Visual dalam MyNews Network di NTV7 Sabtu lepas memperlihatkan kenyataan yang hodoh di depan hotel dan di dalam van jabatan agama. Ia adalah panorama yang berpanau dan sangat menyedihkan. Pasangan kekasih dicekup di hotel murahan dalam slot Maksiat di Bulan Puasa. Dalam serbuan oleh JAIWP (ayoyo suda tukar ka?) 4 pasangan Melayu yang belum berkahwin ditangkap.
Zaujati: Orang kahwinpun tak boleh bersetubuh. Depa ni dah la tak nikah, tak puasa (sudah tentu), lebih berani dari orang dah kahwin.
Semoga para remaja itu dan seluruh remaja lain di luar sana (juga sudah tentu para muslimin muslimat) diberi kekuatan untuk menjauhi aktiviti tidak sihat ini sekalipun bukan di bulan puasa.
(Terlupa saya nak tanya Zaujati: Kalau orang kawin bersetubuh bulan Ramadhan alamat kena puasa dua bulan terus-menerus. Kalau orang tak nikah berzina di bulan Ramadhan pula bagaimana?)
Di dalam slot itu, pemberita menerima panggilan telefon dari penonton. Dari panggilan telefon yang dibuat, terdapat ramai bapa-bapa yang kesal dengan gejala berkenaan. Bila ditanya apakah saranan mereka untuk memperbaiki akhlak para remaja, 3 daripada 4 orang (seingat saya 4 orang pemanggil) mencadangkan rotan. Mereka bersetuju bahawa ceramah demi ceramah perlu, tetapi mendenda sahaja tidak cukup kerana keinsafan tidak datang.
Menurut Ustaz Ahmad Arum, pendakwah bebas (atau dengan kata lain pendakwah yang tidak berada di dalam sebarang jemaah dakwah) yang ditemuramah, berpendapat bahawa kepada setengah ibu-bapa, pendedahan realiti remaja masakini adalah tazkirah terbaik. Semua pihak perlu memainkan peranan di dalam membendung permasalahan ini. Namun bila ditanya bagaimana kaedah hukuman sekarang (denda di mahkamah), beliau berkata:
Terlalu lembut. Namun ia bergantung kepada budi bicara pemerintah. Mungkin boleh dikaji semula
Hukum Islam itu Tabii yang Sesuai untuk Manusia.
Kisah di atas adalah rentetan kepada betapa degilnya kita menerima hakikat hukum Allah itu sangat absolute dan sesuai untuk mendidik manusia. Kaedah sekarang sangat-sangat lemah untuk mendisiplinkan remaja kita. Tangkap, bawak balai atau pejabat agama. Bawak masuk mahkamah dan pilih samada denda atau penjara.
Alah, denda boleh bayar. Setakat RM600-800 tu bukannya banyak. Bukannya tiap-tiap hari kena tangkap, lepas kena tangkap boleh buat lagi.
Mungkin begitu puak-puak ni berkira-kira.
Duit bukanlah kaedah yang sesuai mendidik masyarakat. Takkanlah bapa-bapa yang menelefon NTV7 tu kebetulannya semua ustaz belaka. Kalau mereka orang biasa, mustahil mereka lebih arif tentang hukuman terbaik terhadap penzina dan pengkhalwat dari para ulamak yang menggubal undang-undang. Bila mereka mencadangkan rotan, ia petanda bahawa itulah yang paling sesuai untuk memberi keinsafan dan rotan itulah yang tabii dengan manusia degil, seperti yang termaktub dalam undang-undang Allah s.w.t.
Oleh itu, jika keadaan sekarang masih berterusan, apakah mekanisma yang masih kita boleh lakukan untuk mengelak kemerosotan akhlak masakini? Kalau penggubal undang-undang syariah masih degil tidak mahu mengambil hukuman Allah, mungkin ada sesuatu yang masih boleh kita semua lakukan. Membangkitkan rasa sensitiviti. Rasa malu dengan masyarakat adalah penghalang remaja sekarang masih cuba menghindari hotel-hotel murahan ini. Bila muka sudah disinari flash dan ditatapi lensa kamera manusia, barulah terhegeh-hegeh mencari baju, suratkhabar atau apa sahaja untuk menutup muka. Rasa takut atau malu kepada Tuhan memang sukar untuk dilihat. Ini kerana lensa kamera Allah tidak disinari flash walaupun 'jurukameranya' bertugas setiap masa dan mendapat 'shot2' yang lebih baik dari jurukamera biasa. Mereka malu kerana mereka akan berjumpa kawan-kawan, ibu-bapa, rakan sekerja atau rakan sekolah. Ketika itu malunya tidaklah terkira. Oleh itu kita perlu semarakkan rasa sensitiviti ini supaya golongan pengkhalwat dan penzina ini terus dipandang hina dan jijik di sisi masyarakat dan di sisi Allah.
Maka apabila NTV7 menyiarkannya, TV lain juga begitu, kita tulis di suratkhabar, di blog, menelefon, ceramah, berleter dan pelbagai lagi tindakan, kita memberi petanda perbuatan maksiat ini jijik dan masih ada rasa sensitiviti di kalangan masyarakat untuk menjauhinya. Semua ini bukan kerana budaya semata-mata, kerana agama kita melarangnya. Bak kata Ustaz Ahmad Arum ketika menutup slot Gejala Maksiat di Bulan Puasa itu:
Berpegang kuatlah kepada agama. Tanpa agama kita akan binasa
No comments:
Post a Comment