jalan yang memudahkan kita mengelakkan tol. Perkara ini lumrah, semua orang termasuk saya buat benda ni. Bagaikan terkena batang hidung, saya mengangguk-angguk membenarkan kata-kata syeikh tadi. Memang kita tak merasakan bersatu suara dan menyuarakan adalah salah satu cara mendapatkan ruang yang lebih baik dalam hidup ini. Naluri kita adalah dalam apa jua situasi, keadaan yang berlaku memang sudah takdir atau tidak dapat dielakkan lagi. Maka sebaiknya kita cuba sesuaikan diri dengan situasi baru. Oleh itu kita tidak diajar untuk ramai-ramai bersuara dan memberi tekanan kepada pihak yang melakukan perubahan yang bakal menghimpit poket kita. Sedangkan mungkin suara-suara tidak puas hati ini sedikit sebanyak memberitahu orang lain bahawa kita tidak setuju, dan mungkin memberi tekanan yang menyebabkan mereka menangguhkan perubahan yang tidak memberi faedah kepada kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment